Walaupun jarang terjadi, kekurangan vitamin K masih boleh berlaku bagi sesetengah individu tidak kira dewasa atau kanak-kanak. Terdapat beberapa tanda atau gejala yang boleh menunjukkan bahawa anda kekurangan vitamin K ini.
Kekurangan vitamin K dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil lebih banyak berlaku berbanding orang dewasa.
Sebagai rujukan untuk anda, artikel ini menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai tanda-tanda kekurangan vitamin K, punca yang menyebabkannya dan pilihan rawatan yang ada.
Terdapat dua jenis vitamin K yang utama iaitu vitamin K1 (filokuinon) dan vitamin K2 (menakuinon).
Vitamin K1 banyak terdapat dalam makanan berasaskan tumbuhan terutamanya sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, sawi dan kailan.
Vitamin K2 pula dihasilkan secara semula jadi di dalam saluran usus dan berfungsi sama seperti vitamin K1.
Vitamin K mempunyai banyak kebaikan dan fungsi. Ia membantu hati membuat protein yang membolehkan darah anda membeku secara normal serta mengelakkan perdarahan yang berlebihan. Ia juga penting untuk tulang yang sihat.
Orang dewasa biasanya mempunyai vitamin K yang cukup kerana bakteria baik dalam usus menghasilkannya. Ia juga terdapat dalam kebanyakan makanan yang kita makan.
Vitamin K adalah vitamin larut lemak. Ini bermakna ia disimpan di dalam hati, jadi anda tidak perlu memakannya setiap hari, tidak seperti beberapa vitamin lain.
Tanda-tanda Kekurangan Vitamin K dalam Kalangan Orang Dewasa
Tanda atau gejala utama bagi kekurangan vitamin K adalah perdarahan yang berlebihan.
Harus diingat bahawa, perdarahan ini tidak semestinya berlaku di bahagian luka sahaja. Ia juga boleh berlaku di kawasan-kawasan lain.
Perdarahan juga mungkin jelas jika seseorang:
- Mudah lebam
- Berdarah di dalam membran mukosa
- Najis berwarna hitam pekat (hampir seperti tar) dan mengandungi darah
Selain itu, tanda atau gejala-gejala berikut boleh juga berlaku:
- Mengantuk
- Muntah
- Sawan
- Hidung berdarah
- Kulit pucat
- Jaundis
Tanda-tanda Kekurangan Vitamin K dalam Kalangan Bayi atau Kanak-kanak
Bagi bayi atau kanak-kanak kecil pula, kekurangan vitamin K menunjukkan tanda-tanda atau gejala seperti:
- Perdarahan di kawasan di mana tali pusat dibuang
- Perdarahan di dalam kulit, hidung, gastrousus atau bahagian lain
- Perdarahan di zakar sekiranya bayi tersebut telah dikhatankan
- Perdarah di dalam otak secara tiba-tiba, keadaan ini sangat berbahaya dan mengancam nyawa
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin K
Kekurangan vitamin K dalam kalangan orang dewasa jarang berlaku. Kebanyakan orang dewasa yang mengalami masalah kekurangan vitamin K mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti:
- Gangguan penghadaman yang menyebabkan malserapan lemak
- Fibrosis sista
- Saluran hempedu tersumbat
- Mengambil ubat antikoagulan seperti warfarin
- Mengambil antibiotik dalam satu jangka masa yang panjang
Manakala, kekurangan vitamin K dalam kalangan bayi boleh disebabkan oleh beberapa sebab seperti:
- Vitamin K tidak dipindahkan dengan baik daripada plasenta ibu kepada bayi
- Susu ibu sangat rendah dengan vitamin K
- Hati bayi tidak menggunakan vitamin K dengan cekap
- Bayi yang baru lahir tidak menghasilkan vitamin K2 mereka sendiri
Bagaimana Cara Merawat Kekurangan Vitamin K?
Rawatan untuk kekurangan vitamin K bagi orang dewasa adalah melalui ubat fitonadion (vitamin K1). Lazimnya, doktor akan mempreskripsi ubat ini dalam bentuk ubat makan (oral).
Selain itu, doktor atau jururawat mungkin juga memberikan suntikan vitamin K. Dos bagi orang dewasa adalah sekitar 1 hingga 25 miligram (mg).
Bagi anda yang mengambil ubat antikoagulan, doktor mungkin mempreskripsi ubat fitonadion pada dos yang lebih rendah. Biasanya antara 1 hingga 10 mg.
Ia bertujuan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Bagi bayi pula, mereka akan diberikan satu suntikan vitamin K semasa kelahiran. Biasanya antara 0.5 hingga 1.0 mg vitamin K1.
Rujukan
- Eden RE, Daley SF, Coviello JM. Vitamin K Deficiency. [Updated 2023 Sep 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Centers for Disease Control and Prevention. (2023). What is Vitamin K Deficiency Bleeding?