Vitamin C adalah nutrien penting yang perlu diperolehi setiap hari bagi mengelakkan kekurangannya. Kekurangan vitamin C masih boleh berlaku terutamanya bagi penduduk di negara-negara membangun.
Terdapat beberapa tanda atau gejala yang boleh menjadi satu panduan umum kepada anda untuk mengetahui sama ada anda mengalami kekurangan vitamin C atau tidak.
Sekiranya anda mempunyai tanda atau gejala tersebut, langkah terbaik ialah mendapatkan diagnosis daripada ahli profesional kesihatan untuk mengesahkan sama ada anda mengalami kekurangan vitamin C atau masalah kesihatan yang lain.

Kekurangan vitamin C boleh berlaku atas beberapa faktor risiko. Contohnya seperti pemakanan yang tidak baik, ketagihan alkohol, merokok, menjalani dialisis, kehilangan selera makan (anoreksia) dan penyakit mental yang serius.
Tanda atau gejala kekurangan vitamin C yang teruk mungkin mengambil masa beberapa minggu hingga bulan untuk terbentuk. Tetapi, terdapat beberapa tanda ringan yang boleh menjadi petunjuk bahawa anda kekurangan vitamin C.
Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut:
1. Kelesuan atau Kelemahan
Kelesuan atau kelemahan adalah antara tanda-tanda awal kekurangan vitamin C.
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh peranan vitamin C yang mengalakkan penghasilan kolagen dan menukar asid amino, lisina kepada karnitina.
Kekurangan vitamin C menyebabkan kekurangan penghasilan kolagen yang penting untuk kekuatan otot, tulang dan tendon. Manakala, karnitina memainkan peranan penting dalam penghasilan tenaga.
2. Kulit Kasar dan Tidak Rata
Kulit kasar dan tidak rata juga boleh menjadi tanda kepada kekurangan vitamin C. Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan penyakit kulit yang dikenali sebagai keratosis pilaris.
Penyakit ini menyebabkan kulit menjadi tidak rata seperti ‘kulit ayam’ pada bahagian lengan, peha atau punggung akibat daripada pengumpulan keratin di dalam liang roma. [1]
Keratosis pilaris akibat kekurangan vitamin ini biasanya boleh dipulihkan dengan pengambilan makanan tambahan atau suplemen vitamin C.
Walau bagaimanapun, keratosis pilaris juga boleh disebabkan oleh punca-punca lain. Maka, tanda ini sahaja tidak mencukupi untuk mendiagnosis anda sebagai kekurangan vitamin C.
3. Bulu Badan Berpintal
Bulu badan yang berpintal seperti skru pencungkil gabus juga boleh menjadi petanda kepada kekurangan vitamin ini.
Bulu tersebut adalah ciri khusus kepada kekurangan vitamin C. Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak ketara kerana bulu yang rosak ini lazimnya gugur.
Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh bulu yang tumbuh membengkok atau bergulung akibat daripada kecacatan yang terbentuk dalam struktur protein rambut semasa ia membesar.
4. Mudah untuk Lebam
Lebam berlaku apabila saluran darah di bawah kulit pecah, menyebabkan darah bocor ke kawasan sekitar.
Mudah untuk lebam adalah salah satu tanda kekurangan vitamin C yang lazim berlaku disebabkan penghasilan kolagen yang kurang. Akibatnya, ia melemahkan saluran darah. [2]
Mudah lebam juga adalah antara tanda atau gejala yang jelas yang membolehkan penyiasatan lanjutan terhadap tahap vitamin C dalam badan anda.
5. Kulit Kering dan Rosak
Vitamin C juga adalah vitamin yang penting untuk kesihatan kulit.
Vitamin C membantu mengekalkan kesihatan kulit dengan melindunginya daripada kerosakan oksidatif yang disebabkan oleh matahari dan pencemaran.
Selain itu, vitamin C juga menggalakkan penghasilan kolagen yang membuatkan kulit nampak awet muda.
Kulit kering dan rosak juga boleh menjadi salah satu tanda kepada kekurangan vitamin C.
6. Luka yang Lambat Sembuh
Tanda kekurangan vitamin C yang seterusnya adalah luka yang lambat sembuh.
Oleh sebab kekurangan vitamin C menyebabkan penghasilan kolagen yang perlahan, maka ia menyebabkan luka untuk sembuh turut menjadi lebih perlahan.
Kajian melaporkan bahawa mereka yang menghidap ulser kaki yang kronik dan tidak sembuh kebanyakannya mengalami kekurangan vitamin C. [3]
Penyembuhan luka yang perlahan adalah salah satu tanda kekurangan yang telah berlanjutan dan biasanya tidak dilihat sehingga seseorang mengalami kekurangan selama berbulan-bulan.
7. Peningkatan Berat Badan
Peningkatan berat badan tanpa dirancang boleh juga menjadi salah satu tanda kepada kekurangan vitamin C.
Hal ini demikian kerana vitamin C boleh membantu melindungi badan anda daripada obesiti dengan mengawal pelepasan lemak daripada sel-sel lemak, mengurangkan hormon stres dan mengurangkan keradangan. [4]
Menariknya, satu kajian yang melibatkan lebih 19,000 peserta mendapati paras darah yang rendah vitamin C dikaitkan dengan jumlah lemak perut yang lebih tinggi, walaupun pada individu dengan berat badan normal. [5]
8. Sakit Sendi
Kekurangan vitamin C juga boleh menyebabkan sakit sendi.
Oleh sebab, sendi mengandungi banyak tisu penghubung yang kaya dengan kolagen, ia juga boleh terjejas disebabkan kekurangan vitamin C.
Terdapat banyak kes sakit sendi yang dilaporkan berkaitan dengan kekurangan vitamin C, selalunya cukup teruk sehingga menyebabkan tempang atau kesukaran berjalan. [6, 7]
9. Gusi Berdarah dan Gigi Tercabut
Gusi yang mengalami keradangan, kemerahan dan bengkak juga adalah tanda yang biasa bagi kekurangan vitamin C.
Pengambilan vitamin C yang tidak mencukupi menyebabkan tisu-tisu gusi menjadi lemah dan meradang. Akibatnya, ia mudah untuk berdarah.
Gusi yang sakit dan lemah ini boleh menyebabkan gigi tercabut
10. Anemia Akibat Kekurangan Zat Besi
Selain akibat kekurangan zat besi, anemia kekurangan zat besi juga boleh disumbang oleh paras vitamin C yang rendah.
Paras vitamin C yang rendah boleh mengurangkan penyerapan zat besi daripada makanan berasaskan tumbuhan dan memberi kesan negatif terhadap metabolisme zat besi.
Kekurangan vitamin C juga meningkatkan risiko perdarahan yang berlebihan, yang boleh menyumbang kepada anemia. [8]
11. Tulang Menjadi Rapuh
Kekurangan vitamin C juga boleh menjejaskan kesihatan tulang dan meningkatkan risiko kepada kelampungan tulang atau osteoporosis.
Kajian mendapati vitamin C turut memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang. Maka, kekurangannya boleh meningkatkan risiko pelesapan tulang. [9]
Rujukan
- Hwang, S., & Schwartz, R. A. (2008). Keratosis pilaris: a common follicular hyperkeratosis. Cutis.
- Pimentel L. (2003). Scurvy: historical review and current diagnostic approach. The American journal of emergency medicine.
- Lazareth, I. et al. (2007). [Vitamin C deficiency and leg ulcers. A case control study]. Journal des maladies vasculaires.
- Garcia-Diaz, D. F. et al. (2014). Vitamin C in the treatment and/or prevention of obesity. Journal of nutritional science and vitaminology.
- Canoy, D. et al. (2005). Plasma ascorbic acid concentrations and fat distribution in 19,068 British men and women in the European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition Norfolk cohort study. The American journal of clinical nutrition.
- Tamura, Y. et al. (2000). Scurvy presenting as painful gait with bruising in a young boy. Archives of pediatrics & adolescent medicine.
- Algahtani, H. A. et al. (2010). Inability to walk due to scurvy: A forgotten disease. Annals of Saudi medicine.
- Agarwal, A. (2015). Scurvy in pediatric age group – A disease often forgotten?. Journal of clinical orthopaedics and trauma.
- Fain O. (2005). Musculoskeletal manifestations of scurvy. Joint bone spine.