Vitamin B6 atau piridoksina adalah vitamin larut air yang tergolong dalam kumpulan vitamin B kompleks. Vitamin B6 biasanya diperolehi melalui pemakanan. Kekurangan vitamin B6 sahaja adalah jarang berlaku.
Lazimnya, kekurangan vitamin B6 berlaku bersama-sama vitamin B kompleks yang lain seperti kekurangan vitamin B12 atau kekurangan folat (vitamin B9).
Vitamin B6 diperlukan oleh lebih 100 tindak balas enzim dalam badan. Vitamin ini juga terlibat dalam pembentukan otak bayi dalam kandungan dan juga fungsi sistem imun.
Kekurangan vitamin B6 biasanya berlaku kepada golongan berikut:[1]
- Peminum arak tegar
- Individu yang obes
- Wanita mengandung
- Penghidap penyakit autoimun
- Penghidap penyakit keradangan usus
- Penghidap penyakit buah pinggang
- Penghidap penyakit hati
Terdapat beberapa tanda atau simptom yang boleh anda lihat sekiranya anda atau orang terdekat dengan anda mengalami kekurangan vitamin B6 ini.
Antara tanda dan simptom tersebut adalah:
1. Lesi pada Bibir dan Hujung Mulut
Keilosis (cheilosis) ialah istilah perubatan kepada keradangan pada bibir yang menyebabkan bibir menjadi bengkak, bersisik dan membentuk rekahan pada sudut mulut.
Rekahan ini boleh berdarah dan boleh juga menyebabkan jangkitan. Malah, ia turut menyebabkan penghidapnya sukar untuk makan dan bercakap.
Keilosis adalah salah satu tanda atau simptom kepada kekurangan vitamin B6. Maka dengan mengatasi masalah kekurangan vitamin ini dapat menyembuhkan simptom ini.
2. Lidah Bengkak
Mereka yang mengalami kekurangan vitamin B6 juga boleh mengalami simptom seperti lidah bengkak atau radang lidah.
Istilah perubatan bagi simptom ini adalah glositis. Glositis menyebabkan lidah membengkak, bertukar warna dan membentuk permukaan yang licin.
Akibatnya penghidapnya akan mengalami kesukaran untuk menelan, mengunyah atau bercakap.
3. Ruam Kulit
Kekurangan vitamin B6 juga boleh menyebabkan terjadinya ruam kulit yang dipanggil “seborrheic dermatitis“.
Ruam berwarna merah dan gatal ini boleh berlaku di kawasan muka, kulit kepala, leher dan bahagian dada.
Salah satu sebab kekurangan vitamin ini menyebabkan ruam kulit adalah kerana vitamin B6 turut memainka peranan dalam pembentukan kolagen.[2]
4. Kemurungan dan Kekeliruan
Kekurangan vitamin B6 juga boleh menganggu emosi seseorang menyebabkan masalah seperti kemurungan, keresahan dan kekeliruan.
Tanda dan simptom ini berlaku kerana vitamin B6 terlibat dalam pembentukan neurotransmiter seperti serotonin dan gamma-aminobutryric acid (GABA).
Kajian mendapati pengambilan vitamin B6 secara harian seminggu sebelum kitaran haid mendapati boleh mengurangkan simptom-simptom sindrom pramenstruasi (PMS) seperti kemurungan, keresahan dan beremosi. [3]
5. Sistem Imun yang Lemah
Mereka yang mengalami kekurangan vitamin ini juga turut berpotensi mengalami fungsi imun yang lemah.
Sistem imun yang lemah mendedahkan anda kepada jangkitan, keradangan atau kanser.
Tanda atau simptom ini berlaku kerana vitamin B6 mempunyai peranan banyak peranan dalam fungsi imun badan seperti membantu penghasilan antibodi dan menghasilkan sel-sel darah putih.
Mereka yang mengalami penyakit autoimun seperti penyakit seliak atau reumatoid artritis meningkatkan lagi kemusnahan kepada vitamin B6 yang seterusnya menyebabkan peningkatan keperluan kepada vitamin ini. [1]
6. Tidak Bertenaga dan Keletihan
Salah satu tanda atau simptom kekurangan vitamin B6 yang lain adalah keletihan dan tidak bertenaga.
Hal ini kerana vitamin B6 turut terlibat dalam penghasilan hemoglobin iaitu protein dalam sel-sel darah merah yang membantu membawa oksigen keseluruh anggota badan.
Sekiranya sel badan tidak mendapat oksigen yang cukup akibat daripada kekurangan hemoglobin, ia dipanggil anemia. Anemia boleh menyebabkan anda berasa letih, tidak bertenaga dan lemah.
7. Sawan
Kekurangan vitamin B6 juga boleh menyebabkan sawan terutamanya jika kekurangan ini berlaku terhadap bayi.
Terdapat laporan kes sawan yang membabitkan kejadian terhadap bayi lelaki berusia 45 hari akibat kekurangan vitamin B6. Pemberian vitamin B6 berjaya meredakan serangan sawan dan mencegah daripada sawan ini berulang. [4]
Simptom ini berlaku dipercayai kerana tanpa vitamin B6 yang mencukupi, badan tidak dapat menghasilkan neurotransmiter GABA yang cukup. Kesannya, otak menjadi terlebih rangsangan.
Makanan yang Tinggi Vitamin B6
Badan manusia tidak menyimpan vitamin B6. Oleh itu, vitamin ini harus diperolehi secara harian dalam pemakanan. Vitamin B6 boleh diperolehi daripada sumber haiwan atau tumbuhan.
Vitamin B6 yang diperolehi daripada haiwan adalah lebih mudah diserap atau digunakan dalam badan berbanding vitamin B6 yang diperolehi daripada tumbuhan.
Justeru itu, mereka yang mengamalkan diet Vegan mungkin memerlukan suplemen vitamin B6.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakyat Malaysia memerlukan kira-kira 0.1 hingga 2.0 miligram vitamin B6 sehari berbeza-beza mengikut kelas umur.
Kumpulan Umur | Pengambilan Nutrien yang Disarankan (mg/hari) |
---|---|
Bayi | |
0-5 bulan | 0.1 |
6-11 bulan | 0.3 |
Kanak-kanak | |
1-3 tahun | 0.5 |
4-6 tahun | 0.6 |
7-9 tahun | 1.0 |
Budak lelaki | |
10-18 tahun | 1.3 |
Budak perempuan | |
10-18 tahun | 1.2 |
Lelaki | |
19-50 tahun | 1.3 |
51-65 tahun | 1.7 |
> 65 tahun | 1.7 |
Wanita | |
19-50 tahun | 1.3 |
51-65 tahun | 1.5 |
> 65 tahun | 1.5 |
Wanita mengandung | 1.9 |
Wanita menyusu | 2.0 |
Terdapat juga beberapa jenis makanan yang tinggi dengan vitamin B6, antaranya adalah:
Makanan | mg bagi setiap 100g |
---|---|
Ikan tuna (sirip kuning) | 1.0 |
Daging | 1.0 |
Tempeh | 0.2 |
Telur ayam | 0.1 |
Buah pisang | 0.4 |
Nangka | 0.3 |
Durian | 0.3 |
Kismis (tanpa biji) | 0.2 |
Bawang merah | 0.3 |
Keledek | 0.3 |
Sayur bayam | 0.2 |
Oat | 0.3 |
Susu | 0.04 |
Yogurt asli | 0.03 |
Rumusan
Vitamin B6 mempunyai banyak peranan terhadap tubuh badan manusia.
Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan tanda dan simptom seperti lesi pada bibir dan mulut, keradangan lidah, ruam kulit, kemurungan dan kekeliruan, sistem imun yang lemah, tidak bertenaga dan sawan.
Kita bernasib baik kerana terdapat banyak makanan yang mengandungi vitamin B6 ini. Selain itu, vitamin ini turut boleh didapati dalam bentuk suplemen.
Rujukan
- Brown MJ, Ameer MA, Beier K. Vitamin B6 Deficiency. [Updated 2021 Feb 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK470579/
- Inubushi, T. et al. (2005). Changes of glucose metabolism and skin-collagen neogenesis in vitamin B6 deficiency. BioFactors.
- Koleini, S., & Valiani, M. (2017). Comparing the Effect of Auriculotherapy and Vitamin B6 on the Symptoms of Premenstrual Syndrome among the Students who Lived in the Dorm of Isfahan University of Medical Sciences. Iranian journal of nursing and midwifery research.
- Murty, V. S. et al. (2013). A Rare Case of Pyridoxine-dependent Seizures in Infancy. Journal of clinical neonatology.