Selenium adalah salah satu daripada mineral atau nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Walaupun diperlukan pada kadar yang sedikit, kekurangan selenium ini boleh memberi kesan yang besar kepada kesihatan badan.
Selenium diperlukan dalam banyak proses badan manusia seperti:
- melindungi badan daripada jangkitan
- fungsi kelenjar tiroid
- penghasilan DNA
- pembiakan
- melindungi badan daripada radikal bebas
Kekurangan selenium berlaku apabila kurangnya pengambilan mineral ini dalam makanan. Penyakit kekurangan selenium juga turut dikaitkan dengan kekurangan vitamin E.
Kekurangan selenium terlibat dengan beberapa jenis penyakit seperti penyakit kardiovaskular, penyakit berkaitan otot, ketidaksuburan dan kemerosotan otak.
Tanda-tanda atau Simptom Kekurangan Selenium
Kekurangan selenium boleh menyebabkan pelbagai tanda dan antara tanda-tanda yang lazim berlaku adalah:
- Ketidaksuburan bagi lelaki dan wanita
- Keguguran rambut
- Kelesuan
- Lemah otot
- Sistem imun yang lemah
- “Brain fog“
Selain itu, kekurangan selenium juga turut dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan lain seperti:
- Keresahan (anxiety)
- Kekeliruan
- Kemurungan
- Penyakit Keshan
- Penyakit Kashin-Beck
Penyakit Keshan ialah penyakit yang mempunyai perkaitan dengan kekurangan selenium yang banyak berlaku di negara China. Penyakit ini menyebabkan kegagalan jantung, pembesaran hati dan keabnormalan ritma jantung.
Penyakit Kashin-Beck pula boleh menyebabkan kecacatan pada tulang, rawan dan sendi yang menyukarkan pergerakan akibat pembesaran sendi. Penyakit ini boleh disebabkan oleh banyak faktor dan salah satu daripadanya adalah kekurangan selenium.
Golongan Berisiko
Selain mereka yang tinggal di kawasan yang tanahnya rendah dengan kandungan selenium, beberapa keadaan juga boleh meningkatkan risiko kepada kekurangan selenium ini.
Antaranya adalah:
- menghidap HIV
- menghidap penyakit Crohn
- sedang menjalani rawatan dialisis
Keadaan-keadaan ini boleh mengganggu penyerapan mineral selenium dalam badan walaupun anda telah mendapatkan mineral ini secukupnya melalui pemakanan.
Tambahan daripada itu juga, selenium juga amat penting kepada beberapa golongan ini. Golongan ini harus mendapatkan mineral selenium yang mencukupi.
Mereka terdiri daripada:
- penghidap penyakit tiroid seperti penyakit Graves
- penghidap kanser
- wanita mengandung
- memiliki nodul tiroid
- memiliki sistem imun yang lemah
Rawatan
Kekurangan selenium adalah masalah yang melibatkan peringkat populasi berbanding individu. Oleh itu, langkah rawatan kepada masalah ini haruslah melibatkan komuniti.
Terdapat beberapa langkah rawatan atau pemulihan yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah kekurangan mineral ini iaitu:
- Pembajaan pertanian
- Memperkaya sumber makanan dengan sebatian selenium seperti daging, susu atau telur
Manakala bagi individu pula, pengambilan makanan yang kaya dengan mineral selenium boleh membantu merawat masalah kekurangan ini.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan agar rakyat Malaysia mendapatkan selenium harian seperti berikut:
Usia | Jumlah (mikrogram/hari) |
---|---|
Bayi (Lelaki) | |
0-5 bulan | 6 |
6-11 bulan | 10 |
Bayi (Perempuan) | |
0-5 bulan | 6 |
6-11 bulan | 9 |
Kanak-kanak (Lelaki) | |
1- 3 tahun | 17 |
4-6 tahun | 21 |
7-9 tahun | 22 |
Kanak-kanak (Perempuan) | |
1- 3 tahun | 16 |
4-6 tahun | 21 |
7-9 tahun | 21 |
Remaja (Lelaki) | |
10-18 tahun | 21 |
Remaja (Perempuan) | |
10-18 tahun | 19 |
Dewasa (Lelaki) | |
19-59 tahun | 32 |
60-64 tahun | 31 |
> 65 tahun | 30 |
Dewasa (Wanita) | |
19-29 tahun | 25 |
30-59 tahun | 24 |
>60 tahun | 23 |
Makanan yang Tinggi dengan Selenium
Makan makanan yang tinggi dengan kandungan selenium juga boleh membantu mengatasi masalah kekurangan ini. Sekiranya, anda didiagnosis mengalami kekurangan selenium. Anda boleh menambah makanan berikut dalam diet harian anda.
Antara makanan yang tinggi dengan kandungan selenium adalah:
- Hati ayam
- Hati lembu
- Daging kambing
- Peha ayam
- Ikan bilis
- Ikan tuna
- Ikan salmon
- Ikan kembung
- Tiram
- Udang
- Kacang brazil
- Kacang gajus
- Telur itik (masin)
Rumusan
Masalah kekurangan selenium mungkin jarang-jarang berlaku tetapi mendapatkan mineral selenium yang mencukupi dalam diet harian adalah penting.
Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anda mengesyaki bahawa anda mengalami kekurangan selenium untuk mengetahui puncanya.
Rujukan
- Shreenath AP, Ameer MA, Dooley J. Selenium Deficiency. [Updated 2021 Feb 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK482260/
- Natalie Olsen. (2018). Selenium Deficiency. Healthline.
- National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN) Ministry of Health Malaysia. (2017). Recommended Nutrient Intake for Malaysia.