Kegagalan jantung mungkin kedengaran seperti jantung tidak berfungsi langsung. Sebenarnya, kegagalan jantung bermaksud jantung tidak mengepam darah seperti mana sepatutnya.
Kegagalan jantung juga turut dikenali dengan nama kegagalan jantung kongestif. Kegagalan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba (akut) atau berlaku dalam satu jangka masa yang lama apabila jantung semakin lemah (kronik).
Keadaan ini boleh menjejaskan hanya sebelah atau kedua-dua belah jantung. Kegagalan jantung bahagian kanan dan kiri boleh disebabkan oleh punca yang berbeza-beza.

Rawatan yang betul boleh memperbaiki gejala-gejala kegagalan jantung dan boleh membantu sesetengah orang hidup lebih lama.
Perubahan gaya hidup juga boleh meningkatkan kualiti hidup. Cuba kurangkan berat badan, bersenam, kurangkan garam dan uruskan tekanan.
Walau bagaimanapun, kegagalan jantung boleh mengancam nyawa. Orang yang mengalami kegagalan jantung mungkin mengalami gejala-gejala yang teruk.
Sesetengahnya mungkin memerlukan pemindahan jantung atau peranti untuk membantu jantung mengepam darah.
Tanda-tanda atau Gejala Kegagalan Jantung
Jika anda mengalami kegagalan jantung, jantung anda tidak dapat membekalkan darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan anda.
Gejala-gejala mungkin terbentuk secara perlahan-lahan. Kadang-kadang ia boleh berlaku secara tiba-tiba.
Antara tanda-tanda dan gejala kegagalan jantung yang boleh berlaku adalah:
- Sesak nafas ketika melakukan aktiviti atau berbaring
- Kelesuan atau kelemahan
- Bengkak di kaki dan buku lali
- Denyutan jantung yang laju atau tidak teratur
- Berdehit
- Kekurangan keupayaan untuk bersenam
- Bengkak di kawasan perut
- Batuk yang tidak hilang atau batuk berkahak putih atau merah jambu dengan tompok darah
- Kenaikan berat badan yang pantas akibat daripada pengumpulan bendalir
- Sukar untuk memberikan tumpuan atau kemerosotan kepekaan
- Loya dan kurang selera makan
- Sakit dada jika kegagalan jantung menyebabkan serangan jantung
Punca yang Menyebabkan Kegagalan Jantung
Kegagalan jantung boleh disebabkan olrh jantung yang lemah, rosak atau kaku.
Sekiranya jantung rosak atau lemah, kebuk jantung mungkin meregang dan membesar. Akibatnya, jantung tidak dapat mengepam keluar jumlah darah yang diperlukan.
Jika kebuk pengepaman utama jantung, dipanggil ventrikel adalah kaku, ia tidak dapat mengisi darah yang cukup di antara degupan.
Selain itu, otot jantung juga boleh rosak akibat daripada jangkitan tertentu, ketagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sesetengah ubat kemoterapi.
Terdapat juga beberapa keadaan yang boleh merosakkan atau melemahkan jantung dan boleh menyebabkan kegagalan jantung.
Antaranya adalah:
- Penyakit arteri koronari dan serangan jantung
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Penyakit injap jantung
- Keradangan pada otot jantung yang dipanggil miokarditis
- Masalah jantung ketika lahir yang dikenali sebagai penyakit jantung kongenital
- Denyutan jantung tidak teratur atau aritmia
- Penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes, HIV atau tiroid.
Kegagalan jantung yang berlaku secara tiba-tiba boleh disebabkan oleh:
- Jangkitan teruk
- Tindak balas alahan
- Penyakit yang menjejaskan seluruh badan
- Darah tersumbat di dalam paru-paru
- Serangan virus pada otot jantung
- Penggunaan ubat-ubatan tertentu
Rawatan
Merawat kegagalan jantung bergantung pada keterukan dan jenis kegagalan jantung yang anda alami.
Rawatan awal boleh memperbaiki gejala dengan agak cepat, tetapi anda masih perlu mendapatkan ujian tetap dan susulan dengan doktor anda setiap 3 hingga 6 bulan. Matlamat utama rawatan adalah untuk meningkatkan jangka hayat anda.
Ubat-ubatan
Gabungan ubat boleh digunakan untuk merawat kegagalan jantung. Ubat khusus yang digunakan bergantung kepada punca kegagalan jantung dan simptomnya.
Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini adalah:
- Perencat enzim pengubah angiotensin (ACE) seperti enalapril, lisinopril dan captopril
- Penghalang reseptor angiotensin II (ARB) seperti losartan, valsartan dan candesartan
- Perencat neprilysin tambah reseptor angiotensin (ARNI) seperti gabungan sacubitril dan valsartan
- Diuretik seperti furosemide
- Penghalang beta seperti carvedilol, metoprolol dan bisoprolol
- Digoxin (Lanoxin)
- Sodium-glucose cotransporter-2 (SGLT2) inhibitors seperti canagliflozin, dapagliflozin dan empagliflozin
- Hydralazine dan isosorbide dinitrate (BiDil)
- Vericiguat (Verquvo)
Pembedahan dan Prosedur Lain
Pembedahan atau prosedur lain mungkin disyorkan untuk merawat masalah yang membawa kepada kegagalan jantung.
Antaranya adalah:
- Pembedahan pintasan koronari
- Pengantian atau pembaikian injap jantung
- Penanaman kardioverter-defibrilator sama seperti perentak jantung
- Cardiac resynchronization therapy
- Peranti pembantu ventrikel
- Transplan jantung
Komplikasi
Komplikasi kegagalan jantung bergantung pada usia, kesihatan keseluruhan dan tahap keterukan penyakit jantung anda. Ia mungkin melibatkan:
- Kegagalan atau kerosakan buah pinggang
- Kerosakan hati
- Masalah jantung yang lain
- Kematian
Bagaimana Mencegah Kegagalan Jantung?
Beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu merawat kegagalan jantung dan mencegah keadaan ini daripada berkembang.
Mengekalkan berat badan yang sederhana dan bersenam secara kerap boleh mengurangkan risiko kegagalan jantung dengan ketara.
Mengurangkan jumlah garam dalam diet anda juga boleh mengurangkan risiko anda.
Di samping itu, beberapa langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan adalah:
- Berhenti merokok
- Berhenti minum alkohol
- Kurangkan makanan tinggi lemak
- Mendapatkan tidur yang mencukupi
- Kekal aktif
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sila berjumpa doktor sekiranya anda berasa anda memiliki gejala-gejala atau tanda kegagalan jantung.
Buat panggilan kepada 999 sekiranya anda atau ahli keluarga anda mengalami gejala-gejala berikut:
- Sakit dada
- Pengsan atau kelemahan yang teruk
- Denyutan jantung laju dan tidak teratur disertai sesak nafas, sakit dada atau pengsan
- Sesak nafas yang teruk dan tiba-tiba serta batuk dengan lendir berbuih putih atau merah jambu.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Heart Failure. MayoClinic
- National Heart, Lung and Blood Institute. (2022). What Is Heart Failure?