Kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat adalah nama diagnostik bagi keadaan kesihatan mental apabila seseorang individu mengalami halusinasi, delusi atau kedua-duanya dalam masa sebulan menggunakan atau berhenti daripada ubat preskripsi, dadah atau alkohol.
Kelaziman kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat dalam populasi umum tidak diketahui. Antara 7% dan 25% individu yang mengalami episod pertama psikosis dilaporkan mengalami kecelaruan psikotik jenis ini.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat ini dikelaskan dalam kumpulan spektrum skizofrenia dan kecelaruan psikotik lain.

Keracunan dan gian daripada pelbagai perangsang dan depresan sistem saraf pusat boleh mencetuskan halusinasi dan delusi yang mana jika tidak disertai dengan pemahaman diri adalah ciri-ciri kepada psikosis.
Kajian terhadap warga Sweden mendapati penagih dadah methamphetamine berisiko untuk tinggi untuk menghidap kecelaruan skizofrenia sekiranya pernah membentuk psikosis dicetuskan methamphetamine.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom bagi kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat ini adalah halusinasi, delusi atau kedua-duanya.
Simptom-simptom ini selalunya disertai dengan simptom-simptom fizikal dan psikologi yang lain. Contohnya seperti:
- Insomnia
- Kelakuan ganas
- Agitasi (perasaan resah yang berlebihan)
- Perubahan emosi atau berubah angin
- Berfikir untuk membunuh diri
Punca atau Penyebab
Kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat berlaku semasa penggunaan atau semasa penarikan daripada alkohol, dadah atau ubat preskripsi.
Bahan-bahan psikoaktif
Terdapat pelbagai bahan psikoaktif yang boleh mencetuskan kecelaruan psikotik ini. Contohnya seperti:
- Alkohol/Arak
- Kanabis
- Kokain
- Halusinogen
- Sedatif
- Phencyclidine (PCP)
- Stimulan
- Hipnotik
- Amphetamina
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang dipreskripsi juga boleh mencetuskan kecelaruan psikotik ini. Antaranya adalah ubat:
- Analgesik
- Antidepresan
- Antikolinergik
- Antiepilepsi
- Steroid
- Disulfiram
- Relaksan otot
Diagnosis
Diagnosis kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat mungkin sedikit sukar untuk dibezakan antara spektrum skizofrenia atau kecelaruan psikotik yang lain.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), beberapa kriteria diagnostik berikut boleh dijadikan panduan untuk mendiagnosis kecelaruan ini:
- Wujudnya simptom-simptom delusi dan halusinasi
- Terdapat bukti daripada sejarah, pemeriksaan fizikal atau makmal yang mendapati simptom-simptom delusi dan halusinasi terbentuk semasa atau selepas ketoksikan bahan atau penarikan atau selepas terdedah kepada ubat.
- Ubat atau bahan yang terlibat berupaya menyebabkan simptom-simptom delusi dan halusinasi.
- Kecelaruan yang berlaku tidak disebabkan oleh kecelaruan psikotik yang lain.
- Kecelaruan tidak berlaku secara eksklusif semasa berlakunya racauan (delirium).
- Kecelaruan tersebut menyebabkan kesusahan atau kemerosotan yang ketara secara klinikal dalam bidang sosial, pekerjaan atau fungsi penting lain.
Rawatan
Rawatan terhadap kecelaruan psikotik cetusan bahan atau ubat berbeza-beza mengikut pesakit dan keperluan mereka.
Dalam kebanyakan kes, menghentikan bahan yang mencetuskan kecelaruan dan melakukan pemantauan rapat terhadap pesakit dalam persekitaran yang selamat sudah memadai.
Psikoterapi
Psikoterapi adalah rawatan yang boleh digunakan untuk merawat sebarang gangguan kesihatan mental bagi mengurangkan risiko untuk kecelaruan psikotik ini berlaku kembali.
Antara pilihan rawatan yang sesuai adalah:
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT)
- Rawatan rehabilitasi pesakit dalam untuk penggunaan dadah atau alkohol
- Rawatan rehabilitasi pesakit luar untuk penggunaan dadah atau alkohol
- Terapi tingkah laku dialektik (DBT)
- Terapi kumpulan
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan mungkin digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom yang berlaku serta menstabilkan mood pesakit.
Antara ubat-ubatan yang mungkin digunakan adalah:
- Benzodiazepine
- Antipsikotik
- Antidepresen
Rujukan
- Kendler, K. S. et al. (2019). Prediction of Onset of Substance-Induced Psychotic Disorder and Its Progression to Schizophrenia in a Swedish National Sample. The American journal of psychiatry.
- Hartney, E. (2021). What Is Substance/Medication-Induced Psychotic Disorder?. verywellmind