Kecelaruan personaliti narsisistik atau dalam bahasa Inggerisnya narcissistic personality disorder (NPD) adalah salah satu daripada kecelaruan personaliti yang menyebabkan seseorang itu mempunyai kepentingan diri yang tinggi, inginkan perhatian dan kekaguman yang berlebihan, mempunyai masalah perhubungan dan kurang rasa empati kepada orang lain.
Penghidap kecelaruan personaliti narsisistik umumnya tidak gembira dan kecewa sekiranya mereka tidak dipuji atau tidak diberi keistimewaan yang mereka percaya mereka layak mendapatnya.
Disebalik keyakinan yang tinggi ini sebenarnya tersimpan rasa tidak selamat, rasa kosong atau kurang keyakinan diri.

Menurut DSM-5, kecelaruan personaliti narsisistik dikelaskan dibawah Kluster B kecelaruan personaliti bersama-sama dengan kecelaruan personaliti antisosial, kecelaruan personaliti pinggiran dan kecelaruan personaliti histrionik.
Simptom-simptom dan Gejala
Simptom-simptom atau gejala bagi pesakit kecelaruan personaliti narsisistik mungkin berbeza-beza dan keterukannya juga berbeza-beza.
Mereka mungkin akan menunjukkan simptom-simptom atau gejala berikut:
- Mempunyai rasa penting diri yang berlebihan
- Mengharapkan untuk diiktiraf sebagai seorang yang hebat walaupun tanpa pencapaian
- Sentiasa ingin dipuji atau dipuja secara berlebihan
- Menokok tambah bakat dan pencapaian
- Memonopoli perbualan dan memandang rendah orang yang mereka anggap sebagai rendah diri
- Mengambil kesempatan ke atas orang lain untuk mendapatkan apa yang mereka mahu
- Disibukkan dengan fantasi kejayaan, kekuatan, kecemerlangan, keindahan atau cinta yang sempurna
- Percaya bahawa mereka “istimewa” dan hanya dapat difahami atau boleh bergaul dengan orang atau institusi yang istimewa
- Menunjukkan tingkah laku dan sikap sombong
- Kurang empati dan tidak mahu mengenal pasti keperluan orang lain
- Selalunya iri hati dengan orang lain atau percaya orang lain iri hati dengan mereka
Simptom-simpom NPD ini biasanya bermula pada usia belia.
Punca
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan personaliti narsisistik tidak diketahui. Para pengkaji percaya bahawa kecelaruan personaliti jenis ini disebabkan oleh gabungan beberapa faktor seperti:
- Trauma zaman kanak-kanak (penderaan fizikal, seksual dan perkataan)
- Genetik (keturunan)
- Personaliti dan pembawaan
- Kehiperpekaan terhadap tekstur, bunyi atau cahaya semasa zaman kanak-kanak
- Pujian yang berlebihan dan kepercayaan bahawa anak mempunyai keupayaan luar biasa
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), untuk seseorang itu didiagnosis sebagai menghidap kecelaruan personaliti narsisistik, mereka mestilah menunjukkan 5 atau lebih simptom-simptom yang dinyatakan di atas.
Ahli profesional kesihatan mental juga akan melakukan pemeriksaan fizikal dan penilaian psikologi bagi memastikan simptom-simptom atau gejala yang berlaku tidak disebabkan oleh penyakit atau penyakit mental yang lain.
Rawatan
Rawatan untuk kecelaruan personaliti narsisistik adalah psikoterapi. Ubat-ubatan mungkin diberikan sekiranya pesakit turut mempunyai kecelaruan mental yang lain.
Psikoterapi
Psikoterapi adalah rawatan yang boleh membantu pesakit:
- Belajar untuk berhubung lebih baik dengan orang lain supaya hubungan pesakit lebih intim, menyeronokkan dan bermanfaat.
- Fahami punca emosi dan apa yang mendorong pesakit bersaing, tidak mempercayai orang lain, dan mungkin menghina diri sendiri dan orang lain.
Selain itu, terdapat juga terapi lain iaitu “transference-focused therapy” yang boleh digunakan untuk merawat kecelaruan ini. Terapi ini memfokuskan kepada ekspresi emosi peribadi pesakit kepada ahli terapi.
Terapi yang lebih baru iaitu “schema-focused therapy” adalah psikoterapi yang memberi tumpuan kepada bentuk alternatif terapi kognitif tingkah laku.
Ubat-ubatan
Tiada ubat yang digunakan secara khusus untuk merawat kecelaruan personaliti ini. Walau bagaimanapun, jika pesakit mengalami gejala kemurungan, keresahan atau keadaan lain, ubat-ubatan seperti antidepresan atau ubat antikeresahan mungkin membantu.
Komplikasi
Sekiranya kecelaruan personaliti narsisistik tidak dirawat, beberapa komplikasi lain yang boleh turut berlaku adalah:
- Masalah ditempat kerja dan sekolah
- Masalah dalam perhubungan
- Kemurungan dan keresahan
- Penyalahgunaan dadah dan arak
- Berfikir untuk membunuh diri
Rujukan
- Mitra P, Fluyau D. Narcissistic Personality Disorder. [Updated 2021 May 18]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2017). Narcissistic personality disorder. MayoClinic.
- Cleveland Clinic. (2020). Narcissistic personality disorder.