Kecelaruan personaliti dependens adalah kecelaruan mental yang menyebabkan seseorang itu terlalu bergantung kepada orang lain dalam memenuhi keperluan fizikal dan emosi mereka.
Kecelaruan personaliti dependens atau dalam bahasa Inggerisnya dependent personality disorder (DPD) adalah salah satu daripada 10 jenis kecelaruan personaliti seperti kecelaruan personaliti antisosial, kecelaruan personaliti paranoid, kecelaruan personaliti pinggiran dan lain-lain lagi.
Mereka yang mengalami kecelaruan ini memerlukan keperluan yang luar biasa untuk orang lain mengambil berat terhadap mereka. Keadaan ini membawa kepada kelakuan yang menyerah atau bergantung kepada orang lain dan takut untuk berpisah.
Kecelaruan personaliti dependens biasanya mula berlaku seawal usia kanak-kanak atau awal dewasa.
Simptom-simptom Kecelaruan Personaliti Dependens
Penghidap kecelaruan personaliti dependens mungkin akan menunjukkan simptom-simptom berikut:
- Sukar membuat keputusan yang melibatkan aktiviti harian tanpa nasihat atau penenteraman daripada orang lain
- Mengelak daripada tanggungjawab diri sendiri
- Bersikap pesimis dan kurang keyakinan diri
- Mengelak untuk bersendirian
- Sangat pasif dalam perhubungan
- Sukar untuk menzahirkan percanggahan pendapat dengan orang lain
- Terlalu sensitif terhadap kritikan
Punca atau Penyebab
Punca yang menyebabkan kecelaruan personaliti dependens ini tidak diketahui dengan jelas. Tetapi pakar kesihatan mental percaya ia hasil daripada gabungan pelbagai faktor seperti genetik, persekitaran dan perkembangan.
Pakar mendapati DPD ini lebih cenderung berlaku kepada mereka yang pernah mengalami pengalaman hidup seperti berikut:
- Trauma semasa kecil. Kanak-kanak yang mungkin pernah didera atau diabaikan.
- Sejarah keluarga. Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap DPD atau menghidap kecelaruan keresahan.
- Perhubungan yang kasar. Mereka yang pernah mengalami perhubungan yang kasar berisiko tinggi menghidap DPD.
- Adat, agama atau kelakuan keluarga. Sesetengah orang mungkin menghidap DPD akibat daripada adat, amalan agama atau kelakuan keluarga. Tetapi kesopanan bukan tanda kepada DPD.
Diagnosis
Ahli profesional kesihatan atau pakar psikiatri akan melakukan diagnosis bagi memahami dan menentukan sama ada anda menghidap DPD atau tidak.
Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disoorders (DSM-5) menggariskan bahawa untuk seseorang itu didiagnosis sebagai menghidap DPD, mereka mestilah menunjukkan 5 atau lebih kriteria berikut:
- Sukar untuk membuat keputusan harian tanpa nasihat atau penenteraman yang berlebihan daripada orang lain.
- Memerlukan orang lain untuk berasa bertanggungjawab ke atas kebanyakan urusan utama hidup mereka.
- Mempunyai kesukaran untuk menzahirkan percanggahan pendapat dengan orang lain kerana takut kehilangan sokongan.
- Sukar untuk memulakan projek atau melakukan sesuatu perkara atas inisiatif sendiri (kerana kurang keyakinan diri dalam pertimbangan atau kurang keupayaan).
- Cuba mendapatkan sokongan atau pemeliharaan berlebihan daripada orang lain.
- Rasa tidak selesa atau tidak berdaya apabila berseorangan kerana takut tidak dapat menjaga diri sendiri.
- Segera mencari perhubungan yang baru sebagai sumber sokongan atau jagaan apabila hubungan lama telah terputus.
- Rasa takut yang tidak realistik sekiranya diabaikan.
Rawatan Kecelaruan Personaliti Dependens
Rawatan psikoterapi seperti terapi kelakuan kognitif (CBT) adalah kaedah rawatan yang berkesan yang mengajar pesakit cara-cara untuk mengawal situasi yang sulit.
Melalui psikoterapi ini, pesakit akan diajar bagaimana cara untuk mempunyai keyakinan diri, menjadi lebih aktif dan lebih berdikari.
Pesakit juga mungkin disarankan untuk mendapatkan satu hubungan yang positif. Mendapatkan pasangan positif atau mencipta hubungan yang positif antara ahli keluarga adalah penting bagi membina keyakinan diri dan membantu pesakit mengatasi simptom-simptom DPD.
Sekiranya kecelaruan ini melibatkan kemurungan dan keresahan, doktor atau pakar psikiatri mungkin akan mempreskripsi ubat-ubatan seperti:
- Fluoxetine
- Alprazolam
- Carbamazepine (penstabil emosi)
Komplikasi
Komplikasi yang mungkin berlaku sekiranya kecelaruan ini tidak dirawat adalah seperti:
- Kemurungan
- Kecelaruan keresahan
- Penyelahgunaan bahan terlarang
- Fobia
- Masalah ditempat kerja atau sekolah
- Memencilkan diri daripada masyarakat
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Dependent Personality Disorder. Cleveland Clinic
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association, 2013.