Vitamin E adalah vitamin larut lemak yang banyak dijumpai dalam makanan. Vitamin E ini juga merupakan nutrien yang mempunyai banyak kebaikan dan fungsi terhadap kesihatan badan manusia.
Walaupun vitamin E sering dianggap sebagai sebatian tunggal, ia sebenarnya sekumpulan lapan sebatian larut lemak dengan kesan antioksidan yang kuat.
Daripada lapan sebatian ini, alfa-tokoferol adalah paling sesuai memenuhi keperluan pemakanan manusia.
Di dalam badan manusia, vitamin E bertindak sebagai antioksidan dan membantu melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Selain itu, badan manusia juga memerlukan vitamin E untuk menguatkan sistem imun bagi melawan sebarang jangkitan bakteria dan virus.
Vitamin E juga turut bertindak membantu melebarkan saluran darah dan mencegah darah daripada membeku di dalamnya.
Di samping itu, sel-sel badan juga memerlukan vitamin E untuk berinteraksi antara satu sama lain dan untuk menjalankan banyak fungsi penting yang lain.
Lelaki dan wanita dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 7.5 miligram (mg) vitamin E setiap hari.
Vitamin E boleh diperolehi dalam banyak makanan harian seperti:
- Minyak kacang soya
- Minyak kanola
- Minyak bunga matahari
- Minyak sawit
- Minyak zaitun
- Biji bunga matahari (kuaci)
- Kacang pekan
- Kacang badam
Selain makanan semula jadi, vitamin E juga boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Artikel ini menjelaskan kepada anda 7 kebaikan vitamin E terhadap kesihatan badan manusia.
1. Boleh Mengurangkan Tekanan Oksidatif
Tekanan oksidatif ialah keadaan di mana berlaku ketidakseimbangan di dalam badan antara antioksidan dan radikal bebas. Keadaan ini boleh membawa kepada kerosakan sel dan meningkatkan risiko penyakit.
Oleh sebab vitamin E bersifat sebagai antioksidan yang kuat, terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan vitamin E pada dos yang tinggi boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan meningkatkan antioksidan dalam badan.
Sebagai contoh, satu kajian pada 2018 melibatkan pesakit diabetes neuropati mendapati pengambilan vitamin E sebanyak 800 IU (536 mg) sehari selama 12 minggu boleh meningkatkan enzim antioksidan dengan ketara. [1]
2. Boleh Membantu Merawat Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol
Penyakit hati berlemak bukan alkohol adalah sejenis penyakit yang menyebabkan pengumpulan lemak di dalam hati bagi orang yang tidak minum alkohol atau minum sedikit alkohol.
Terdapat kajian yang mendapati pengambilan vitamin E boleh membantu meningkatkan beberapa aspek kesihatan bagi penghidap hati berlemak bukan alkohol ini.
Satu kajian semula yang melibatkan 8 kajian mendapati pengambilan vitamin E boleh mengurangkan paras enzim-enzim hati seperti alanine aminotransferase (ALT) dan aspartate aminotransferase (AST) serta menurunkan paras lemak darah dan meningkatkan kesihatan hati bagi penghidap penyakit hati berlemak tersebut. [2]
Peningkatan paras ALT dan AST boleh menjadi tanda kepada keradangan dan kerosakan hati bagi penghidap penyakit hati berlemak.
3. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Vitamin E juga turut mempunyai kebaikan kepada kesihatan jantung dan boleh membantu mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung.
Kebaikan vitamin E ini disumbang oleh peranannya yang boleh melebarkan saluran darah yang seterusnya membantu menurunkan tekanan darah.
Satu analisis yang melibatkan 18 kajian mendapati pengambilan vitamin E boleh mengurangkan tekanan darah sistolik (nilai atas bagi bacaan tekanan darah) dengan ketara. [3]
Terdapat juga kajian semula yang mendapati pengambilan suplemen vitamin E boleh mengurangkan serangan jantung. [4]
4. Boleh Membantu Mengurangkan Senggugut
Vitamin E juga turut bermanfaat kepada wanita yang sering mengalami senggugut atau dismenorea.
Menariknya, terdapat penyelidikan yang mendapati vitamin E boleh mengurangkan kesakitan bagi wanita yang mengalami senggugut.
Kajian pada 2018 terhadap 100 wanita yang mengalami dismenorea mendapati pengambilan 200 IU (134 mg) vitamin E setiap hari melegakan kesakitan haid lebih daripada plasebo. [5]
Kesannya lebih baik apabila vitamin itu digabungkan dengan suplemen omega-3 yang mengandungi 180 mg EPA dan 120 mg DHA. [5]
5. Boleh Membantu Melambatkan Perkembangan Penyakit Alzheimer
Vitamin E juga didapati boleh membantu melambatkan perkembangan penyakit Alzheimer.
Terdapat penyelidikan yang mendapati bahawa pengambilan vitamin E pada dos yang tinggi boleh melambatkan perkembangan penyakit Alzheimer dalam kalangan mereka yang didiagnosis dengan penyakit Alzheimer ringan hingga sederhana.
Kajian yang melibatkan 613 pesakit Alzheimer ringan hingga sederhana menunjukkan bahawa pengambilan vitamin E pada dos 2000 IU (1340 mg) boleh mengurangkan kemerosotan fungsi. [6]
Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan hasil yang bercampur-campur. Maka, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat peranan vitamin E terhadap penyakit Alzheimer.
6. Bermanfaat kepada Kesihatan Kulit
Selain biotin, vitamin E juga turut bermanfaat kepada kesihatan kulit kerana boleh membantu merawat gangguan kulit seperti ekzema.
Kajian-kajian terhad menunjukkan bahawa vitamin E mempunyai kesan yang positif terhadap penyakit kulit seperti ekzema dan boleh menjadi rawatan tambahan kepada penyakit tersebut. [7]
7. Boleh Membantu Meningkatkan Fungsi Paru-paru
Vitamin E juga didapati boleh membantu meningkatkan fungsi paru-paru terutamanya kepada penghidap asma.
Kebaikan vitamin E ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan kanak-kanak yang menghidap asma sederhana.
Kajian tersebut mendapati kanak-kanak yang mengambil vitamin E sebanyak 50 mg sehari menunjukkan penambahbaikan terhadap fungsi paru-paru dan simptom-simptom asma. [8]
Risiko dan Interaksi dengan Ubat
Vitamin E yang diperolehi daripada makanan semula jadi tidak berbahaya dan tidak perlu dihadkan.
Tetapi, dalam bentuk suplemen, vitamin E pada dos yang tinggi boleh meningkatkan risiko perdarahan atau perdarahan serius di dalam otak.
Oleh sebab itu, pengambilan vitamin E dihadkan sehingga 1,000 mg sehari bagi suplemen vitamin E.
Ini bersamaan dengan 1,500 IU/hari untuk suplemen vitamin E semula jadi dan 1,100 IU/hari untuk suplemen vitamin E sintetik.
Pengambilan suplemen vitamin E pada satu jangka masa panjang juga boleh meningkatkan risiko kanser prostat dalam kalangan lelaki sihat. [9]
Vitamin E juga berpotensi berinteraksi dengan sesetengah ubat.
Contohnya seperti:
- Ubat pencair darah seperti warfarin
- Kemoterapi dan radioterapi
- Ubat gabungan antara statin dan niasin
Rumusan
Vitamin E adalah vitamin larut lemak yang penting. Ia adalah antioksidan yang kuat dan diperlukan untuk kesihatan imun dan sel-sel dalam badan anda.
Vitamin E mempunyai impak yang optimum jika dimakan bersama-sama makanan yang turut kaya dengan nutrien yang lain.
Terdapat kajian-kajian yang mendapati vitamin E mempunyai kebaikan untuk penghidap hati berlemak, mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan senggugut dan lain-lain.
Pastikan anda mendapatkan vitamin E yang secukupnya melalui pemakanan harian anda.
Rujukan
- Aghadavod, E. et al. (2018). Effects of High-dose Vitamin E Supplementation on Markers of Cardiometabolic Risk and Oxidative Stress in Patients with Diabetic Nephropathy: a Randomized Double-blinded Controlled Trial. Iranian journal of kidney diseases.
- Vadarlis, A. et al. (2021). Systematic review with meta-analysis: The effect of vitamin E supplementation in adult patients with non-alcoholic fatty liver disease. Journal of gastroenterology and hepatology.
- Emami, M. R. et al. (2019). Effect of vitamin E supplementation on blood pressure: a systematic review and meta-analysis. Journal of human hypertension.
- Loffredo, L. et al. (2015). Supplementation with vitamin E alone is associated with reduced myocardial infarction: a meta-analysis. Nutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
- Sadeghi, N. et al. (2018). Vitamin E and fish oil, separately or in combination, on treatment of primary dysmenorrhea: a double-blind, randomized clinical trial. Gynecological endocrinology.
- Lloret, A. et al. (2019). The Effectiveness of Vitamin E Treatment in Alzheimer’s Disease. International journal of molecular sciences.
- Teo, C. W. L. et al. (2021). Vitamin E in Atopic Dermatitis: From Preclinical to Clinical Studies. Dermatology.
- Ghaffari, J. et al. (2014). Vitamin e supplementation, lung functions and clinical manifestations in children with moderate asthma: a randomized double blind placebo- controlled trial. Iranian journal of allergy, asthma, and immunology.
- Vivarelli, F. et al. (2019). Co-carcinogenic effects of vitamin E in prostate. Scientific reports.