Vitamin B6 atau nama lainnya, piridoksina adalah vitamin yang penting untuk mengekalkan kesihatan badan anda. Terdapat banyak kebaikan vitamin B6 yang mungkin tidak diketahui ramai. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan kebaikan-kebaikan vitamin B6 sebagai rujukan anda.
Vitamin B6 adalah vitamin larut air dalam kumpulan vitamin B kompleks. Ini bermakna vitamin ini larut di dalam air.
Badan manusia tidak menyimpan vitamin B6 dan akan menyingkirkan lebihan vitamin ini melalui air kencing. Maka, anda perlu mendapatkannya melalui makanan setiap hari. Vitamin ini terdapat secara semula jadi dalam banyak makanan.
Badan manusia memerlukan vitamin B6 untuk lebih daripada 100 tindak balas enzim yang melibatkan metabolisme.
Selain itu, vitamin B6 juga turut diperlukan untuk pembentukan otak janin semasa kehamilan serta memastikan sistem imun dan saraf kekal sihat.
Bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia, jumlah pengambilan harian vitamin B6 yang disarankan adalah sebanyak 1.3-1.7 miligram (mg) sehari.
Antara makanan yang kaya dengan kandungan vitamin B6 adalah:
- Ikan tuna
- Daging lembu
- Tempe
- Buah pisang
- Buah nangka
- Buah durian
- Ubi kentang
- Bawang merah
- Bayam
- Oat
Kekurangan vitamin B6 adalah jarang-jarang berlaku. Kebanyakan orang mendapatkan vitamin ini dengan cukup melalui pemakanan harian mereka.
Berikut adalah kebaikan-kebaikan vitamin B6 terhadap kesihatan anda:
1. Boleh Mencegah dan Merawat Anemia
Anemia ialah penyakit yang melibatkan yang diakibatkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel darah merah, ataupun perdarahan yang berlebihan.
Oleh sebab vitamin B6 mempunyai peranan dalam penghasilan hemoglobin, vitamin B6 mungkin boleh membantu mencegah dan merawat anemia akibat kekurangan vitamin.
Terdapat laporan yang mengaitkan paras vitamin B6 yang rendah dengan anemia terutamanya kepada wanita hamil. [1]
2. Boleh Meningkatkan Mood dan Mengurangkan Kemurungan
Vitamin B6 juga mempunyai peranan yang penting dalam pengawalan mood atau emosi.
Kebaikan vitamin B6 ini disumbang oleh peranannya dalam menghasilkan neurotransmiter atau hormon yang mengawal emosi.
Satu kajian pada 2020 mendapati bahawa pengambilan vitamin B6 yang tinggi dikaitkan dengan pengurangan risiko kemurungan dan keresahan dalam kalangan wanita. [2]
Kajian yang lebih terkini pula mendapati golongan belia yang mengambil vitamin B6 pada dos yang tinggi setiap hari berasa kurang resah dan murung. [3]
3. Boleh Meningkatkan Kesihatan Otak
Vitamin B6 juga turut memainkan peranan penting terhadap kesihatan otak dan berpotensi mencegah penyakit Alzheimer.
Paras homosisteina iaitu sejenis asid amino yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap pembentukan demensia dan penyakit Alzheimer. [4]
Vitamin B6 boleh menurunkan paras homosisteina dalam darah yang seterusnya boleh mengurangkan risiko terhadap demensia dan penyakit Alzheimer.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian masih menunjukkan hasil yang bercampur-campur. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa pengambilan vitamin B6 pada dos yang tinggi boleh menurunkan paras homosisteina tetapi tidak memperlahankan kemerosotan otak. [5]
4. Boleh Membantu Merawat Loya Semasa Kehamilan
Sekiranya anda sedang hamil dan sering mengalami loya (mabuk hamil), vitamin B6 boleh membantu.
Satu percubaan klinikal yang melibatkan 342 orang wanita hamil (minggu ke-17) mendapati pengambilan suplemen vitamin B6 sebanyak 30 mg sehari berjaya mengurangkan rasa loya (mual) selepas 5 hari rawatan. [6]
5. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Vitamin B6 juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan mencegah penyumbatan arteri.
Kebaikan vitamin B6 terhadap jantung ini mungkin disumbang oleh keupayaannya untuk menurunkan paras homosisteina yang turut terlibat dalam proses pembentukan penyakit jantung.
Kajian terhadap 158 orang dewasa yang sihat yang mempunyai adik-beradik dengan penyakit jantung membahagikan peserta kepada dua kumpulan iaitu satu yang menerima 250 mg vitamin B6 dan 5 mg asid folik setiap hari selama dua tahun dan satu lagi yang menerima plasebo. [7]
Kumpulan yang mengambil B6 dan asid folik mempunyai tahap homosisteina yang lebih rendah dan ujian jantung yang kurang abnormal semasa senaman berbanding kumpulan plasebo. [7]
Keadaan ini meletakkan mereka pada risiko penyakit jantung yang lebih rendah secara keseluruhan.
6. Boleh Mengurangkan Gejala-gejala Sakit Sendi
Vitamin B6 juga turut bermanfaat kepada penghidap sakit sendi seperti artritis reumatoid dan fibromyalgia.
Paras vitamin B6 yang rendah atau abnromal dikaitkan dengan peningkatan keterukan gejala-gejala dalam kalangan penghidap artritis reumatoid. [8]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa vitamin B6 boleh dijadikan rawatan sokongan terhadap pesakit fibromyalgia bagi mengurangkan kesakitan atau keterukan penyakit. [9]
7. Boleh Membantu Merawat Gejala-gejala PMS
Vitamin B6 juga mungkin bermanfaat dalam membantu merawat gejala-gejala sindrom prahaid (PMS).
Satu percubaan klinikal kecil yang melibatkan 44 orang wanita mendapati pengambilan 50 mg vitamin B6 bersama-sama 200 mg magnesium setiap hari boleh mengurangan gejala-gejala PMS seperti perubahan mood, kerengsaan dan keresahan. [10]
Kajian lain yang melibatkan 60 wanita pramenopaus mendapati bahawa pengambilan 50 mg vitamin B6 setiap hari menambahbaik gejala PMS seperti kemurungan, kerengsaan dan keletihan sebanyak 69%. [11]
Walaupun mempunyai hasil yang menarik, kajian-kajian yang lebih besar dan berkualiti masih diperlukan.
8. Boleh Mencegah Penyakit Mata
Vitamin B6 juga turut memainkan peranan dalam mencegah penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD).
Terdapat kajian yang mengaitkan peningkatan paras homosisteina boleh meningkatkan risiko kepada AMD. [12]
Memandangkan vitamin B6 membantu mengurangkan paras homosisteina dalam darah yang tinggi, mendapat vitamin B6 yang mencukupi boleh mengurangkan risiko penyakit AMD.
Kajian tujuh tahun ke atas lebih 5,400 wanita mendapati bahawa mengambil suplemen harian vitamin B6, B12 dan asid folik (B9) mengurangkan risiko AMD dengan ketara sebanyak 35–40%, berbanding plasebo. [13]
Risiko dan Kesan Sampingan
Mendapatkan vitamin B6 daripada makanan semula jadi tidak mempunyai risiko atau kesan sampingan.
Tetapi, pengambilan vitamin B6 melalui suplemen pada jangka masa panjang boleh menyebabkan kesan sampingan.
Mengambil lebih daripada 1,000 mg vitamin B6 sehari boleh menyebabkan kerosakan saraf dan kesakitan atau kebas pada tangan atau kaki. Sebahagian daripada kesan sampingan ini telah didokumenkan selepas hanya 100-300 mg vitamin B6 sehari. [14]
Justeru itu, elakkan mengambil vitamin B6 melebihi had atas iaitu 100 mg sehari bagi orang dewasa.
Rumusan
Vitamin B6 adalah vitamin yang penting untuk banyak proses dalam badan, termasuk sistem saraf dan metabolisme.
Badan tidak menyimpan vitamin ini, jadi anda perlu mendapatkannya daripada pemakanan harian.
Terdapat banyak kebaikan vitamin B6 untuk manusia. Antaranya adalah membantu mencegah anemia, meningkatkan mood, mengurangkan kemurungan, meningkatkan kesihatan otak dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Hisano, M. et al. (2010). Vitamin B6 deficiency and anemia in pregnancy. European journal of clinical nutrition.
- Kafeshani, M. et al. (2020). Higher vitamin B6 intake is associated with lower depression and anxiety risk in women but not in men: A large cross-sectional study. International journal for vitamin and nutrition research.
- Field, D. T. et al. (2022). High-dose Vitamin B6 supplementation reduces anxiety and strengthens visual surround suppression. Human psychopharmacology.
- Seshadri, S. et al. (2002). Plasma homocysteine as a risk factor for dementia and Alzheimer’s disease. The New England journal of medicine.
- Aisen, P. S. et al. (2008). High-dose B vitamin supplementation and cognitive decline in Alzheimer disease: a randomized controlled trial. JAMA.
- Vutyavanich, T. et al. (1995). Pyridoxine for nausea and vomiting of pregnancy: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. American journal of obstetrics and gynecology.
- Vermeulen, E. G. et al. (2000). Effect of homocysteine-lowering treatment with folic acid plus vitamin B6 on progression of subclinical atherosclerosis: a randomised, placebo-controlled trial. Lancet.
- Chiang, E. P. et al. (2003). Abnormal vitamin B(6) status is associated with severity of symptoms in patients with rheumatoid arthritis. The American journal of medicine.
- Ghavidel-Parsa, B. et al. (2022). Effect of vitamin B6 on pain, disease severity, and psychological profile of fibromyalgia patients; a randomized, double-blinded clinical trial. BMC musculoskeletal disorders.
- De Souza, M. C. et al. (2000). A synergistic effect of a daily supplement for 1 month of 200 mg magnesium plus 50 mg vitamin B6 for the relief of anxiety-related premenstrual symptoms: a randomized, double-blind, crossover study. Journal of women’s health & gender-based medicine.
- Doll, H. et al. (1989). Pyridoxine (vitamin B6) and the premenstrual syndrome: a randomized crossover trial. The Journal of the Royal College of General Practitioners.
- Axer-Siegel, R et al. (2004). Association of neovascular age-related macular degeneration and hyperhomocysteinemia. American journal of ophthalmology.
- Christen, W. G. et al. (2009). Folic acid, pyridoxine, and cyanocobalamin combination treatment and age-related macular degeneration in women: the Women’s Antioxidant and Folic Acid Cardiovascular Study. Archives of internal medicine.
- Katan M. B. (2005). [How much vitamin B6 is toxic?]. Nederlands tijdschrift voor geneeskunde.