Vitamin B3 atau turut dikenali sebagai niasin (niacin) adalah nutrien yang penting kepada badan manusia. Terdapat banyak kebaikan dan fungsi vitamin B3 yang mungkin tidak diketahui ramai.
Justeru itu, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kebaikan vitamin B3 kepada kesihatan manusia yang disokong penyelidikan.
Vitamin B3 adalah salah satu daripada 8 jenis vitamin B. Vitamin ini penting untuk perkembangan dan fungsi sel-sel dalam badan.
Seperti vitamin B1 dan vitamin B2, vitamin B3 juga membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Selain itu, vitamin B3 turut membantu mengekalkan kesihatan sistem saraf, sistem penghadaman dan kulit anda.
Vitamin B3 adalah vitamin larut air, jadi badan anda tidak menyimpannya. Ini juga bermakna badan anda boleh mengeluarkan lebihan vitamin ini melalui air kencing jika ia tidak diperlukan.
Vitamin B3 boleh diperolehi daripada makanan harian seperti daging, ikan, kacang, legum atau makanan yang diperkaya.
Antara makanan yang kaya atau tinggi dengan vitamin B3 adalah seperti berikut:
- Ikan tuna
- Ikan bilis
- Daging lembu
- Ikan bawal hitam
- Tepung gandum
- Nasi (beras)
- Kacang tanah
- Biji bunga matahari
- Tempe
Kekurangan vitamin B3 atau niasin jarang berlaku terutamanya di negara-negara maju. Tetapi, ia boleh berlaku di negara-negara membangun.
Mereka yang menghidap penyakit seperti HIV/AIDS, kegagalan hati, ketagihan arak, anoreksia nervosa (gangguan tidak selera makan atau tidak tahu makan).
Secara umumnya, bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia, jumlah pengambilan harian vitamin B3 yang disyorkan adalah sebanyak 16 miligram (mg) dan 14 mg sehari.
Berikut adalah kebaikan vitamin B3 yang perlu anda tahu:
1. Boleh Membantu Mengawal Paras Kolesterol
Vitamin B3 boleh membantu mengawal paras kolesterol dalam darah dengan membantu meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) dan menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) serta trigliserida.
Ciri-ciri ini boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Walau bagaimanapun, vitamin B3 tidak digunakan sebagai rawatan utama untuk masalah kolesterol tinggi kerana ia memerlukan dos vitamin B3 yang tinggi.
Dos yang tinggi seperti 1,500 mg atau lebih boleh meningkatkan risiko mengalami kesan sampingan. [1]
2. Boleh Membantu Mengurangkan Tekanan Darah
Salah satu peranan niasin adalah untuk membebaskan prostaglandin atau bahan kimia yang membantu saluran darah anda melebar yang meningkatkan aliran darah dan mengurangkan tekanan darah.
Atas sebab ini, niasin mungkin memainkan peranan dalam mencegah atau merawat tekanan darah tinggi.
Dalam satu kajian pencerapan terhadap lebih 12,000 orang dewasa, penyelidik mendapati bahawa setiap peningkatan 1 mg dalam pengambilan niasin harian dikaitkan dengan penurunan sebanyak 2% dalam risiko tekanan darah tinggi. [2]
3. Boleh Meningkatkan Kesihatan Kulit
Vitamin B3 juga mempunyai kebaikan atau manfaat kepada kesihatan kulit. Vitamin B3 membantu melindungi sel-sel kulit daripada sinaran matahari yang berbahaya.
Vitamin B3 juga boleh membantu mencegah beberapa jenis kanser kulit.
Satu ujian klinikal ke atas lebih 300 orang yang berisiko tinggi mendapat kanser kulit mendapati bahawa mengambil 500 mg nikotinamida (niasin) dua kali sehari mengurangkan kadar kanser kulit bukan melanoma berbanding kawalan. [3]
4. Baik untuk Fungsi Otak
Otak manusia juga memerlukan vitamin B3 untuk mendapat tenaga dan berfungsi dengan betul.
Kekurangan vitamin B3 dilaporkan mempunyai perkaitan dengan gejala-gejala gangguan mental. [4]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa jenis-jenis skizofrenia tertentu boleh dirawat dengan vitamin B3. Ia boleh membantu membatalkan kerosakan pada sel-sel otak yang disebabkan oleh kekurangan niasin. [5]
5. Boleh Membantu Merawat Penyakit Diabetes Jenis 1
Penyakit Diabetes Jenis 1 adalah sejenis penyakit autoimun di mana badan menyerang dan merosakkan sel-sel yang menghasilkan insulin di dalam pankreas.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa vitamin B3 boleh membantu melindungi sel-sel tersebut dan mungkin juga mengurangkan risiko diabetes jenis 1 pada kanak-kanak yang berisiko tinggi. [6]
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Tidak ada bahaya untuk mengambil vitamin B3 dalam jumlah yang terdapat secara semula jadi dalam makanan.
Walau bagaimanapun, pengambilan vitamin B3 (niasin) dalam bentuk suplemen pada dos yang tinggi boleh mendatangkan kesan sampingan seperti:
- Gatal-gatal
- Kulit menjadi merah dengan rasa pening
- Cirit-birit
- Loya dan muntah
- Sakit perut
- Denyutan jantung laju
- Gout
- Kerosakan hati
Rumusan
Vitamin B3 (niasin) adalah vitamin larut air yang mempunyai banyak kebaikan terhadap fungsi-fungsi dan kesihatan badan.
Untungnya, vitamin B3 ini boleh diperolehi daripada makanan harian. Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen mungkin disyorkan bagi merawat masalah kesihatan tertentu.
Meskipun begitu, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sebelum mengambil suplemen vitamin B3.
Rujukan
- Mani, P., & Rohatgi, A. (2015). Niacin Therapy, HDL Cholesterol, and Cardiovascular Disease: Is the HDL Hypothesis Defunct?. Current atherosclerosis reports.
- Zhang, Z. et al. (2021). Evaluation of Dietary Niacin and New-Onset Hypertension Among Chinese Adults. JAMA network open.
- Chen, A. C. et al. (2015). A Phase 3 Randomized Trial of Nicotinamide for Skin-Cancer Chemoprevention. The New England journal of medicine.
- Wang, W., & Liang, B. (2012). Case report of mental disorder induced by niacin deficiency. Shanghai archives of psychiatry.
- Xu, X. J., & Jiang, G. S. (2015). Niacin-respondent subset of schizophrenia – a therapeutic review. European review for medical and pharmacological sciences.
- Skyler J. S. (2013). Primary and secondary prevention of Type 1 diabetes. Diabetic medicine.