Vitamin B2 atau turut dikenali sebagai riboflavin adalah vitamin larut air dalam kumpulan vitamin B kompleks. Terdapat banyak kebaikan vitamin B2 yang mungkin tidak diketahui umum.
Artikel ini menyenaraikan fungsi dan kebaikan vitamin B2 kepada kesihatan badan manusia berdasarkan sokongan-sokongan fakta dan kajian.
Vitamin B2 atau riboflavin adalah vitamin yang perlu dimakan setiap hari melalui pemakanan. Hal ini demikian kerana badan kita hanya boleh menyimpan vitamin ini pada jumlah yang sedikit.
Vitamin larut air seperti vitamin B2 akan diserap dan dibawa melalui aliran darah, apabila ia tidak diperlukan ia akan keluar dari badan melalui air kencing.
Vitamin B2 adalah penting untuk pertumbuhan dan fungsi sel-sel badan. Ia juga turut membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Vitamin B2 terdapat dalam banyak makanan semula jadi, ia juga ada dijual dalam bentuk suplemen (makanan tambahan). Kebanyakan daripada vitamin ini akan diserap di dalam usus kecil.
Orang dewasa lelaki dan wanita di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 1.3 miligram (mg) dan 1.1 mg vitamin B2 sehari. Kanak-kanak pula disarankan untuk mendapatkan sekitar 0.5 hingga 0.9 mg vitamin B2 sehari bergantung kepada usia.
Antara makanan-makanan yang kaya dengan vitamin B2 adalah:
- Daging lembu
- Ikan
- Ayam
- Hati ayam
- Hati lembu
- Telur
- Kacang soya
- Kacang kuda
- Kacang badam
- Kacang tanah
- Susu tepung
- Susu UHT
- Kangkung
- Cendawan tiram kelabu
- Sawi
- Pak choy
Vitamin B2 adalah tahan terhadap haba, maka memasaknya tidak mengurangkannya. Walau bagaimanapun, vitamin ini sensitif terhadap cahaya dan terdedah kepada cahaya boleh memusnahkannya.
Vitamin B2 memainkan peranan penting dalam memecahkan nutrien dalam makanan termasuklah karbohidrat, protein dan lemak untuk dijadikan tenaga. Tanpanya, kita tidak dapat berfungsi.
Selain itu, vitamin B2 turut mempunyai kebaikan-kebaikan yang lain seperti:
1. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian pada 2015 mendapati vitamin B2 boleh mengurangkan kesan tekanan oksidatif, kerosakan DNA dan paras gula yang tinggi bagi model haiwan yang menghidap diabetes jenis 2. [1]
2. Menguatkan Sistem Imun
Vitamin B2 juga mempunyai peranan yang penting dalam meningkatkan kekuatan sistem imun badan.
Vitamin B2 boleh mengaktifkan aktiviti perlindungan daripada jangkitan terhadap sel-sel darah putih dan merangsang penggandaan sel-sel darah putih (sel-sel imun). [2]
3. Berpotensi Mengurangkan Risiko Kanser
Vitamin B2 juga turut mempunyai kebaikan atau manfaat terhadap kanser. Vitamin B2 berpotensi mengurangkan risiko terhadap kanser.
Kebaikan vitamin B2 ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melaporkan bahawa vitamin B2 cenderung dikaitkan dengan penurunan risiko kanser usus besar dalam kalangan wanita. [3]
Bagi wanita yang merokok, pengambilan vitamin B2 didapati boleh mengurangkan risiko terhadap kanser paru-paru. [4]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
4. Berpotensi Merawat Migrain
Vitamin B2 juga dilihat berpotensi untuk merawat sakit kepala seperti migrain.
Walau bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana vitamin B2 boleh mencegah migrain.
Terdapat kajian klinikal yang melaporkan bahawa vitamin B2 pada dos yang tinggi berkesan dan murah dalam merawat kanak-kanak dan remaja yang menderita dengan migrain. [5]
5. Boleh Mencegah Katarak
Pembentukan katarak adalah hasil pengumpulan protein yang menyebabkan kanta menjadi keruh.
Kekurangan vitamin B2 dalam kalangan golongan yang berusia boleh meningkatkan risiko terhadap pembentukan katarak.
Vitamin B2 pada dos tinggi iaitu sebanyak 400 mg/hari didapati mempunyai kesan pencegahan atau beberapa kesan yang bermanfaat terhadap perkembangan katarak yang berkaitan dengan usia. [6]
6. Mengurangkan Risiko Sindrom Prahaid
Sindrom Prahaid (PMS) mempunyai pelbagai tanda dan gejala, termasuk perubahan mood, payudara lembut, keinginan makanan, keletihan, kerengsaan dan kemurungan.
Dianggarkan bahawa sebanyak 3 daripada setiap 4 wanita yang datang haid telah mengalami beberapa bentuk sindrom prahaid.
Peningkatan pengambilan vitamin B2 daripada sumber makanan dikaitkan dengan penurunan risiko PMS.
Pengambilan 2.52 mg vitamin B2 sehari dilihat membawa kepada pengurangan risiko sebanyak 35% untuk mendapat PMS berbanding dengan pengambilan 1.38 mg sehari. [7]
7. Boleh Mencegah Anemia
Anemia adalah penyakit yang diakibatÂkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel-sel darah merah ataupun perdarahan yang berlebihan.
Vitamin B2 juga turut menyumbang kepada pembentukan sel-sel darah merah, menambah baik penyerapan zat besi dan membantu mengangkut protein darah yang mengandungi zat besi daripada tisu-tisu badan.
Kajian-kajian mendapati bahawa vitamin B2 boleh meningkatkan penyerapan dan penyimpanan zat besi. [8, 9]
8. Mengurangkan Risiko Terhadap Serangan Jantung dan Strok
Vitamin B2 juga didapati bermanfaat dalam mengurangkan risiko terhadap serangan jantung, strok atau demensia.
Kesan kebaikaan ini disebabkan oleh keupayaan vitamin B2 yang boleh mengurangkan paras homosisteina sehingga 40% bagi sesetengah orang.
Homosisteina adalah asid amino yang lazimnya dijumpai dalam darah. Paras homosisteina yang tinggi dikaitkan dengan masalah-masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok dan demensia.
Menurut satu kajian, pengurangan 25% homosisteina boleh mengurangkan risiko penyakit arteri koronari (penyakit jantung) sebanyak 11-16% dan strok sebanyak 19-24%. [10]
Rumusan
Vitamin B2 atau riboflavin adalah vitamin larut air yang mempunyai banyak kebaikan dan fungsi terhadap manusia.
Vitamin penting ini perlu diperolehi melalui makanan harian atau suplemen. Pengambilan vitamin B2 yang mencukupi boleh membantu melindungi badan daripada tekanan oksidatif, menguatkan sistem imun, mengurangkan risiko kanser dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Alam, M. M. et al. (2015). Ameliorative effect of riboflavin on hyperglycemia, oxidative stress and DNA damage in type-2 diabetic mice: Mechanistic and therapeutic strategies. Archives of biochemistry and biophysics.
- Araki, S. et al. (1995). Enhancement of resistance to bacterial infection in mice by vitamin B2. The Journal of veterinary medical science.
- de Vogel, S. et al. (2008). Dietary folate, methionine, riboflavin, and vitamin B-6 and risk of sporadic colorectal cancer. The Journal of nutrition.
- Takata, Y. et al. (2012). Dietary B vitamin and methionine intakes and lung cancer risk among female never smokers in China. Cancer causes & control.
- Condò, M. et al. (2009). Riboflavin prophylaxis in pediatric and adolescent migraine. The journal of headache and pain.
- Buehler, B.A. (2011). Vitamin B2: Riboflavin. Journal of Evidence-Based Complementary & Alternative Medicine.
- Chocano-Bedoya, P. O. et al. (2011). Dietary B vitamin intake and incident premenstrual syndrome. The American journal of clinical nutrition.
- Powers, H. J. et al. (1993). A proposed intestinal mechanism for the effect of riboflavin deficiency on iron loss in the rat. The British journal of nutrition.
- Powers, H. J. et al. (1985). Haematological response to supplements of iron and riboflavin to pregnant and lactating women in rural Gambia. Human nutrition. Clinical nutrition.
- McNulty, H. et al. (2006). Riboflavin lowers homocysteine in individuals homozygous for the MTHFR 677C->T polymorphism. Circulation.