Vitamin B12 atau nama lainnya “kobalamin” adalah vitamin perlu yang harus diperolehi melalui pemakanan. Terdapat banyak kebaikan vitamin B12 terhadap badan dan kekurangannya boleh menjejaskan fungsi badan tertentu.
Vitamin B12 boleh dijumpai secara semula jadi dalam makanan yang berasaskan haiwan. Ia juga turut ditambah (diperkaya) dalam makanan-makanan tertentu. Selain itu, vitamin ini juga turut dijual dalam bentuk suplemen atau suntikan.
Secara umumnya, bagi orang dewasa lelaki dan wanita di Malaysia, pengambilan nutrien disarankan bagi vitamin B12 adalah sebanyak 4.0 mikrogram sehari. Jumlah ini meningkat bagi wanita hamil dan menyusukan bayi iaitu sebanyak 4.5 dan 5.0 mikrogram sehari.

Vitamin B12 boleh didapati dalam makanan-makanan seperti:
- Kerang
- Tiram
- Kupang
- Hati kambing
- Hati lembu
- Hati ayam
- Ikan mackerel
- Ikan tuna
- Ikan salmon
- Daging lembu
- Udang
- Tauhu
- Bijirin diperkaya
- Keju parmesan
Berikut adalah 9 kebaikan vitamin B12 yang turut disokong oleh kajian-kajian sains:
1. Boleh Membantu Mencegah Anemia
Vitamin B12 memainkan peranan penting dalam membantu menghasilkan sel-sel darah merah.
Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan pengurangan penghasilan sel-sel darah merah dan turut menghalang sel-sel ini terbentuk dengan betul. [1]
Kekurangan vitamin B12 menyebabkan sel-sel darah merah yang asalnya kecil dan bulat menjadi lebih besar dan berbentuk oval.
Disebabkan oleh bentuk yang lebih besar dan tidak teratur ini, sel-sel darah merah tidak dapat bergerak dari sumsum tulang ke dalam aliran darah pada kadar yang sesuai, menyebabkan anemia megaloblas. [2]
2. Baik untuk Kesihatan Tulang
Selain kalsium, vitamin B12 juga mempunyai kebaikan untuk kesihatan tulang dan mencegah osteoporosis.
Satu kajian pada tahun 2022 mendapati bahawa vitamin B12 mempunyai kesan yang baik terhadap ketumpatan mineral tulang dalam kalangan mereka yang mempunyai paras vitamin B12 yang rendah. [3]
Tulang dengan ketumpatan mineral yang berkurangan boleh menjadi halus dan rapuh dari masa ke masa, membawa kepada peningkatan risiko osteoporosis.
3. Boleh Membantu Mencegah Kecacatan Janin
Vitamin B12 juga penting semasa kehamilan.
Kekurangan vitamin ini pada peringkat awal kehamilan boleh meningkatkan risiko terhadap kecacatan lahir seperti kecacatan tiub saraf. [4]
Selain itu, kekurangan vitamin B12 juga boleh menyumbang kepada kelahiran pramatang atau keguguran. [5, 6]
Oleh itu, adalah penting untuk wanita yang bakal hamil atau sedang hamil untuk mendapatkan vitamin B12 yang mencukupi.
4. Boleh Meningkatkan Mood dan Mengurangkan Kemurungan
Kebaikan vitamin B12 juga boleh dilihat dari sudut emosi dan kesihatan mental.
Vitamin B12 mempunyai peranan yang penting terhadap penghasilan hormon serotonin iaitu hormon yang mengawal selia mood atau rasa hati. [7]
Maka, kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan kekurangan penghasilan hormon serotonin yang seterusnya boleh menyebabkan kemerosotan mood.
Dalam satu kajian semula yang melibatkan 9 kajian berkaitan vitamin B12, penyelidik mendapati kekurangan vitamin B12 mempunyai perkaitan dengan peningkatan risiko kemurungan. [8]
Walau bagaimanapun, kesan ini hanya dilihat dalam kalangan wanita berumur.
5. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Mata
Degenerasi makular adalah sejenis penyakit mata yang menjejaskan penglihatan pusat anda.
Mengekalkan paras vitamin B12 yang mencukupi dipercayai boleh membantu mencegah risiko penyakit degenerasi makular berkaitan usia.
Penyelidik percaya bahawa mengambil vitamin B12 boleh merendahkan paras homosistiena iaitu sejenis asid amino yang boleh dijumpai dalam saluran darah.
Paras homosistiena yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap degenerasi makular berkaitan usia. [9]
6. Baik untuk Kesihatan Jantung
Paras homosistiena yang tinggi dalam darah juga turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. [10]
Paras asid amino, homosistiena boleh meningkat sekiranya anda kekurangan vitamin B12.
Kajian mendedahkan bahawa vitamin B12 boleh membantu menurunkan paras homosistiena yang seterusnya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. [11]
Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada bukti saintifik yang boleh mengesahkan bahawa suplemen vitamin B12 boleh membantu mencegah penyakit jantung.
7. Boleh Meningkatkan Tenaga Bagi Sesetengah Orang
Pengilang sering mempromosikan suplemen vitamin B12 untuk tenaga, prestasi dan ketahanan.
Meskipun begitu, buat masa ini tiada bukti saintifik yang menunjukkan pengambilan suplemen vitamin B12 boleh meningkatkan tenaga dalam kalangan mereka yang mempunyai paras vitamin B12 yang mencukupi. [12]
Sebaliknya, jika anda kekurangan vitamin B12 dengan ketara, mengambil suplemen atau meningkatkan pengambilan vitamin B12 mungkin akan meningkatkan tahap tenaga anda. [13]
8. Bermanfaat Kepada Kesihatan Otak
Kekurangan vitamin B12 turut dilaporkan mempunyai kaitan dengan kehilangan ingatan terutamanya dalam kalangan orang tua. [14]
Vitamin ini mungkin memainkan peranan dalam mencegah atrofi otak, iaitu kehilangan neuron di otak dan sering dikaitkan dengan kehilangan ingatan atau demensia.
Terdapat kajian yang mendapati walaupun tahap vitamin B12 sedikit rendah daripada normal boleh menyumbang kepada prestasi ingatan yang lemah. [15]
Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan bahawa suplemen vitamin B12 berkemungkinan tidak berkesan untuk meningkatkan fungsi kognitif pada mereka yang tidak mengalami kekurangan. [16]
9. Baik untuk Kesihatan Kulit, Rambut dan Kuku
Kebaikan vitamin B12 juga turut meliputi kesihatan kulit, rambut dan kuku. Hal ini demikian kerana vitamin ini berperanan dalam penghasilan sel.
Paras vitamin B12 yang rendah dilaporkan boleh menyebabkan pelbagai gejala berkaitan dengan dermatologi seperti perubahan rambut, perubahan warna kuku, hiperpigmentasi, vitiligo dan stomatitis. [17]
Pengambilan suplemen vitamin B12 telah ditunjukkan boleh menambah baik gejala dermatologi pada orang yang mengalami kekurangan vitamin ini. [18]
Rumusan
Vitamin B12 adalah vitamin yang harus diperolehi melalui makanan atau suplemen (makanan tambahan).
Vitamin B ini mempunyai pelbagai peranan terhadap fungsi badan. Ia juga mempunyai banyak kebaikan terhadap kesihatan seperti mencegah anemia, baik untuk kesihatan tulang, mencegah kecacatan janin dan lain-lain lagi.
Justeru itu, adalah penting untuk anda mendapatkan vitamin B12 yang mencukupi terutamanya melalui pemakanan yang sihat dan seimbang.
Rujukan
- Ankar A, Kumar A. Vitamin B12 Deficiency. [Updated 2022 Oct 22]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Hariz A, Bhattacharya PT. Megaloblastic Anemia. [Updated 2023 Apr 3]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Clements, M. et al. (2022). A 2-Year Randomized Controlled Trial With Low-Dose B-Vitamin Supplementation Shows Benefits on Bone Mineral Density in Adults With Lower B12 Status. Journal of bone and mineral research.
- Wahbeh, F., & Manyama, M. (2021). The role of Vitamin B12 and genetic risk factors in the etiology of neural tube defects: A systematic review. International journal of developmental neuroscience.
- Rogne, T. et al. (2017). Associations of Maternal Vitamin B12 Concentration in Pregnancy With the Risks of Preterm Birth and Low Birth Weight: A Systematic Review and Meta-Analysis of Individual Participant Data. American journal of epidemiology.
- Bala, R. et al.(2021). Hyperhomocysteinemia and low vitamin B12 are associated with the risk of early pregnancy loss: A clinical study and meta-analyses. Nutrition research.
- Seppälä, J. et al. (2013). Association between vitamin b12 levels and melancholic depressive symptoms: a Finnish population-based study. BMC psychiatry.
- Petridou, E. T. et al. (2016). Folate and B12 serum levels in association with depression in the aged: a systematic review and meta-analysis. Aging & mental health.
- Huang, P. et al. (2015). Homocysteine and the risk of age-related macular degeneration: a systematic review and meta-analysis. Scientific reports.
- Chrysant, S. G., & Chrysant, G. S. (2018). The current status of homocysteine as a risk factor for cardiovascular disease: a mini review. Expert review of cardiovascular therapy.
- Tayebi, A. et al. (2016). Effect of Vitamin B12 supplementation on serum homocysteine in patients undergoing hemodialysis: A randomized controlled trial. Saudi journal of kidney diseases and transplantation.
- National Institute of Health. Vitamin B12.
- Wolffenbuttel, B. H. R. et al. (2019). The Many Faces of Cobalamin (Vitamin B12) Deficiency. Mayo Clinic proceedings. Innovations, quality & outcomes.
- Nalder, L. et al. (2021). Vitamin B12 and Folate Status in Cognitively Healthy Older Adults and Associations with Cognitive Performance. The journal of nutrition, health & aging.
- Köbe, T. et al. (2016). Vitamin B-12 concentration, memory performance, and hippocampal structure in patients with mild cognitive impairment. The American journal of clinical nutrition.
- Markun, S. et al. (2021). Effects of Vitamin B12 Supplementation on Cognitive Function, Depressive Symptoms, and Fatigue: A Systematic Review, Meta-Analysis, and Meta-Regression. Nutrients.
- Brescoll, J., & Daveluy, S. (2015). A review of vitamin B12 in dermatology. American journal of clinical dermatology.
- Jangda, A. et al. (2022). Hyperpigmentation as a Primary Symptom of Vitamin B12 Deficiency: A Case Report. Cureus.