Tembaga atau kuprum mungkin tidak menonjol seperti mineral yang lain tetapi tetap memainkan peranan penting dalam memastikan badan kita kekal sihat.
Walaupun logam berat lain tidak baik untuk anda, mendapatkan tembaga dalam jumlah surih adalah penting. Terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Sebagai mikronutrien, tembaga penting untuk pelbagai proses dalam badan. Dari menyokong sistem imun sehingga membantu dalam penghasilan tenaga, kebaikan tembaga mungkin tidak diketahui ramai.
Mari kita teliti kebaikan luar biasa tembaga dan mengapa ia layak mendapat lebih banyak perhatian dalam pemakanan kita.
Fungsi Tembaga Terhadap Sistem dan Organ Badan
Tembaga memainkan peranan dalam kebanyakan organ dan sistem badan anda. Ia membantu anda:
- Menghasilkan sel-sel darah merah
- Menyokong sistem imun (sistem pertahanan) badan
- Mengekalkan kesihatan sel-sel saraf
- Membantu penghasilan kolagen
- Melindungi sel-sel daripada rosak
- Menyerap zat besi ke dalam badan
- Menukarkan gula kepada tenaga
Selain itu, tembaga juga turut diperlukan dalam perkembangan otak dan pengaktifan gen-gen.
Kebaikan Tembaga
Para saintis mengkaji tembaga untuk memahami bagaimana ia memberi kesan kepada kesihatan. Berikut adalah beberapa kebaikan tembaga atau kuprum untuk kesihatan badan:
1. Baik untuk Kesihatan Kardiovaskular
Paras tembaga yang rendah dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Selain itu, terdapat juga kajian-kajian yang melihat kesan pengambilan tembaga terhadap penyakit jantung. Walau bagaimanapun, kajian tersebut menunjukkan keputusan yang bercampur-campur.
Sebagai contoh, terdapat pakar yang mencadangkan pengambilan suplemen tembaga (kuprum) untuk menambah baik kegagalan jantung. [1]
Namun, kajian pada 2014 menunjukkan bahawa suplemen tembaga tidak memberikan manfaat kepada mereka yang mengalami kegagalan jantung. [2]
Kajian terhadap haiwan menunjukkan kaitan antara paras tembaga yang rendah dengan penyakit kardiovaskular. [3]
Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada kekurangan tersebut akan memberi kesan yang sama kepada manusia atau tidak.
2. Membantu Menguatkan Sistem Imun
Sistem imun yang kuat adalah penting untuk mempertahankan badan daripada jangkitan kuman.
Kekurangan tembaga telah dikaitkan dengan gangguan fungsi imun yang menjejaskan bilangan sel-sel darah putih atau neutrofil. Akibatnya, anda akan lebih mudah untuk dijangkiti penyakit.
Memastikan pengambilan tembaga yang mencukupi adalah penting untuk menguatkan sistem imun.
3. Penting untuk Kekuatan Tulang
Selain kalsium dan vitamin D, tembaga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan tulang.
Kekurangan tembaga yang teruk dikaitkan dengan ketumpatan mineral tulang yang lebih rendah dan risiko osteoporosis yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, satu kajian terhadap wanita pascamenopaus yang mempunyai ketumpatan tulang yang rendah mendapati golongan ini mempunyai paras tembaga (kuprum) dan mineral lain yang rendah dalam darah mereka. [4]
Penyelidik mencadangkan agar suplemen tembaga sebagai potensi rawatan untuk membantu meningkatkan ketumpatan tulang.
4. Bersifat Antioksidan
Tembaga bertindak sebagai koenzim untuk superoksida dismutase (SOD), enzim yang membantu meneutralkan radikal bebas yang berbahaya dalam badan.
Radikal bebas adalah molekul yang sangat reaktif yang boleh merosakkan sel dan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk keradangan, penuaan, dan penyakit kronik.
Dengan menghapuskan radikal bebas, tembaga membantu melindungi sel daripada tekanan oksidatif dan menyokong mekanisme pertahanan antioksidan secara keseluruhannya.
5. Memainkan Peranan dalam Penghasilan Kolagen
Tembaga (kuprum) memainkan peranan penting dalam mengekalkan kolagen dan elastin iaitu komponen struktur utama badan kita.
Kekurangan tembaga boleh menjejaskan pembentukan kolagen dan elastin. [5]
Makanan yang Tinggi dengan Tembaga
Oleh sebab badan hanya memerlukan sedikit sahaja tembaga (kuprum), biasanya anda boleh mendapatkan tembaga yang mencukupi hanya melalui pemakanan harian.
Antara makanan yang tinggi dengan tembaga adalah:
- Ubi kentang
- Kacang pea
- Tiram
- Kupang
- Kerang
- Sotong
- Sayur-sayuran hijau
- Biji bunga matahari (kuaci)
- Hati lembu
Adakah Tembaga Berlebihan Berbahaya?
Ya, tembaga yang diambil secara berlebihan boleh mengundang bahaya. Pengambilan tembaga berlebihan secara kerap boleh menyebabkan:
- Kerosakan hati
- Sakit perut
- Loya
- Muntah
- Kekejangan
- Cirit-birit
Ketoksikan tembaga jarang berlaku kepada individu sihat. Namun, ia boleh terjadi kepada penghidap penyakit Wilson iaitu penyakit genetik jarang jumpa.
Rumusan
Tembaga ialah mineral surih atau mikronutrien yang mempunyai peranan penting terhadap kesihatan badan.
Sekiranya anda sentiasa mendapatkan tembaga yang mencukupi dalam makanan harian, nescaya anda dapat menikmati semua kebaikan tembaga tersebut.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan, kerana pengambilan tembaga yang berlebihan juga boleh mempunyai kesan buruk.
Rujukan
- Klevay, L. M. (2015). Copper, Coronary Heart Disease, and Dehydroepiandrosterone. Journal of the American College of Cardiology.
- McKeag, N. et al. (2014). The Effect of Multiple Micronutrient Supplementation on Left Ventricular Ejection Fraction in Patients With Chronic Stable Heart Failure: A Randomized, Placebo-Controlled Trial. J Am Coll Cardiol HF.
- LAHEY, M. E. (1952). Studies on copper metabolism. II. Hematologic manifestations of copper deficiency in swine. Blood.
- Mahdavi-Roshan, M. et al. (2015). Copper, magnesium, zinc and calcium status in osteopenic and osteoporotic post-menopausal women. Clinical cases in mineral and bone metabolism.
- O’Dell B. L. (1981). Roles for iron and copper in connective tissue biosynthesis. Philosophical transactions of the Royal Society of London.