Kebaikan dan kepentingan kalium (potassium) mungkin kurang diketengahkan kerana ia banyak terkandung dalam makanan harian.
Sebenarnya, mineral kalium adalah nutrien yang mempunyai peranan yang besar terhadap fungsi dan kesihatan manusia.
Kalium adalah mineral penting yang diperlukan oleh semua tisu dalam badan. Ia kadangkala dirujuk sebagai elektrolit kerana ia membawa cas elektrik kecil yang mengaktifkan pelbagai fungsi sel dan saraf.
Kalium adalah mineral ketiga paling banyak di dalam badan manusia. Ia membantu mengawal selia cecair, menghantar isyarat saraf dan mengawal kontraksi otot.
Kira-kira 98% kalium di dalam badan tersimpan di dalam sel-sel badan. Daripada 98% ini, 80% boleh dijumpai dalam sel-sel otot manakala 20% lagi boleh dijumpai dalam tulang, hati dan sel-sel darah merah. [1]
Kalium boleh dijumpai dalam banyak makanan harian. Contohnya seperti:
- Daging merah
- Daging ayam dan itik
- Ikan
- Buah aprikot kering
- Kismis
- Buah prun
- Sayur bayam
- Sayur brokoli
Di samping itu, kalium juga boleh diperolehi dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Berikut adalah kebaikan dan fungsi kalium terhadap kesihatan badan manusia:
1. Membantu Mengekalkan Keseimbangan Cecair
Kalium membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dengan mengawal pergerakan cecair dan nutrien masuk dan keluar dari sel-sel badan.
Mengekalkan keseimbangan cecair yang baik adalah penting untuk kesihatan yang optimum. Keseimbangan cecair yang lemah boleh menyebabkan dehidrasi, yang seterusnya menjejaskan jantung dan buah pinggang.
2. Membantu Mengekalkan Keseimbangan Elektrolit
Kebaikan kalium yang seterusnya adalah membantu mengekalkan keseimbangan elektrolit.
Bersama-sama natrium, kalium membantu mengekalkan konduktiviti elektrik yang penting untuk transmisi isyarat saraf, kontraksi otot (termasuk denyut jantung), dan fungsi sel secara keseluruhan.
3. Membantu Mengawal Tekanan Darah
Selain itu, kalium juga membantu menyeimbangkan kesan natrium dalam badan, yang seterusnya boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Pengambilan kalium yang tinggi dan natrium yang rendah boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular dan strok.
Satu kajian semula yang melibatkan 33 kajian mendapati apabila penghidap tekanan darah tinggi meningkatkan pengambilan kalium mereka, tekanan darah sistolik mereka menurun sebanyak 3.49 mmHg, manakala tekanan darah diastolik mereka menurun sebanyak 1.96 mmHg. [2]
4. Penting untuk Fungsi Sistem Saraf
Sistem saraf menyampaikan mesej antara otak dan badan manusia.
Mesej ini disampaikan dalam bentuk impuls saraf dan membantu mengawal pengecutan otot, deyutan jantung, refleks dan banyak lagi fungsi badan.
Menariknya, impuls saraf dihasilkan oleh ion natrium yang bergerak ke dalam sel dan ion kalium yang bergerak keluar dari sel.
Penurunan paras kalium dalam darah boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menjana impuls saraf. [1]
5. Membantu Mencegah Osteoporosis
Osteoporosis ialah penyakit yang dicirikan oleh peningkatan liang tulang, yang menyebabkan tulang menjadi rapuh.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa kalium boleh membantu mengekalkan kepadatan mineral tulang dengan mengurangkan pengeluaran kalsium dalam air kencing.
Keadaan ini boleh mengurangkan risiko osteoporosis dan patah tulang.
Sebagai contoh, kajian terhadap 62 wanita sihat berumur 45-55 tahun mendapati bahawa orang yang makan paling banyak kalium mempunyai jumlah jisim tulang yang paling tinggi. [3]
6. Terlibat dalam Mengawal Selia Fungsi Otot
Kalium juga penting untuk fungsi otot yang betul. Ia membantu mengawal kontraksi otot, termasuk kontraksi otot jantung.
Pergerakannya keluar masuk sel membantu mengekalkan deyutan jantung yang teratur.
Tahap kalium yang rendah (hipokalemia) boleh menyebabkan kelemahan otot dan kekejangan.
7. Membantu Mengurangkan Risiko Strok
Strok berlaku apabila terdapat kekurangan aliran darah ke otak.
Terdapat kajian yang mendapati mengamalkan diet yang tinggi kalium boleh membantu mencegah strok. [4]
Kajian ini juga turut melaporkan bahawa mereka yang memakan banyak kalium mempunyai risiko strok yang lebih rendah.
Mereka juga mendapati bahawa diet yang kaya dengan mineral ini dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung.
8. Boleh Membantu Mencegah Batu Karang
Kalsium ialah mineral yang selalu dijumpai dalam batu karang.
Kalium sitrat iaitu salah satu bentuk kalium, boleh membantu mengurangkan risiko pembentukan batu karang dengan menurunkan paras kalsium dalam air kencing.
Terdapat banyak buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi kalium sitrat.
Rumusan
Penting untuk diingat bahawa walaupun kalium menawarkan pelbagai kebaikan dan manfaat kesihatan, pengambilan berlebihan boleh mengundang bahaya, terutama bagi individu yang menghidap penyakit tertentu.
Justeru itu, dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sebelum membuat perubahan besar kepada diet anda atau mengambil suplemen.
Rujukan
- Cheng, C. J., Kuo, E., & Huang, C. L. (2013). Extracellular potassium homeostasis: insights from hypokalemic periodic paralysis. Seminars in nephrology.
- Aburto, N. J. et al. (2013). Effect of increased potassium intake on cardiovascular risk factors and disease: systematic review and meta-analyses. BMJ.
- New, S. A. et al. (2000). Dietary influences on bone mass and bone metabolism: further evidence of a positive link between fruit and vegetable consumption and bone health?. The American journal of clinical nutrition.
- D’Elia, L. (2011). Potassium intake, stroke, and cardiovascular disease a meta-analysis of prospective studies. Journal of the American College of Cardiology.