Anda mungkin biasa mendengar atau membaca perkataan “garam beriodin,” itu bermakna garam tersebut mengandungi iodin. Pentingkah iodin ini? Bagi meningkatkan kefahaman anda terhadap iodin, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kebaikan dan fungsi iodin terhadap badan manusia.
Iodin ialah sejenis mineral yang terdapat dalam sesetengah makanan. Badan memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon ini mengawal metabolisme badan dan banyak fungsi lain seperti:
- Suhu badan
- Kesihatan jantung
- Penghadaman
- Pembentukan otak dan aktiviti mental
Adalah penting untuk setiap individu mendapatkan iodin yang mencukupi dalam pemakanan mereka. Sekiranya paras iodin anda terlalu rendah, anda mungkin memerlukan suplemen iodin. Walau bagaimanapun, anda tidak disarankan mengambil suplemen iodin tanpa arahan doktor.
Iodin wujud secara semula jadi dalam sesetengah makanan dan juga ia turut ditambah di dalam garam yang dilabel “garam beriodin.”
Anda boleh mendapatkan jumlah iodin yang mencukupi dengan memakan pelbagai variasi makanan. Antara makanan yang kaya dengan iodin adalah:
- Susu tepung
- Keju
- Nasi
- Rumpai laut
- Sayur bayam
- Buah pisang
- Udang
- Ikan kod
- Ikan tuna
- Ikan bilis
- Siput sedut
- Kupang
- Garam beriodin
Pada 30 September 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewajibkan semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh Malaysia.
Jumlah iodin yang diperlukan oleh setiap individu adalah berbeza-beza mengikut usia. Lelaki dewasa memerlukan antara 116.2-122.8 mikrogram (mcg) sehari manakala wanita dewasa memerlukan antara 99.0-105.8 mcg sehari.
Kanak-kanak lelaki pula memerlukan iodin antara 73.2-109.8 mcg sehari dan kanak-kanak perempuan memerlukan iodin antara 69.0-109.2 mcg sehari.
Iodin boleh dianggap sebagai mineral perlu yang penting untuk badan. Berikut adalah kebaikan-kebaikan iodin yang mungkin kurang diberikan perhatian:
1. Membantu dalam Perkembangan Janin dan Bayi
Iodin adalah mineral yang penting terutamanya semasa kehamilan dan perkembangan bayi.
Wanita hamil atau menyusukan bayi perlu mendapatkan iodin yang mencukupi untuk bayi mereka membesar dan berkembang dengan baik.
Bayi yang menyusu mendapat iodin daripada susu ibu. Walau bagaimanapun, kandungan iodin susu ibu bergantung kepada berapa banyak iodin yang ibu perolehi.
Bagi wanita hamil, iodin yang diambil semasa kehamilan dikaitkan dengan perkembangan otak janin.
Satu kajian semula pada tahun 2015 melaporkan bahawa bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami kekurangan iodin semasa kehamilan lebih cenderung untuk mempunyai IQ yang rendah dan mempunyai kelewatan intelektual. [1]
2. Mencegah daripada Kemerosotan Kognitif Semasa Kanak-kanak
Fungsi kognitif adalah fungsi otak yang melibatkan kognisi, iaitu proses mental untuk mentafsir,mempelajari dan memahami sesuatu.
Pengambilan iodin yang mencukupi semasa kehamilan juga mungkin turut mempengaruhi kesihatan otak semasa zaman kanak-kanak.
Manakala, kekurangan iodin yang teruk semasa zaman kanak-kanak mempunyai kesan berbahaya terhadap perkembangan otak dan sistem saraf.
3. Mengurangkan Risiko Kepada Penyakit Goiter
Penyakit goiter ialah penyakit pembesaran kelenjar tiroid yang selalunya berlaku disebabkan oleh hipertiroidisme.
Antara punca yang paling lazim menyebabkan penyakit goiter adalah kekurangan iodin dalam pemakanan.
Oleh itu, mendapatkan iodin yang mencukupi boleh mengurangkan risiko kepada penyakit goiter.
4. Berpotensi Merawat Penyakit Fibrosista Payudara
Penyakit fibrosista payudara menyebabkan payudara berbonjol-bonjol dan menyakitkan.
Penyakit ini lazimnya menjejaskan wanita pada usia reproduktif tetapi boleh juga berlaku kepada wanita yang telah menopaus.
Walaupun ia bukanlah kanser, tetapi ia mungkin boleh mengganggu aktiviti harian akibat rasa sakit.
Pengambilan suplemen iodin pada dos yang tinggi dipercayai boleh mengurangkan kesakitan dan gejala-gejala lain bagi penyakit ini. [2]
Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen iodin ini mestilah berdasarkan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang risiko atau kesan sampingan.
5. Berpotensi Merawat Kanser Tiroid
Kebaikan iodin yang seterusnya adalah berpotensi dalam merawat kanser tiroid.
Iodin radioaktif boleh membantu mereka yang menghidap kanser tiroid. Ia berfungsi dengan cara yang sama seperti rawatan hipertiroid.
Apabila anda makan iodin radioaktif, ubat tersebut akan memusnahkan sel-sel tiroid termasuklah sel-sel kanser.
Ia boleh digunakan sebagai rawatan selepas pembedahan tiroid untuk memastikan semua sel kanser telah dikeluarkan dari badan.
Menurut Persatuan Kanser Amerika, rawatan iodin radioaktif meningkatkan peluang hidup bagi penghidap kanser tiroid.
6. Mencegah daripada Berlakunya Hipotiroidisme
Iodin memainkan peranan yang sangat penting terhadap kesihatan tiroid. Kekurangan iodin boleh menyebabkan kekurangan penghasilan hormon tiroid.
Hormon tiroid yang rendah atau kelenjar tiroid yang kurang aktif boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil “hipotiroidisme.”
Anda boleh mencegah keadaan ini daripada berlaku dengan mengambil makanan-makanan yang mengandungi iodin dan menggunakan garam beriodin.
7. Merawat Jangkitan dan Luka Kecil
Iodin sekiranya digunakan secara sapuan juga boleh bertindak seperti antiseptik yang merawat dan mencegah jangkitan. Iodin jenis ini dikenali sebagai povidone-iodine.
Iodin ini berfungsi dengan membunuh bakteria di dalam dan sekitar luka-luka kecil dan calar.
Iodin jenis sapuan tidak boleh digunakan kepada bayi baru lahir dan tidak boleh digunakan untuk luka yang dalam, gigitan haiwan atau luka melecur.
Risiko dan Kesan Sampingan
Iodin yang diperolehi melalui makanan semula jadi pada umumnya adalah selamat.
Walau bagaimanapun, pengambilan iodin yang terlalu banyak terutamanya melalui makanan tambahan (suplemen), boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Demam
- Sakit perut
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Denyutan nadi lemah
- Rasa membakar di dalam mulut, tekak dan perut
Bagi kes-kes yang teruk, ketoksikan iodin boleh menyebabkan koma.
Pengambilan iodin yang tinggi juga boleh menyebabkan keradangan kelenjar tiroid dan kanser tiroid.
Had atas harian iodin bagi orang dewasa termasuk wanita hamil dan menyusu adalah sebanyak 1,100 mg sehari.
Interaksi dengan Ubat-ubatan
Suplemen iodin boleh berinteraksi atau mengganggu ubat-ubatan lain seperti:
- Ubat antitiroid: Methimazole
- Ubat tekanan darah tinggi: Benazepril, lisinopril, fosinopril, spironolactone dan amiloride.
Rumusan
Iodin adalah mineral penting yang wajib ada dalam pemakanan harian. Anda boleh mendapatkan iodin melalui makanan seperti garam beriodin, makanan laut, sesetengah sayur-sayuran dan buah.
Terdapat banyak kebaikan iodin terhadap kesihatan manusia termasuklah pada peringkat awal kehidupan iaitu semasa dalam kandungan dan bayi.
Iodin penting bagi memastikan perkembangan janin dan bayi adalah normal dan sihat. Ia juga boleh mencegah kemerosotan kognitif dalam kalangan kanak-kanak.
Bagi kes-kes tertentu, anda mungkin memerlukan suplemen iodin. Jika tidak, pengambilan iodin daripada makanan semula jadi biasanya sudah memadai.
Rujukan
- Monahan, M. et al. (2015). Costs and benefits of iodine supplementation for pregnant women in a mildly to moderately iodine-deficient population: a modelling analysis. The lancet. Diabetes & endocrinology.
- Ghent, W. R. et al. (1993). Iodine replacement in fibrocystic disease of the breast. Canadian journal of surgery.