Folat (vitamin B9) adalah vitamin B yang penting dalam diet harian. Terdapat banyak kebaikan folat atau asid folik terhadap kesihatan manusia yang akan dibincangkan dalam artikel ini.
Folat atau vitamin B9 adalah vitamin dari kumpulan vitamin B yang wujud secara semula jadi dalam pelbagai makanan. Folat juga dihasilkan secara sintetik (buatan) dan dikenali sebagai asid folik.
Folat merupakan vitamin yang diperlukan untuk menghasilkan sel-sel darah merah dan darah putih dalam sumsum tulang.
Selain itu, folat juga diperlukan untuk menghasilkan DNA dan bahan-bahan genetik yang lain.
Oleh sebab badan manusia tidak boleh menghasilkan folat, maka ia harus diperolehi melalui pemakanan (diet).
Antara makanan yang tinggi dengan folat adalah:
- Kesom
- Bayam
- Sawi
- Labu
- Pucuk keledek
- Asparagus
- Buah betik
- Buah ciku
- Susu soya
- Nasi putih
- Roti putih
Terdapat juga makanan-makanan yang diperkaya dengan asid folik seperti:
- Emping jagung (cornflakes)
- Bijirin sarapan
Lelaki dan wanita dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 400 mikrogram folat sehari. Keperluan ini semakin bertambah bagi wanita hamil dan ibu menyusukan bayi.
Folat atau asid folik penting untuk banyak fungsi badan. Antara kebaikan folat atau asid folik adalah:
1. Mengurangkan Risiko Kecacatan Tiub Saraf
Folat atau asid folik adalah amat penting semasa kehamilan kerana ia boleh mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf.
Kecacatan tiub saraf berlaku apabila tiub saraf yang membentuk otak awal dan saraf tunjang, tidak menutup dengan betul.
Ia berlaku pada awal kehamilan dan boleh mengakibatkan kecacatan seperti spina bifida atau anensefali.
2. Mengurangkan Risiko Strok dan Penyakit Jantung
Pengambilan folat termasuk asid folik boleh membantu meningurangkan risiko kepada strok dan penyakit jantung.
Paras asid amino homosisteina yang tinggi dipercayai boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Oleh sebab folat membantu mengurai homosisteina, maka kekurangan folat boleh meningkatkan paras homosisteina.
Satu kajian semula yang melibatkan 30 kajian mendapati pengambilan suplemen asid folik boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 4% dan mengurangkan risiko strok sebanyak 10%. [1]
3. Mengekalkan Kesihatan Otak
Paras folat yang rendah dikaitkan dengan penurunan fungsi mental dan peningkatan risiko kepada demensia.
Maka, pengambilan folat yang mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko kepada demensia dan kemerosotan mental.
Kebaikan folat ini dapat dilihat dalam satu kajian pada 2019 yang melibatkan 180 orang dewasa yang mengalami kecacatan kognitif ringan.
Pengambilan 400 mikrogram suplemen asid folik setiap hari selama 2 tahun meningkatkan fungsi otak dan mengurangkan paras protein di dalam darah yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer. [2]
4. Merawat Masalah Kesihatan Mental
Folat juga terlibat dalam penghasilan kimia otak yang dipanggil neurotransmiter.
Kekurangan pengambilan folat dikaitkan dengan kemurungan, skizofrenia dan keadaan kesihatan mental yang lain.
Satu kajian semula pada 2022 menunjukkan bahawa suplemen folat dan asid folik boleh membantu mengurangkan gejala-gejala kesihatan mental seperti kemurungan postpartum, skizofrenia dan kecelaruan rasa hati (bipolar disorder). [3]
Mengambil suplemen folat sebagai tambahan kepada ubat antidepresi juga boleh mengurangkan gejala-gejala kemurungan lebih daripada pengambilan ubat antidepresi sahaja. [4]
5. Membantu Meningkatkan Peluang untuk Hamil
Bagi wanita yang merancang untuk hamil, mengambil suplemen folat boleh membantu meningkatkan peluang untuk hamil.
Folat boleh meningkatkan kualiti telur dan membantu telur untuk membesar dan implan pada rahim. [5]
Oleh itu, mengambil folat boleh meningkatkan peluang untuk anda hamil.
6. Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Folat juga bermanfaat kepada penghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Pengambilan folat boleh membantu menambah baik pengawalan paras gula darah dan mengurangkan rintangan insulin dalam kalangan penghidap diabetes. [6]
Tambahan lagi, ubat diabetes iaitu metaformin boleh menyebabkan paras folat dalam darah yang rendah. Maka, anda mungkin memerlukan suplemen sekiranya paras folat anda rendah.
7. Mengurangkan Keradangan
Keradangan berlaku apabila sistem imun anda menghantar sel-sel untuk melawan bakteria atau menyembuhkan kecederaan. Keradangan kronik boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Suplemen asid folik dan folat didapati boleh mengurangkan keradangan dengan mengurangkan penanda keradangan seperti protein C-reaktif. [7]
Risiko dan Kesan Sampingan
Folat yang ada secara semula jadi dalam makanan dan minuman tidak berbahaya.
Walau bagaimanapun, anda tidak boleh mengambil folat dalam makanan tambahan (suplemen) atau makanan dan minuman yang diperkaya dalam jumlah melebihi had atas, melainkan disyorkan oleh doktor.
Pengambilan suplemen asid folik yang tinggi boleh menyembunyikan kekurangan vitamin B12.
Dos asid folik yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal (kanser usus besar) atau kanser-kanser lain bagi sesetengah orang.
Interaksi dengan Ubat-ubatan
Suplemen folat atau asid folik boleh berinteraksi dengan beberapa ubat-ubatan seperti:
- Ubat kanser seperti methotrexate.
- Ubat antiepilepsi dan antisawan seperti phenytoin, carbamazepine, dan valporate.
- Ubat kolitis ulseratif seperti sulfasalazine.
Rumusan
Folat adalah bentuk semula jadi vitamin B9, yang boleh diperolehi daripada makanan harian. Anda juga boleh mendapatkan satu lagi bentuk vitamin B9 iaitu asid folik daripada makanan diperkaya atau suplemen.
Terdapat banyak kebaikan folat atau asid folik kepada kesihatan dan fungsi badan. Contohnya seperti mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf, mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung, mengekalkan kesihatan otak dan lain-lain.
Rujukan
- Li, Y. et al. (2016). Folic Acid Supplementation and the Risk of Cardiovascular Diseases: A Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Journal of the American Heart Association.
- Ma, F. et al. (2019). Effects of folic acid supplementation on cognitive function and Aβ-related biomarkers in mild cognitive impairment: a randomized controlled trial. European journal of nutrition.
- Lam, N. S. K. et al. (2022). The potential use of folate and its derivatives in treating psychiatric disorders: A systematic review. Biomedicine & pharmacotherapy.
- Roberts, E. et al. (2018). Caveat emptor: Folate in unipolar depressive illness, a systematic review and meta-analysis. Journal of psychopharmacology.
- Gaskins, A. J., & Chavarro, J. E. (2018). Diet and fertility: a review. American journal of obstetrics and gynecology.
- Zhao, J. V. et al. (2018). The effects of folate supplementation on glucose metabolism and risk of type 2 diabetes: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Annals of epidemiology.
- Asbaghi, O. et al. (2021). Effects of Folic Acid Supplementation on Inflammatory Markers: A Grade-Assessed Systematic Review and Dose-Response Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Nutrients.