Biotin atau turut dikenali sebagai vitamin B7 atau vitamin H adalah vitamin dalam kumpulan vitamin B kompleks. Seperti vitamin B yang lain, terdapat banyak kebaikan biotin yang mungkin kurang diketahui umum.
Biotin mempunyai peranan penting dalam membantu menukarkan karbohidrat, lemak dan protein yang dimakan kepada tenaga.
Selain itu, biotin juga penting bagi mengekalkan kesihatan sistem saraf, kulit, mata, rambut dan hati. Biotin juga penting semasa kehamilan kerana ia membantu tumbesaran janin.
Selalunya, biotin boleh diperolehi melalui makanan harian seperti daging, telur, kekacang atau sayur-sayuran. Terdapat juga sesetengah orang mendapatkan biotin melalui makanan tambahan (suplemen).
Jumlah biotin yang anda perlukan setiap hari bergantung kepada usia anda. Umumnya, bagi orang dewasa jumlah biotin yang disarankan adalah sebanyak 30 mikrogram sehari.
Terdapat banyak makanan yang mengandungi biotin. Anda boleh mendapatkan jumlah biotin yang disarankan dengan cara memakan pelbagai varieti makanan seperti:
- Daging merah
- Ikan
- Telur
- Hati lembu
- Bijian
- Kekacang
- Keledek
- Bayam
- Brokoli
Dalam bentuk makanan tambahan pula, biotin boleh dijumpai dalam suplemen multivitamin, suplemen B kompleks dan suplemen yang hanya mengandungi biotin.
Selain peranannya untuk fungsi-fungsi badan, biotin juga turut mempunyai kebaikan untuk kesihatan badan.
Antara kebaikan biotin atau vitamin B7 terhadap kesihatan badan manusia adalah:
1. Membantu Mengekalkan Kesihatan Rambut, Kuku dan Kulit
Biotin memainkan peranan penting terhadap kesihatan rambut, kuku dan kulit.
Satu kajian semula yang melibatkan 18 laporan kes mendapati pengambilan suplemen biotin boleh membantu menambah baik pertumbuhan rambut dan kuku. [1]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati pengambilan biotin dalam bentuk makan (oral) boleh membantu merawat penyakit kuku. Percubaan klinikal menunjukkan biotin boleh meningkatkan kekukuhan, kekerasan dan ketebalan kuku. [2]
Kekurangan biotin boleh menyebabkan botak, ruam dan keradangan kulit. [3]
2. Membantu Mengawal Gula Darah dalam Kalangan Penghidap Diabetes
Biotin juga bermanfaat kepada penghidap diabetes jenis 2 atau penyakit kencing manis.
Diabetes jenis 2 adalah keadaan metabolik yang dicirikan oleh paras gula darah tinggi dan fungsi insulin terjejas.
Kekurangan biotin boleh mengganggu pengawalan gula darah, atau glukosa. Sesetengah bukti menunjukkan bahawa paras biotin darah mungkin lebih rendah bagi penghidap diabetes. [4]
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen yang mengandungi biotin dan chromium picolinate dalam kalangan haiwan yang menghidap diabetes boleh membantu merawat penyakit diabetes jenis 2. [5]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan bagi melihat kesan biotin dalam perawatan penyakit diabetes jenis 2.
3. Membantu Menyokong Rawatan Sklerosis Berganda
Sklerosis berganda sejenis penyakit autoimun yang merosakkan salutan pelindung saraf di dalam otak, saraf tunjang dan mata.
Salutan pelindung saraf ini dikenali dengan nama “mielin” dan biotin memainkan peranan penting dalam penghasilannya.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penghidap sklerosis berganda bertindak balas secara positif terhadap dos biotin harian sehingga 300 miligram (mg). [6]
Suplemen ini boleh menterbalikkan perkembangan penyakit dan mengurangkan ketidakupayaan kronik.
Risiko dan Interaksi dengan Ubat
Secara umumnya, biotin tidak mendatangkan sebarang bahaya jika diambil melalui makanan semula jadi.
Tetapi, sekiranya diambil dalam bentuk suplemen melebihi dos yang disarankan, ia boleh menyebabkan keputusan yang salah terhadap ujian makmal yang melibatkan pengukuran paras hormon tertentu seperti hormon tiroid.
Tambahan itu, biotin juga boleh menjejaskan ujian makmal yang melibatkan:
- Ujian jantung
- Ujian hormon reproduktif
- Ujian ubat imunopenindasan
- Paras vitamin D
Keadaan ini boleh membawa kepada diagnosis yang tidak tepat.
Biotin juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu.
Sebagai contoh, pengambilan ubat antisawan sekurang-kurangnya setahun boleh menyebabkan paras biotin yang rendah.
Rumusan
Biotin atau vitamin B7 adalah vitamin larut air yang mempunyai kebaikan yang khusus terhadap rambut, kuku dan kulit.
Selain itu, terdapat juga dapatan awal kajian yang menunjukkan biotin mempunyai kesan yang positif terhadap penyakit diabetes jenis 2 dan sklerosis berganda.
Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sekiranya anda ingin mengambil biotin dalam bentuk suplemen bagi mengelakkan kesan advers.
Rujukan
- Patel, D. P. et al. (2017). A Review of the Use of Biotin for Hair Loss. Skin appendage disorders.
- Lipner, S. R., & Scher, R. K. (2018). Biotin for the treatment of nail disease: what is the evidence?. The Journal of dermatological treatment.
- Mock D. M. (1991). Skin manifestations of biotin deficiency. Seminars in dermatology.
- Oregon State University. (2015). Biotin.
- Valdés-Ramos, R. et al. (2015). Vitamins and type 2 diabetes mellitus. Endocrine, metabolic & immune disorders drug targets.
- Saleem F, Soos MP. Biotin Deficiency. [Updated 2023 Feb 20]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI