Pasti ada satu ketika dalam kehidupan kita yang mana kita berasa kecewa “down“, rasa rendah diri dan rasa berputus asa. Di sini, kami kongsikan kata-kata motivasi untuk membina kekuatan diri serta semangat untuk terus bangkit dari kejatuhan atau kekecewaan kita.
Kehidupan adalah ujian, kita akan sentiasa diuji. Sama ada dengan kesusahan atau dengan kesenangan.
Maka, adalah penting untuk kita terus kuat menghadapi setiap ujian tersebut dengan penuh sabar.
Ada kalanya juga kita diuji dengan kehilangan, haruslah diingati bahawa semua yang wujud di atas dunia ini adalah bersifat sementara, suatu masanya ia pasti akan pergi meninggalkan kita. Usahlah bersedih berpanjangan.
Kata-kata Motivasi
Berikut ialah kata-kata motivasi yang boleh menguatkan semangat serta membina kekuatan diri kita:
1. “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith Riwayat Bukhari)
2. “Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Ash-Sharh Ayat 5).
3. “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” – Hadith Riwayat Bukhari.
4. “Janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.” – Surah Az-Zumar (ayat 53).
5. Orang yang hebat itu kurang bicaranya tetapi hebat dalam tindakannya.
6. “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kemampuannya.” Surah Al-Baqarah (ayat 286).
7. “Untuk mendapatkan sesuatu yang kau inginkan kau harus bersabar dengan sesuatu yang kau benci.” – Imam Al-Ghazali.
8. Hidup ini ibarat roda, ada masanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Ketika di atas ingatlah suatu masa kita akan berada di bawah dan jika berada di bawah, berusahalah untuk naik ke atas.
9. “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh.” – Hamka.
10. Majulah tanpa menyingkirkan orang lain, naiklah tinggi tanpa menjatuhkan orang lain, berbahagialah tanpa menyakiti orang lain.
Sudah pasti setiap orang mempunyai jalan cerita kehidupan mereka yang tersendiri. Liku-liku yang dihadapi membantu mematangkan diri. Yakinlah bahawa suatu hari akan ada sinar dihujung perjalanan ini.