Apa itu Kardiomiopati?
Kardiomiopati atau dalam bahasa Inggerisnya cardiomyopathy ialah sejenis penyakit yang menjejaskan otot jantung iaitu miokardium.
Kardiomiopati boleh membuat jantung anda menjadi kaku, membesar atau menebal dan boleh menyebabkan tisu parut.
Akibatnya, jantung anda tidak dapat mengepam darah dengan berkesan ke seluruh badan. Ia juga boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Sesetengah orang hidup lama dan sihat dengan kardiomiopati. Sesetengah orang tidak menyedari bahawa mereka memilikinya.
Rawatan boleh membantu mengawal gejala-gejala yang berlaku dan mencegah penyakit ini daripada semakin teruk.
Jenis-jenis Kardiomiopati
Terdapat banyak jenis kardiomiopati, antaranya adalah:
- Kardiomiopati terdilat
- Kardiomiopati hipertrofi
- Ischemic cardiomyopathy
- Restrictive cardiomyopathy
- Arrhythmogenic right ventricular dysplasia
- Chemotherapy-induced cardiomyopathy
- Alcohol-induced cardiomyopathy
- Peripartum cardiomyopathy
Gejala-gejala Kardiomiopati
Pada peringkat awal kardiomiopati, mungkin tiada tanda atau gejala yang boleh diperhatikan.
Tetapi, apabila keadaan semakin teruk, tanda dan gejala biasanya muncul seperti:
- Sesak nafas dengan aktiviti atau pun semasa berehat
- Kaki dan buku lali bengkak (sembab)
- Batuk ketika berbaring
- Kelesuan
- Kembung perut akibat pengumpulan cecair
- Sukar berbaring untuk tidur
- Denyutan jantung yang laju atau berdebar-debar
- Tekanan atau ketidakselesaan dada
- Pening dan pitam
Tanda dan gejala cenderung menjadi lebih teruk melainkan dirawat. Bagi sesetengah orang, keadaan bertambah teruk dengan cepat, bagi orang lain pula, ia mungkin tidak bertambah teruk untuk masa yang lama.
Punca yang Menyebabkan Kardiomiopati
Selalunya punca yang menyebabkan kardiomiopati tidak diketahui. Bagi sesetengah orang, penyakit ini boleh diperolehi akibat penyakit tertentu atau keturunan.
Antara penyakit atau masalah kesihatan yang boleh membawa kepada kardiomiopati termasuklah:
- Tekanan darah tinggi yang panjang (kronik)
- Denyutan jantung laju dalam jangka masa panjang
- Kerosakan tisu jantung akibat serangan jantung
- Jangkitan COVID-19
- Jangkitan yang menjejaskan otot jantung
- Masalah injap jantung
- Penyakit tiroid
- Penyakit kolesterol tinggi
- Komplikasi kehamilan
- Gangguan metabolik seperti obesiti dan diabetes
- Kekurangan vitamin tertentu seperti vitamin B1
- Minum terlalu banyak alkohol
- Penyalahgunaan dadah
- Pengumpulan protein yang abnormal di dalam organ (amiloidosis)
- Pengumpulan zat besi di dalam otot jantung (hemokromatosis)
- Penggunaan sesetengah ubat kemoterapi atau radiasi untuk merawat kanser
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk anda menghidap kardiomiopati. Antaranya adalah:
- Sejarah keluarga yang pernah menghidap kardiomiopati, kegagalan jantung dan serangan jantung.
- Tekanan darah tinggi yang lama.
- Obesiti
- Pengambilan alkohol dalam jangka masa panjang
- Mempunyai sejarah serangan jantung
- Penyalahgunaan dadah
- Kehamilan
- Pengalaman yang sangat menekan (stres)
Komplikasi
Kardiomiopati boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti:
- Kegagalan jantung
- Penyakit injap jantung
- Serangan jantung
- Strok
- Artimia
Rawatan
Rawatan kardiomiopati tidak menyembuhkan keadaan. Walau bagaimanapun, rawatan boleh membantu anda menguruskan gejala dan melambatkan perkembangan penyakit.
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang bergantung kepada jenis dan keterukan penyakit anda.
Ubat-ubatan
Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh membantu merawat penyakit ini. Sesetengah ubat boleh menambah baik aliran darah dan menguruskan gejala-gejala anda.
Doktor anda mungkin mempreskripsikan ubat-ubatan berikut:
- Ubat pencair darah
- Ubat antihipertensi
- Ubat untuk merendahkan paras kolesterol
- Ubat antiaritmia
- Ubat kortikosteroid
Terapi
Beberapa prosedur yang digunakan untuk merawat kardiomiopati atau aritmia adalah seperti:
- Ablasi septum: Sebahagian kecil otot jantung yang menebal dimusnahkan dengan menyuntik alkohol melalui tiub (kateter) yang panjang dan nipis ke dalam arteri yang membekalkan darah ke kawasan tersebut.
- Ablasi radiofrekuensi: Untuk merawat irama jantung yang tidak teratur, doktor membimbing tiub yang panjang dan fleksibel (kateter) melalui saluran darah ke jantung. Elektrod pada hujung kateter menghantar tenaga untuk merosakkan bintik kecil tisu jantung yang menyebabkan irama jantung tidak teratur.
Pembedahan atau Prosedur Lain
Beberapa jenis peranti boleh ditanam melalui pembedahan di dalam jantung untuk meningkatkan fungsinya dan melegakan gejala seperti:
- Implantable cardioverter-defibrillator (ICD): Peranti ini memantau ritma jantung dan memberikan kejutan elektrik apabila diperlukan untuk mengawal ritma jantung yang tidak teratur.
- Perentak jantung: Alat kecil ini diletakkan di bawah kulit di dada atau perut menggunakan impuls elektrik untuk mengawal aritmia.
- Ventricular assist device (VAD): Ini membantu aliran darah melalui jantung.VAD biasanya dipertimbangkan selepas pendekatan yang kurang invasif tidak berjaya.
- Pemindahan jantung: Pemindahan jantung mungkin untuk orang yang mengalami kegagalan jantung peringkat akhir yang ubat-ubatan dan rawatan lain tidak lagi berfungsi.
- Miektomi septum: Ini adalah pembedahan terbuka. Pakar bedah membuang sebahagian daripada dinding otot jantung yang menebal (septum) yang memisahkan dua ruang jantung bawah (ventrikel).
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2023). Cardiomyopathy. Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2022). Cardiomyopathy. MayoClinic