Kanser payudara adalah penyakit di mana sel-sel dalam payudara tumbuh di luar kawalan. Terdapat pelbagai jenis kanser payudara. Jenis kanser ini bergantung kepada sel-sel dalam payudara yang bertukar menjadi kanser.
Di Malaysia, kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di negara ini.
Sokongan besar terhadap kesedaran kanser payudara dan pembiayaan penyelidikan telah membantu mencipta kemajuan dalam diagnosis dan rawatan kanser payudara. Kadar kelangsungan hidup kanser payudara telah meningkat dan bilangan kematian yang dikaitkan dengan penyakit ini semakin berkurangan.
Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser payudara adalah sebanyak 73% iaitu tertinggi berbanding kanser-kanser yang lain.

Kanser payudara boleh bermula di bahagian payudara yang berlainan. Payudara terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu lobul, saluran dan tisu penghubung.
Lobul adalah kelenjar yang menghasilkan susu. Saluran adalah tiub yang membawa susu ke puting. Tisu penghubung (yang terdiri daripada tisu berserabut dan berlemak) mengelilingi dan memegang segala-galanya bersama-sama. Kebanyakan kanser payudara bermula di saluran atau lobul.
Kanser payudara boleh merebak ke luar payudara melalui saluran darah dan saluran limfa. Apabila kanser payudara merebak ke bahagian badan yang lain, ia dikatakan telah bermetastasis.
Tanda-tanda atau Gejala Kanser Payudara
Tanda-tanda dan gejala kanser payudara adalah:
- Ketulan atau penebalan payudara yang terasa berbeza daripada tisu sekeliling
- Perubahan saiz, bentuk atau penampilan payudara
- Perubahan pada kulit di payudara seperti lekuk
- Puting yang baru terbalik
- Kemerahan atau lekuk pada kulit di atas payudara anda, seperti kulit oren
- Mengelupas, bersisik atau berkerak di kawasan kulit berpigmen di sekeliling puting (areola) atau kulit payudara
Punca
Kanser payudara berlaku apabila beberapa sel payudara mula membesar secara tidak normal. Sel-sel ini membahagi lebih cepat daripada sel yang sihat dan terus terkumpul, membentuk ketulan atau jisim. Sel-sel kanser tersebut boleh merebak (bermetastasis) melalui payudara ke nodus limfa atau ke bahagian badan yang lain.
Kanser payudara selalunya bermula dengan sel-sel dalam saluran penghasil susu. Kanser ini juga boleh bermula pada tisu kelenjar yang dipanggil lobul atau dalam sel atau tisu lain dalam payudara.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap kanser ini.
Antara faktor-faktor risiko berikut adalah:
- Wanita: Wanita lebih cenderung untuk menghidap kanser ini berbanding lelaki.
- Usia: Peningkatan usia meningkatkan risiko kepada kanser ini.
- Mempunyai sejarah kanser payudara: Jika anda mempunyai kanser pada sebelah payudara, anda berisiko untuk membentuk kanser pada payudara sebelah lagi.
- Mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser: Sekiranya ibu atau adik beradik perempuan yang lain pernah atau sedang menghidap kanser, anda juga berisiko untuk turut menghidap kanser ini.
- Obesiti: Mempunyai berat badan berlebihan atau obes boleh meningkatkan risiko.
- Genetik: Sesetengah gen yang bermutasi boleh meningkatkan risiko kepada kanser ini.
- Terdedah dengan radiasi: Sekiranya anda pernah menerima rawatan radiasi di dada semasa kecil atau belia, anda juga turut berisiko.
- Datang haid pada usia muda: Datang haid pertama sebelum umur 12 tahun meningkatkan risiko anda kepada kanser ini.
- Mengalami menopaus pada usia yang tua: Wanita yang mengalami menopaus pada usia yang tua berisiko tinggi untuk menghidap kanser ini.
- Mempunyai anak pada usia tua: Wanita yang melahirkan anak pertama selepas umur 30 tahun berisiko untuk menghidap kanser ini.
- Tidak pernah mengandung: Wanita yang tidak pernah mengandung juga berisiko berbanding mereka yang pernah mengandung (hamil).
- Terapi hormon pascamenopaus: Wanita yang mengambil ubat terapi hormon yang menggabungkan estrogen dan progesteron untuk merawat tanda dan gejala menopaus mempunyai peningkatan risiko kanser payudara.
- Minum alkohol (arak): Meminum alkohol boleh meningkatkan risiko kanser payudara.
Rawatan
Doktor akan menentukan pilihan rawatan berdasarkan jenis kanser payudara, peringkat dan grednya, saiz, dan sama ada sel kanser sensitif kepada hormon atau tidak. Doktor juga mempertimbangkan kesihatan keseluruhan anda dan pilihan anda sendiri.
Kebanyakan wanita yang menjalani pembedahan untuk kanser payudara turut menerima rawatan tambahan selepas pembedahan seperti kemoterapi, terapi hormon atau radiasi.
Pembedahan
- Pembuangan ketulan kanser pada payudara (lumpectomy). Merupakan terapi konservatif, tisu normal tidak dibuang.
- Pembuangan sebahagian payudara. Pembedahan ini melibatkan pembuangan lebih banyak tisu payudara berbanding dengan lumpectomy. Ia biasanya diikuti dengan radioterapi.
- Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara (simple atau total mastectomy). Dalam pembedahan ini, keseluruhan payudara yang terlibat dibuang, tetapi kelenjar limfa di ketiak dan otot-otot di bawah payudara tidak dibuang.
- Pembuangan payudara radikal diubahsuai (Modified radical mastectomy). Pembedahan ini melibatkan pembuangan seluruh payudara yang terlibat dan sebahagian kelenjar limfa di ketiak.
- Pembuangan payudara radikal (Radical mastectomy). Pembuangan seluruh payudara, kelenjar limfa yang terlibat dan otot-otot bahagian bawah payudara.
- Pembedahan bahagian ketiak (Axillary dissection). Pembedahan ini dilakukan untuk memastikan sama ada kanser payudara telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak atau tidak. Sebahagian kelenjar akan dikeluarkan dan diperiksa dibawah mikroskop.
Kimoterapi
- Rawatan kimoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser sama ada melalui saluran darah atau makan
- Jika kanser anda mempunyai risiko tinggi untuk kembali atau merebak ke bahagian badan yang lain, doktor mungkin mengesyorkan kemoterapi selepas pembedahan untuk mengurangkan kemungkinan kanser akan berulang.
Terapi radiasi
- Terapi radiasi menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi seperti sinar-X dan proton, untuk membunuh sel-sel kanser.
- Terapi ini digunakan untuk memusnahkan sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara, dinding dada atau bahagian ketiak selepas pembedahan. Kadang-kadang ianya digunakan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan.
Terapi Hormon
- Terapi ini digunakan untuk merawat kanser payudara yang sensitif terhadap hormon.
- Terapi hormon boleh digunakan sebelum atau selepas pembedahan atau rawatan lain untuk mengurangkan kemungkinan kanser anda kembali.
Imunoterapi
- Imunoterapi menggunakan sistem imun anda untuk melawan kanser. Sistem imun badan anda yang melawan penyakit mungkin tidak menyerang kanser anda kerana sel-sel kanser tersebut menghasilkan protein yang membutakan sel-sel sistem imun. Imunoterapi berfungsi dengan mengganggu proses tersebut.
Terapi bersasar
- Terapi bersasar (targeted therapy) menggunakan ubat yang boleh menyasarkan ciri-ciri sel tertentu yang menyebabkan kanser. Doktor mungkin mengesyorkan terapi ubat yang bersasar dalam kes di mana kanser payudara telah merebak ke bahagian badan yang lain.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Breast cancer. MayoClinic
- Abdul Aziz, A.B. (2012). Kanser Payudara. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/kanser-payudara/