Kanser ovari merupakan pertumbuhan sel-sel kanser di dalam ovari. Sel-sel tersebut membiak dengan cepat dan boleh menyerang dan memusnahkan tisu badan yang sihat. Ovari ialah sepasang organ yang menghasilkan benih dan hormon wanita.
Kanser ini biasanya berlaku dalam kalangan wanita berusia 40-an ke atas dan memuncak dalam kalangan wanita yang berumur 55 hingga 60 tahun. Namun,ia juga boleh berlaku dalam kalangan remaja perempuan dibawah umur 20 tahun.
Kanser ovari lambat dapat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim).
Kanser ini juga cenderung untuk berlaku kepada wanita yang mempunyai ibu atau adik-beradik yang pernah atau sedang menghidapi kanser tersebut. Ia juga cenderung berlaku dalam kalangan wanita yang mencapai akil baligh awal dan lewat menopos serta wanita yang tidak pernah hamil.
Tanda-tanda atau Gejala Kanser Ovari
Apabila kanser ovari mula-mula berkembang, ia mungkin tidak menyebabkan sebarang gejala yang ketara. Apabila gejala kanser ovari berlaku, ia biasanya dikaitkan dengan keadaan lain.
Tanda-tanda atau gejala kanser termasuklah:
- Kembung perut atau perut membesar (membusung)
- Mudah untuk kenyang apabila makan
- Sakit belakang
- Susut berat badan
- Rasa tidak selesa dibahagian pelvis
- Keletihan
- Sembelit atau cirit-birit
- Kerap kencing
Jenis-jenis Kanser Ovari
Jenis sel di mana kanser bermula menentukan jenis kanser ovari yang dihidapi dan membantu doktor menentukan rawatan yang terbaik bagi pesakit. Jenis-jenis kanser ini adalah:
- Epithelial ovarian cancer: Kanser jenis ini adalah paling lazim berlaku.
- Stromal tumors: Ini adalah tumor yang jarang-jarang berlaku dan biasanya didiagnosis pada peringkat awal.
- Germ cell tumors: Kanser ini juga jarang-jarang berlaku dan cenderung berlaku kepada pesakit yang berusia lebih muda.
Punca Kanser Ovari
Punca kanser ovari tidak diketahui dengan jelas, walau bagaimanapun, doktor telah mengenal pasti perkara yang boleh meningkatkan risiko penyakit itu.
Faktor Risiko
Tiada cara untuk mengetahui dengan pasti sama ada anda akan mendapat kanser ovari ataupun tidak. Kebanyakan wanita mendapatnya kanser ini tanpa berisiko tinggi. Meskipun begitu, beberapa faktor boleh meningkatkan risiko untuk seseorang wanita terkena kanser ini.
Antaranya adalah:
- Berumur atau diusia pertengahan
- Mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai kanser ovari
- Mempunyai mutasi genetik
- Menghidap kanser payudara, kanser uterus atau kanser usus besar
- Menghidap endometriosis
- Tidak pernah mengandung atau menghadapi kesukaran untuk mengandung
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Rawatan Kanser Ovari
Rawatan kanser ovari umumnya memerlukan pembedahan membuang ketumbuhan serta ovari yang sebelah lagi, rahim dan lapisan lemak dalam perut (omenta) sekiranya kanser tersebut telah merebak.
Organ-organ lain yang di jangkiti kanser seperti usus akan di bedah jika perlu. Ini diikuti pula dengan rawatan kemoterapi. Selain itu, terdapat juga beberapa rawatan lain yang mungkin berguna mengikut situasi tertentu.
Rawatan kemoterapi
Kemoterapi adalah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel-sel yang berkembang pesat dalam badan, termasuk sel-sel kanser. Ubat kemoterapi boleh disuntik ke dalam vena (salur darah) atau diambil melalui mulut.
Imunoterapi
Imunoterapi menggunakan sistem imun untuk melawan kanser. Sistem imun badan yang melawan penyakit mungkin tidak menyerang sel-sel kanser kerana ia menghasilkan protein yang membantu mereka bersembunyi daripada sel-sel sistem imun. Imunoterapi berfungsi dengan mengganggu proses itu.
Terapi Hormon
Terapi hormon menggunakan ubat untuk menyekat kesan hormon estrogen pada sel kanser ovari. Sesetengah sel kanser ovari menggunakan estrogen untuk membantu mereka membesar, jadi menghalang estrogen boleh membantu mengawal kanser tersebut.
Terapi Bersasar
Terapi bersar akan memberi tumpuan kepada kelemahan khusus yang terdapat dalam sel kanser. Dengan menyerang kelemahan ini, rawatan ubat yang disasarkan boleh menyebabkan sel-sel kanser mati.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Ovarian cancer. MayoClinic
- Centers for Disease Control and Prevention.(2022). Ovarian Cancer.