Kanser limfoma ialah sejenis kanser yang terbentuk apabila sel-sel darah putih yang dikenali sebagai ‘limfosit’ membesar tanpa kawalan. Limfosit adalah sebahagian daripada sistem imunisasi badan.
Sel-sel limfosit ini akan mengalir diseluruh badan melalui sistem limfa. Sistem limfa ini sama seperti sistem peredaran darah, cuma ia membawa cecair yang dipanggil limfa. Cecair ini akan melalui kelenjar-kelenjar limfa atau nodus-nodus limfa yang terdapat diseluruh badan.
Terdapat 2 kategori utama kanser limfoma iaitu dikenali sebagai Hodgkin dan Bukan Hodgkin
Limfoma Hodgkin
- Limfoma Hodgkin boleh dikenalpasti melalui kehadiran sel kanser yang besar yang dikenali sebagai sel Reed-Sternberg .
- Penyakit jenis ini biasanya merebak dari satu nodus limfa ke satu nodus limfa lain yang bersebelahan dengannya.
Limfoma Bukan Hodgkin
- Limfoma Bukan Hodgkin pula ialah kanser yang terbentuk daripada limfosit-B atau T dalam nodus limfa atau tisu dalam badan.
- Penyakit jenis ini tidak merebak kepada setiap nodus limfa yang terletak bersebelahan dengannya, ada yang ditinggalkan dan ada yang dijangkiti.
- Limfoma Bukan Hodgkin adalah 3 kali lebih biasa terjadi berbanding limfoma Hodgkin.
Simptom-simptom atau Tanda Kanser Limfoma
Kanser limfoma adalah antara kanser yang sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Simptom-simptom awal mungkin tidak ada atau tidak begitu jelas.
Simptom-simptom biasa untuk kanser ini juga agak umum dan kadangkalanya berkait dengan penyakit lain.
Antara simptom-simptom atau tanda-tanda kanser limfoma adalah:
- Bengkak pada kelenjar limfa
- Demam berpanjangan
- Sukar bernafas
- Berpeluh pada waktu malam
- Kelesuan yang berpanjangan
- Penurunan berat badan tanpa sebab
- Ruam dan gatal-gatal pada kulit
- Sakit dada atau rasa tekanan pada dada
- Berak berdarah
- Pening dan sawan
Simptom-simptom Kanser Limfoma Bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak juga akan turut mengalami tanda-tanda atau simptom-simptom kanser yang sama seperti yang dialami oleh orang dewasa.
Tetapi mereka mungkin akan mengalami simptom-simptom yang lain juga seperti:
- Perut membengkak (menjadi buncit).
- Sakit pada bahagian perut.
- Rasa kenyang walaupun makan sangat sedikit.
- Sesak nafas atau batuk.
Punca Kanser Limfoma
Punca sebenar yang menyebabkan kanser limfoma ini tidak diketahui dengan jelas. Tetapi, terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko terjadinya limfoma ini:
- Usia. Kanser limfoma meningkat dengan peningkatan umur seseorang.
- Penyakit yang melemahkan sistem imunisasi badan. Contohnya seperti penyakit autoimun dan penyakit keturunan.
- Jangkitan kuman bakteria dan virus. Contohnya seperti HIV, hepatitis atau helicobacter pylori.
- Radiasi dan bahan kimia. Radiasi nuklear dan bahan kimia pertanian ada dikaitkan dengan limfoma bukan hodgkin.
- Genetik atau keturunan.
Rawatan Kanser Limfoma
Rawatan bergantung kepada jenis kanser, tahap kanser, kesihatan keseluruhan pesakit, dan juga pilihan pesakit.
Bagi kanser limfoma yang berkembang secara perlahan (gred rendah) mungkin tidak memerlukan rawatan terus. Cukup sekadar pemantauan aktif bagi memastikan kanser tersebut tidak merebak.
Sekiranya rawatan diperlukan, berikut adalah beberapa pilihan rawatan yang mungkin terlibat:
- Terapi antibodi: Doktor atau ahli profesional perubatan memasukkan antibodi tiruan ke dalam salur darah.
- Kemoterapi: Rawatan yang menggunakan ubat-ubat tertentu untuk membunuh sel-sel kanser.
- Terapi biologi: Rawatan ini menggunakan ubat yang boleh merangsang sistem imun untuk menyerang sel-sel kanser.
- Radioterapi: Terapi ini menggunakan dos radiasi yang tinggi untuk membunuh sel-sel kanser.
- Pemindahan sel stem: Rawatan ini boleh membolehkan memulihkan tulang sum-sum yang rosak akibat daripada kemoterapi atau radioterapi.
- Pembedahan: Pembedahan ini mungkin diperlukan untuk membuang limpa atau organ lain akibat kanser yang telah merebak.
Kaedah rawatan yang sesuai akan ditentukan oleh doktor selepas melakukan diagnosa terhadap pesakit.
Adakah Pesakit Limfoma Boleh Sembuh?
Pesakit kanser limfoma mempunyai harapan yang tinggi untuk sembuh. Kadar penyembuhan bergantung kepada seteruk mana sel-sel kanser ini telah merebak dan jenis kanser ini.
Menurut Persatuan Kanser Amerika, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun (5 year survival rate) untuk limfoma bukan Hodgkin adalah 70%.
Manakala bagi limfoma Hodgkin pula bergantung kepada tahap kanser ini. Bagi kanser limfoma Hodgkin tahap 1, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun adalah 90%. Bagi kanser limfoma Hodgkin tahap 4 pula, peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun adalah sebanyak 65%.
Rumusan
Kanser limfoma adalah sejenis kanser yang terbentuk dalam sistem limfa. Sistem limfa terdiri daripada nodus-nodus limfa, limpa, kelenjar timus dan tulang sum-sum.
Secara umumnya, terdapat dua jenis kanser limfoma iaitu limfoma Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin. Kanser ini jarang menunjukkan simptom-simptom pada peringkat awal dan simptom yang berlaku mungkin turut mempunyai persamaan dengan penyakit lain.
Penyakit ini boleh dirawat dan potensi untuk sembuh juga adalah tinggi dan turut bergantung kepada tahap kanser yang dihadapi.
Rujukan
- Jamil A, Mukkamalla SKR. Lymphoma. [Updated 2021 Mar 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2021). Lymphoma. MayoClinic.
- Adam Felman (2019). What to know about lymphoma. MedicalNewsToday.