Kanser kolorektal, kanser kolon atau kanser usus adalah nama bagi kanser yang berlaku di bahagian usus besar (kolon) dan rektum. Rektum ialah bahagian organ yang menghubungkan kolon dengan dubur.
Kanser kolorektal atau kanser usus adalah kanser kedua tertinggi yang berlaku di Malaysia berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016.
Kanser kolorektal ini juga lebih kerap menyerang kaum lelaki berbanding kaum wanita.
Terdapat beberapa peringkat atau tahap kanser kolorektal yang dikelaskan mengikut sejauh mana kanser itu telah merebak dan tahap-tahap ini boleh membantu doktor untuk melakukan rawatan yang terbaik.
Tahap kanser kolorektal bermula dengan 0 hingga 4. Tahap 4 ialah tahap yang paling serius:
- Tahap 0. Tahap ini melibatkan sel-sel abnormal berada dalam lapisan pelapik dalam usus besar atau rektum.
- Tahap 1. Kanser telah menembusi pelapik atau mukosa usus besar atau rektum dan mungkin telah merebak ke lapisan otot. Kanser ini belum merebak ke nodus limfa berdekatan atau bahagian badan yang lain.
- Tahap 2. Kanser ini telah merebak ke dinding-dinding usus besar atau rektum. Atau melepasi dinding-dinding ini ke tisu-tisu berdekatan tetapi belum menjangkiti nodus limfa.
- Tahap 3. Kanser ini telah merebak ke nodus limfa tetapi belum menjangkiti bahagian badan yang lain.
- Tahap 4. Kanser ini telah merebak ke bahagian organ yang lain seperti paru-paru atau hati.
Simptom-simptom Kanser Kolorektal
Pada peringkat awal, biasanya kanser kolorektal ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala. Seseorang boleh menghidap kanser ini tanpa menyedarinya. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan ujian saringan secara berkala.
Sekiranya seseorang itu mengalami simptom pada peringkat awal, simptom-simptom yang boleh diperhatikan adalah seperti:
- Cirit-birit yang berulang-ulang
- Darah dalam najis
- Sembelit yang berulang-ulang
- Rektum berdarah
- Sakit perut dan kembung
- Kelesuan atau keletihan
- Kekurangan darah merah (anemia)
Simptom-simptom Bagi Kanser Kolorektal Tahap 3 atau 4
Pada tahap 3 atau 4, kanser kolorektal akan menunjukkan simptom-simptom atau gejala yang lebih ketara. Selain mengalami simptom-simptom seperti di atas, pesakit juga mungkin akan mengalami:
- Muntah-muntah
- Kelesuan yang melampau
- Penurunan berat badan tanpa dirancang
- Buang air besar yang tak lawas
- Perubahan terhadap najis yang berterusan lebih daripada sebulan
Jika kanser ini telah merebak ke bahagian badan yang lain, pesakit mungkin akan mengalami:
- Jaundis (penyakit kuning) sekiranya kanser ini telah merebak ke hati
- Bengkak di kaki atau tangan
- Sakit kepala yang kronik
- Penglihatan kabur
- Kesukaran bernafas sekiranya kanser ini telah merebak ke paru-paru
Tanda-tanda yang Lazim
Data menunjukkan mereka yang didiagnosis dengan kanser kolorektal melaporkan simptom-simptom seperti:
- 37% rektum berdarah
- 34% sakit perut (abdomen)
- 23% anemia (kekurangan darah merah)
Manakala, mereka yang didiagnosis dengan kanser ini selepas mendapatkan rawatan kecemasan mengalami:
- halangan dalam usus atau usus tersumbat (57%)
- peritonitis (radang pada lapisan perut) (25%)
- usus berlubang (18%)
Punca yang Menyebabkan Kanser Kolorektal
Dalam kebanyakan kes, doktor tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kanser kolorektal.
Umumnya, kanser ini bermula apabila sel-sel sihat dalam usus besar bermutasi yang menyebabkan sesetengahnya menjadi sel-sel yang tidak normal. Sel-sel yang tidak normal ini akan berkumpul dalam pelapik usus besar dan membentuk polips.
Polips ini berpotensi besar untuk menjadi kanser jika tidak dirawat. Saringan awal boleh menjejaki polips ini dan membuangnya sebelum bertukar menjadi kanser.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan seseorang itu untuk terkena kanser kolorektal. Antaranya adalah:
- Berumur 50 tahun dan ke atas
- Mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolorektal
- Mempunyai sejarah kanser kolorektal atau polips
- Mengalami penyakit keradangan usus seperti penyakit Crohn atau kolitis ulseratif
- Pemakanan tinggi lemak dan rendah serat
- Tidak aktif atau kurang aktiviti fizikal
- Obesiti dan berat berlebihan
- Merokok
- Minum arak atau alkohol
- Menghidap penyakit kencing manis (diabetes)
Rawatan Kanser Kolorektal
Rawatan bagi kanser ini bergantung kepada lokasi kanser, tahap kanser dan masalah kesihatan lain yang mungkin dialami oleh pesakit.
Biasanya, rawatan bagi kanser kolorektal ini melibatkan pembedahan untuk membuang kanser tersebut. Selain daripada itu, radioterapi dan kemoterapi mungkin juga disarankan.
Pembedahan
Kaedah pembedahan invasif minimum adalah pendekatan yang mungkin digunakan untuk bagi kanser peringkat awal. Contohnya seperti:
- Pembuangan polips semasa kolonoskopi.
- Pembedahan laparoskopik. Polips yang tidak dapat dibuang semasa kolonoskopi akan dibuang menggunakan pembedahan laparoskopik.
- Endoscopic mucosal resection. Polips yang besar dibuang semasa kolonoskopi menggunakan alat khas.
Bagi kanser yang telah merebak, prosedur pembedahan seperti berikut mungkin disarankan:
- Kolektomi separa. Pakar bedah akan membuang sebahagian usus besar yang mengandungi kanser.
- Pembedahan untuk membuat bukaan untuk najis. Sekiranya usus besar atau rektum yang sihat tidak dapat disambung, pakar bedah akan membuat bukaan di dinding perut untuk menyalurkan najis keluar ke dalam bag.
- Pembuangan nodus limfa. Nodus limfa yang berdekatan dengan kanser usus biasanya turut dibuang semasa pembedahan kanser ini.
Terapi
Selain pembedahan, beberapa kaedah terapi juga boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Antaranya adalah:
- Kemoterapi. Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.
- Radiasi. Terapi radiasi melibatkan penggunaan sumber tenaga yang kuat seperti X-ray dan proton untuk membunuh sel-sel kanser.
- Immunoterapi. Terapi ini menggunakan ubat yang menggunakan sistem imun untuk melawan kanser.
Bagaimana untuk Mencegah Kanser Kolorektal?
Mencegah kanser ini lebih baik daripada mengubatinya. Beberapa perubahan gaya hidup dan kesedaran untuk melakukan ujian saringan boleh membantu mencegah atau mengurangkan risiko terjadinya kanser ini.
Bagi individu yang berusia 50 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser ini digalakkan untuk melakukan ujian saringan awal.
Perubahan Gaya Hidup
Amalan gaya hidup sihat dan aktif boleh membantu mengurangkan risiko seseorang itu daripada terkena penyakit ini.
Ubah gaya hidup anda dengan:
- Melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Jika anda telah lama tidak aktif, mulakan dengan beberapa minit kemudian tambah secara berperingkat sehingga mencapai 30 minit sehari.
- Berhenti minum arak.
- Berhenti merokok.
- Makan makanan yang tinggi zat dan serat. Sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh adalah kumpulan makanan yang banyak mengandungi serat, mineral, vitamin dan antioksidan yang boleh mencegah kanser.
- Kekalkan berat badan yang sihat. Sekiranya anda telah memiliki berat badan yang ideal, cuba kekalkan berat badan ini. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, cuba kurangkan berat badan anda kepada berat badan yang ideal.
- Kurangkan makan daging merah.
- Elakkan makan daging diproses. Contohnya seperti sosej dan daging burger.
- Kurangkan makan makanan yang berlemak.
- Kurangkan tekanan (stres).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Colon cancer. MayoClinic.
- Carmella Wint & Jennifer Nelson. (2020). Colorectal (Colon) Cancer. Healthline.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Colorectal (Colon) Cancer.