Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim yang dicampurkan ubat batuk dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna.
Melalui satu kenyataan, KKM melaporkan bahawa pihaknya memandang serius penjualan aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) oleh sebuah rangkaian premis penjualan aiskrim.
Menurut KKM lagi, hasil semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim tersebut disediakan bersama-sama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.
“Produk ubat batuk ini digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk serta mempunyai kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.
“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial juga diarahkan untuk menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
“Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan pemasaran atau melariskan jualan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).