Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggantung kelulusan yang telah diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuatkuasa serta merta sehingga satu hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.
Penggantungan ini dilakukan berikutan isu halal yang menimbulkan keraguan. Sebelum ini pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PEKEMAS) dan Sahaba 99 mengadakan sidang media mendedahkan tatacara penyembelihan yang dilakukan tidak mengikuti cara Islam.
Menurut Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor, binatang di loji sembelihan ini tidak disembelih mengikut tatacara Islam.
“Binatang (kambing) tersebut tidak mati disebabkan oleh penyembelihan. Malah ia mati disebabkan lemas dalam gumpalan darah.
“Keduanya, kawasan penyembelihan tersebut agak terbuka. Di situ terdapat anjing liar dan terdapat haiwan-haiwan sembelihan tersebut telah mati disebabkan digigit anjing liar,” katanya pada sidang media.
Sehubungan dengan itu, pihak JAKIM telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia. JAKIM juga telah mengatur pertemuan dengan PEKEMAS bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Keputusan penggantungan kelulusan tersebut telah dicapai melalui sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan JAKIM dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia pada 13 Mei 2022.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff turut berkata, pihak JAKIM juga turut memberikan surat tunjuk sebab kepada badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut.
“Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) juga berhadapan dengen kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia,” tambahnya dalam satu kenyataan.