Apa itu Hipertensi atau Tekanan Darah Tinggi?
Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah satu keadaan apabila tekanan darah anda sentiasa tinggi dari keadaan biasa.
Tekanan darah ditentukan oleh jumlah darah yang dipam jantung dan jumlah rintangan kepada aliran darah dalam arteri anda. Semakin banyak darah yang dipam jantung dan semakin sempit arteri anda, semakin tinggi tekanan darah anda.
Tekanan darah dibaca dalam unit milimeter merkuri (mm Hg). Ia mempunyai dua nombor.
- Tekanan sistolik (nombor di atas): Nombor pertama, atau atas, mengukur tekanan dalam arteri anda apabila jantung anda berdegup.
- Tekanan diastolik (nombor di bawah): Nombor kedua, atau bawah, mengukur tekanan dalam arteri anda antara degupan.
Anda boleh mengalami tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sebarang simptom-simptom. Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal meningkatkan risiko kesihatan yang serius, termasuk serangan jantung dan strok.
Bacaan Tekanan Darah
Kategori | Tekanan Darah Sistolik (mmHg) | Tekanan Darah Diastolik (mmHg) |
---|---|---|
Optima | <120 | <80 |
Normal | <130 | <85 |
Tinggi Normal | 130-139 | 85-89 |
Hipertensi Tahap 1 (ringan) | 140-159 | 90-99 |
Hipertensi Tahap 2 (sederhana) | >160 | >100 |
Hipertensi Tahap 3 (kecemasan) | >180 | >120 |
Tanda atau Simptom-simptom Hipertensi
Kebanyakan orang yang mempunyai tekanan darah tinggi tidak mempunyai tanda atau simptom-simptom, walaupun bacaan tekanan darah mencapai tahap yang berbahaya.
Segelintir orang yang mengalami tekanan darah tinggi mungkin mengalami sakit kepala, sesak nafas atau perdarahan hidung, tetapi tanda dan simptom-simptom ini tidak khusus dan biasanya tidak berlaku sehingga tekanan darah tinggi mencapai tahap yang teruk atau mengancam nyawa.
Punca
Terdapat 2 jenis tekanan darah tinggi iaitu:
Hipertensi Primer
Bagi kebanyakan orang dewasa, penuaan dan tabiat tidak sihat seperti tidak cukup bersenam adalah punca yang menyebabkan tekanan darah tinggi primer. Tekanan darah tinggi jenis ini, cenderung berkembang secara beransur-ansur selama bertahun-tahun.
Hipertensi Sekunder
Sesetengah orang mengalami tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh masalah kesihatan lain. Jenis tekanan darah tinggi ini, dipanggil hipertensi sekunder, cenderung muncul secara tiba-tiba dan menyebabkan tekanan darah yang lebih tinggi daripada hipertensi primer.
Antara masalah kesihatan yang boleh menyebabkan hipertensi sekunder adalah:
- Penyakit buah pinggang (ginjal)
- Masalah tiroid
- Apnea tidur obstruktif
- Kecacatan dalam saluran darah semasa sejak lahir
- Ubat-ubatan tertentu seperti pil perancang, dekongestan atau ubat pelega kesakitan.
- Penyalahgunaan dadah
Faktor Risiko
Terdapat juga beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi. Contohnya seperti:
- Usia: Peningkatan usia.
- Keturunan: Tekanan darah tinggi cenderung untuk berlaku dalam keluarga.
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes: Lebih berat badan anda, lebih banyak darah yang perlukan untuk membekalkan oksigen dan nutrien ke tisu badan anda.
- Tidak aktif: Orang yang tidak aktif cenderung mempunyai kadar denyutan jantung yang lebih tinggi.
- Merokok: Merokok boleh meningkatkan tekanan darah anda buat sementara waktu. Bahan kimia dalam tembakau juga boleh merosakkan lapisan dinding arteri anda.
- Pemakanan yang tinggi garam (natrium): Terlalu banyak natrium dalam pemakanan boleh menyebabkan badan anda mengekalkan cecair, yang meningkatkan tekanan darah.
- Pemakanan yang rendah dengan kalium (potassium): Kalium membantu mengimbangi jumlah natrium dalam sel-sel anda. Keseimbangan kalium yang betul adalah penting untuk kesihatan jantung yang baik.
- Minum alkohol: Alkohol boleh merosakkan jantung.
- Tekanan (stres): Tahap tekanan yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan sementara terhadap tekanan darah.
Rawatan
Mengubah gaya hidup anda boleh membantu mengawal dan menguruskan tekanan darah tinggi. Doktor mungkin mengesyorkan agar anda membuat perubahan gaya hidup termasuk:
- Makan makanan yang menyihatkan dan kurang dengan garam
- Melakukan aktiviti fizikal yang kerap
- Mengekalkan berat badan yang sihat atau menurunkan berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes
- Jauhi daripada meminum alkohol
Sekiranya perubahan gaya hidup tidak mencukupi, doktor mungkin akan menyarankan ubat-ubatan untuk merendahkan tekanan darah anda.
Jenis ubat yang dipreskripsi oleh doktor untuk tekanan darah tinggi bergantung pada bacaan tekanan darah dan kesihatan keseluruhan anda.
Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi termasuklah:
- Diuretik
- Angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors seperti lisinopril (Prinivil, Zestril) dan benazepril (Lotensin)
- Angiotensin II receptor blockers
- Calcium channel blockers seperti amlodipine (Norvasc) dan diltiazem (Cardizem, Tiazac)
Komplikasi
Tekanan darah yang tinggi akan mengakibatkan bebanan kepada organ-organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan. Antara komplikasi akibat penyakit ini adalah:
- Serangan strok
- Penyakit jantung
- Perdarahan dan kerosakan pada mata
- Kegagalan fungsi buah pinggang
- Penyakit vaskular periferi
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). High blood pressure (hypertension). MayoClinic.
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). High Blood Pressure (Hypertension). Cleveland Clinic