Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun. Sambutan ini sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengajak mereka untuk turut serta dalam usaha mencegah dan membendung penaykit kanser yang kian meningkat.
Tema sambutan Hari Kanser Sedunia bagi tahun 2022 ini adalah “Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser” atau “Close the Care Gap“.
Untuk makluman semua, penyakit kanser adalah penaykit yang tidak berjangkit atau turut dipanggil NCD (non-communicable disease). Kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia dengan jumlah kematian yang meningkat setiap tahun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan peningkatan kes baharu sebanyak 19.3 juta yang dikesan pada tahun 2020. Jumlah kematian juga meningkatkan dalam tempoh dua dekad iaitu dari 7 juta kepada 10 juta kematian, iaitu peningkatan sebanyak 42.9%.
Statistik Penyakit Kanser di Malaysia
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% bagi tempoh 2012-2016 berbanding tahun 2007-2011 iaitu peningkatan sebanyak 11,731 kes.
Kematian akibat kes juga dilaporkan keempat tertinggi di hospital kerajaan (KKM) iaitu sebanyak 11.56% dan tertinggi di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 34.95%.
Penyakit kanser juga merupakan antara sebab utama kemasukan ke hospital kerajaan dan swasta.
Jenis Kanser Paling Kerap Berlaku Dalam Kalangan Lelaki
Di Malaysia, terdapat 3 jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki iaitu:
- Kanser kolorektal (kanser usus besar) – 16.9%
- Kanser paru-paru – 14.8%
- Kanser prostat – 8.1%
Jenis Kanser Paling Kerap Berlaku Dalam Kalangan Wanita
Di Malaysia, 3 jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita adalah:
- Kanser payudara – 33.9%
- Kanser kolorektal – 10.7%
- Kanser serviks – 6.2%
Faktor-faktor Risiko Kepada Kanser
Menurut WHO, satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaikan dengan:
- Pengambilan tembakau (termasuk merokok)
- Berat badan berlebihan
- Pengambilan alkohol secara berlebihan
- Kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan
- Tidak aktif secara fizikal
KKM Menekankan Larangan Merokok dan pemilikan Sebarang Produk Merokok
Merokok adalah penyumbang kepada 22% kes kematian akibat kanser. Dianggarkan kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM 132.7 juta.
Oleh sebab itu, KKM kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.
Pelaksanaan peraturan baharu ini diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu.
Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu agenda utama dalam kehidupan seharian.