Glomerulonefritis akut (GA) ialah penyakit buah pinggang (ginjal) yang berlaku secara tiba-tiba akibat keradangan unit penapis dalam buah pinggang yang dikenali sebagai glomeruli.
Glomeruli ini membantu menyingkirkan lebihan bendalir dan sisa daripada saluran darah daripada badan melalui air kencing.
Glomerulonefritis boleh berlaku dengan sendirinya atau sebagai sebahagian daripada penyakit lain seperti lupus atau diabetes. Keradangan yang teruk atau berpanjangan yang berkaitan dengan glomerulonefritis boleh merosakkan buah pinggang.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala glomerulonefritis berbeza-beza bergantung kepada sama ada anda menghidap glomerulonefritis akut atau kronik dan sebabnya.
Kira-kira setengah daripada orang yang mengalami glomerulonefritis akut tidak mempunyai tanda-tanda atau gejala.
Sekiranya, berlakunya tanda-tanda dan gejala, apa yang boleh diperhatikan adalah:
- Sembab di bahagian muka, tangan, kaki dan perut.
- Air kencing berwarna merah atau seperti air cola dan teh (hematuria).
- Air kencing lebih sedikit daripada biasa.
- Air kencing berbuih akibat protein berlebihan dalam air kencing (proteinuria).
- Tekanan darah tinggi atau sesak nafas.
- Pening dan kekeliruan.
- Loya dan muntah.
- Kelesuan.
- Demam.
Bagi kanak-kanak yang mengalami glomerulonefritis akut, tanda-tanda dan gejala yang mungkin dialami adalah:
- Bengkak di sekeliling mata.
- Air kencing berwarna merah, berwarna seperti air teh atau kopi.
- Kurang kencing daripada biasa.
- Gejala-gejala tekanan darah tinggi seperti sakit kepala dan konvulsi.
Punca dan Penyebab
Terdapat banyak keadaan yang boleh menyebabkan glomerulonefritis. Kadangkala ia diwarisi dan kadangkala puncanya tidak diketahui. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan keradangan glomeruli, antaranya adalah:
- Genetik: Penyakit ini boleh diwarisi walaupun ia sangatlah jarang berlaku.
- Jangkitan: Glomerulonefritis boleh terbentuk akibat daripada jangkitan bakteria atau virus seperti HIV, hepatitis C, sakit tekak dan endokarditis bakteria.
- Penyakit autoimun: Penyakit autoimun seperti Lupus, sindrom Goodpasture dan IgA nefropati.
- Penyakit ganjil: Penyakit ganjil yang mengakibatkan keradangan saluran darah seperti microscopic polyangiitis, Henoch-Schönlein Purpura, atau eosinophilic granulomatosis with polyangiitis.
Rawatan
Tiada rawatan yang khusus bagi kebanyakan kes glomerulonefritis akut (GA). Gangguan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan GA perlu dirawat terlebih dahulu.
Selain itu, beberapa rawatan lain yang mungkin boleh membantu adalah:
- Mengamalkan diet rendah dengan protein dan garam sehingga buah pinggang kembali berfungsi.
- Ubat diuretik mungkin di preskripsi untuk membantu buah pinggang menyingkirkan lebihan air dan garam.
- Merawat tekanan darah tinggi.
- Rawatan menggunakan antibiotik mungkin diberikan sekiranya terdapat bakteria yang dijumpai semasa glomerulonefritis akut ini dikenalpasti.
- Ubat antimalaria mungkin berguna jika glomerulonefritis ini disebabkan oleh malaria.
- Sesetengah gangguan autoimun yang menyebabkan glomerulonefritis dirawat dengan kortikosteroid, ubat yang menekan sistem imun, atau kedua-duanya.
Rujukan
- Kazi AM, Hashmi MF. Glomerulonephritis. [Updated 2022 Jul 10]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Glomerulonephritis (GN). Cleveland Clinic.