Adakah anda gemar untuk menikmati pencuci mulut? Maka, tanpa sedar sebenarnya anda mengambil gelatin dalam kehidupan seharian anda. Peningkatan kesedaran makanan halal dan kepentingannya menimbulkan satu persoalan iaitu adakah gelatin itu halal atau haram?
Untuk menjawab persoalan ini, adalah penting untuk memahami apa itu gelatin dan bagaimana ia dihasilkan.
Apa itu Gelatin?
Gelatin ialah protein yang dibuat daripada kulit, tendon, ligamen, dan/atau tulang apabila ia dimasak dengan air.
Ia biasanya dibuat daripada babi atau lembu. Gelatin biasanya digunakan dalam pelbagai produk farmaseutikal, kosmetik serta makanan seperti syampu, topeng muka, Jell-O, kek, ais krim, gula-gula, gula-gula marshmallow, dan yogurt.
Apakah Ciri-ciri Gelatin
Gelatin tidak mempunyai rasa, tidak berwarna, dan jernih. Gelatin juga boleh diperbuat daripada tanah halus dicampur dengan gula, perisa, asid, dan pewarna.
Ia kekal stabil untuk tempoh yang lama apabila disimpan dalam bentuk kering iaitu pada suhu bilik, dan dalam bekas kedap udara.
Gelatin boleh digunakan untuk menjadikan makanan, minuman, ubat-ubatan, dan kosmetik pekat dan stabil.
Walaupun gelatin boleh larut dalam air panas, ia tidak boleh larut dalam alkohol. Apabila gelatin dicampur dengan air, ia boleh membentuk gel apabila ia disejukkan.
Antara sumber gelatin yang anda perlu tahu adalah:
- Gelatin porsin (porcine): Gelatin yang diperbuat daripada kulit babi atau tulang.
- Gelatin lembu (borvine): Gelatin yang diperbuat daripada kulit lembu atau tulang, yang boleh menjadi halal, tetapi tidak vegan.
- Gelatin ikan: Gelatin yang diperbuat daripada bahagian ikan yang diternak dan segar, seperti kulit, tulang, sisik, dan sirip.
- Gelatin ayam: Gelatin yang diperbuat daripada tulang ayam dan kulit.
Kebaikan dan Keburukan Gelatin
Gelatin juga turut mempunyai kebaikan yang tersendiri. Kebanyakannya dimanfaatkan dalam industri farmaseutikal dan kosmetik.
Sebagai contoh, gelatin boleh membantu meningkatkan kesihatan sendi terutamanya bagi mereka yang menghidap osteoartritis seperti sakit sendi lutut.
Keberkesanan gelatin dapat dilihat dalam kajian kecil yang dijalankan terhadap 80 orang pesakit osteoartritis. Pengambilan 2 gram gelatin setiap hari selama 70 hari mengurangkan kesakitan dan meningkatkan aktiviti fizikal dengan ketara. [1]
Gelatin juga didapati boleh membantu meningkatkan rasa kenyang terutamanya kepada mereka yang obes.
Satu kajian yang melibatkan 22 orang peserta obes dan kurus mendapati pengambilan 20 gram gelatin boleh membantu meningkatkan hormon yang mengurangkan selera makan, seterusnya dapat mengawal pengambilan kalori. [2]
Selain kebaikan atau kelebihannya, gelatin juga turut mempunyai kesan sampingan atau keburukannya, terutamanya jika diambil secara berlebihan.
Sesetengah orang mungkin mempunyai tindak balas alahan terhadap gelatin. Tindak balas ini boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Kegatalan pada kulit
- Iritasi kulit
- Benjelon merah dan gatal pada kulit
- Loya atau muntah
- Cirit-birit
- Kekejangan
Adakah Gelatin Halal atau Haram?
Berbalik kepada persoalan sama ada gelatin adalah halal atau haram? Jawapan ringkasnya ialah gelatin adalah HALAL selagi sumber yang menghasilkannya adalah halal.
Gelatin adalah bahan rapuh yang diekstrak daripada tisu haiwan, kuku, dan tulang yang telah mendidih. Oleh itu, ia bergantung pada haiwan itu.
Gelatin dan semua makanan yang diperbuat daripadanya adalah HALAL jika sumber haiwan itu seperti lembu, unta, biri-biri dan sebagainya yang mana ia mempunyai daging halal.
Tetapi jika haiwan itu haram, seperti babi, gelatin yang diperbuat daripadanya juga adalah HARAM dimakan.
Justeru itu, gelatin adalah halal melainkan ia berasal daripada haiwan yang dagingnya haram untuk dimakan.
Sebagai pengguna Muslim, kita harus memeriksa label barangan yang mengandungi gelatin bagi memastikan ia adalah halal.
Terdapat beberapa cara untuk membezakan gelatin daripada haram atau halal iaitu:
- Lihat logo dan sijil halal yang diiktiraf oleh JAKIM pada produk. Elakkan daripada membeli atau menggunakan apa-apa produk yang tidak mempunyai logo atau sijil yang menunjukkan bahawa ia halal.
- Semak senarai bahan yang terdapat pada produk. Periksa sumber haiwan yang digunakan untuk gelatin pada produk tersebut. Elakkan daripada membeli atau menggunakan sumber haiwan yang tidak dinyatakan.
- Berhati-hati dengan jenis gelatin yang digunakan. Gelatin jenis A biasanya berasal daripada kulit babi, manakala gelatin jenis B biasanya berasal daripada lembu. Gelatin jenis A dianggap haram, manakala gelatin jenis B dianggap halal jika haiwan itu disembelih mengikut syariat Islam.
- Untuk mendapatkan senarai jenama gelatin halal yang disahkan oleh JAKIM di Malaysia, lawati portal halal JAKIM [halal.gov.my].
Menurut Su’ad Salih, seorang profesor fiqh di Universiti Al-Azhar ada menyatakan bahawa Allah Yang Maha Kuasa telah memberkati hamba-Nya dengan mencipta segala-galanya di dunia untuk mereka, dan Allah telah membenarkan mereka makan segala-galanya yang baik dan halal.
Sepertimana Allah telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 168:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Rujukan
- Schauss, A. G. et al. (2012). Effect of the novel low molecular weight hydrolyzed chicken sternal cartilage extract, BioCell Collagen, on improving osteoarthritis-related symptoms: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. Journal of agricultural and food chemistry.
- Rubio, I. G. et al. (2008). Oral ingestion of a hydrolyzed gelatin meal in subjects with normal weight and in obese patients: Postprandial effect on circulating gut peptides, glucose and insulin. Eating and weight disorders.
Nur Hanis Binti Yahaya
Nur Hanis Binti Yahaya ialah pelajar Sarjana Muda Syariah Industri Halal, Universiti Sains Islam Malaysia.