Pernahkah anda terbaca perkataan gam guar atau guar gum pada senarai ramuan pada produk makanan yang anda beli? Mungkin juga anda tertanya-tanya apa itu gam guar.
Justeru itu, mari kita ketahui dengan lebih lanjut mengenai gam guar dalam artikel ini.
Apa itu Gam Guar?
Gam guar atau dalam bahasa Inggerisnya “Guar gum” diperolehi daripada biji daripada tumbuhan Cyamopsis tetragonoloba iaitu sejenis legum daripada keluarga Leguminosae (Fabaceae). Ia merupakan keluarga yang sama dengan kacang botor, kacang soya dan kacang tanah.
Gam guar diperolehi dengan cara mengisar bahagian endosperma daripada biji kacang guar. Gam guar ini terdiri daripada polisakarida iaitu karbohidrat kompleks daripada 2 jenis gula yang dipanggil manosa dan galaktosa.
Gam guar tidak membentuk gel, tetapi membentukan serakan koloid yang likat. Gam jenis ini selalunya digunakan sebagai aditif makanan dalam banyak makanan diproses.
Gam guar juga turut digunakan sebagai agen pemekat dalam minuman dan sos salad. Selain bertindak sebagai agen penstabil, pemekat atau pengemulsi, gam guar juga turut menyumbang kepada kandungan serat larut bagi makanan tersebut.
Khasiat Gam Guar
Pada kadar yang tertentu, gam guar boleh mendatangkan beberapa khasiat kepada pemakannya. Antaranya adalah:
1. Menyokong sistem penghadaman
Gam guar adalah tinggi dengan dengan serat, maka ia boleh menyokong kesihatan sistem penghadaman.
Gam guar boleh menormalkan kandungan kelembapan pada najis, menyerap lebihan cecair bagi mereka yang mengalami cirit-birit dan melembutkan najis bagi mereka yang mengalami sembelit.
Satu kajian yang melibatkan 49 orang pesakit mendapati gam ini boleh membantu melegakan sembelit dengan mempercepatkan pergerakan bahan buangan melalui saluran usus dan membanyakkan pembuangan air besar. [1]
Tambahan daripada itu juga, gam guar juga boleh bertindak sebagai prebiotik yang mengalakkan pertumbuhan bagi bakteria baik dalam usus. [2]
2. Boleh Menurunkan Paras Kolesterol
Gam guar juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Khasiat gam guar ini dapat dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 19 orang yang menghidap obesiti dan diabetes. Pengambilan 15 gram gam guar sehari didapati boleh menurunkan paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [3]
3. Boleh Menurunkan Paras Gula Darah
Gam guar juga didapati boleh membantu menurunkan paras gula darah bagi pesakit yang menghidap diabetes.
Satu kajian klinikal melaporkan bahawa pengambilan 5 gram gam guar sebanyak 4 kali sehari selama 6 minggu didapati membawa kepada penurunan yang ketara terhadap paras gula darah puasa dan purata gula darah (HbA1c). [4]
4. Membantu Pengawalan Berat Badan dan Mencegah Obesiti
Selain itu, gam guar juga didapati boleh membantu pengawalan berat badan dan mencegah obesiti bagi mereka yang memakannya.
Ciri-ciri pembentukan gel oleh gam ini boleh meningkatkan rasa kenyang melalui pengosongan perut yang perlahan.
Diet normal yang ditambah dengan pengambilan gam guar sebanyak 20 gram sehari boleh membantu mengurangkan berat badan dengan ketara. Pengambilan gam ini boleh mengurangkan selera makan, rasa lapar dan keinginan untuk makan. [5]
Risiko atau Kesan Negatif
Walaupun serat ini mempunyai beberapa khasiat khususnya kepada mereka yang menghidap diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti. Tetapi pengambilannya juga harus dikawal.
Pengambilan gam guar pada jumlah yang banyak boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan.
Penggunaan gam guar dalam pil kurus pernah diharamkan oleh U.S. Food and Drug Administration (FDA) akibat daripada kandungan gam ini yang terlalu tinggi. Pil tersebut mengandungi kuantiti gam guar yang boleh menyebabkan ia mengembang 10-20 kali ganda. [6]
Kesannya, ia menyebabkan hadangan pada saluran esofagus dan usus kecil. Lebih buruk, ia turut menyebabkan kematian akibat daripada komplikasi daripada hadangan ini.
Penggunaan gam guar dalam produk makanan adalah selamat selagi pengeluar mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa mengenai kandungan gam guar yang dibenarkan.
Produk yang Mengandungi Gam Guar
Biasanya, anda boleh menjumpai gam guar dalam produk-produk berikut:
- Kuah salad (salad dressing)
- Aiskrim
- Yogurt
- Sos
- Roti bebas gluten
- Puding
- Sup
- Bijirin sarapan
- Kefir
- Keju
- Jus sayur-sayuran
Rumusan
Gam guar adalah serat yang diperolehi daripada biji kacang guar.
Gam guar banyak digunakan dalam produk-produk makanan yang diproses sebagai pemekat, penstabil atau pengemulsi.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa gam guar mempunyai beberapa khasiat seperti menyokong kelancaran sistem penghadaman, menurunkan paras kolesterol, menurunkan paras gula darah dan boleh membantu mengurangkan berat badan atau mencegah obesiti.
Walau bagaimanapun, pengambilan gam ini mestilah terkawal dan tidak berlebihan kerana ia boleh mendatangkan kesan sampingan.
Rujukan
- Polymeros, D. et al. (2014). Partially hydrolyzed guar gum accelerates colonic transit time and improves symptoms in adults with chronic constipation. Digestive diseases and sciences.
- Mudgil, D. et al. (2018). Partially hydrolyzed guar gum as a potential prebiotic source. International journal of biological macromolecules.
- Lalor, B. C. et al. (1990). Placebo-controlled trial of the effects of guar gum and metformin on fasting blood glucose and serum lipids in obese, type 2 diabetic patients. Diabetic medicine : a journal of the British Diabetic Association.
- Vuorinen-Markkola, H. et al. (1992). Guar gum in insulin-dependent diabetes: effects on glycemic control and serum lipoproteins. The American journal of clinical nutrition.
- Butt, M. S. et al. (2007). Guar gum: a miracle therapy for hypercholesterolemia, hyperglycemia and obesity. Critical reviews in food science and nutrition.
- Lewis J. H. (1992). Esophageal and small bowel obstruction from guar gum-containing “diet pills”: analysis of 26 cases reported to the Food and Drug Administration. The American journal of gastroenterology.