Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak jenama-jenama penjagaan kulit yang mula menghasilkan produk penjagaan kulit yang menyokong microbiome kulit. Maka, wujudlah istilah-istilah berkaitan probiotik dan prebiotik dalam produk-produk tersebut. Mungkin menjadi persoalan kepada anda, apakah fungsi probiotik dan prebiotik ini dalam penjagaan kulit?
Untuk menjawab persoalan tersebut, artikel ini menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa itu probiotik dan prebiotik, fungsi probiotik dan prebiotik dalam penjagaan kulit dan apa yang perlu anda perhatikan sebagai seorang pengguna.
Apa itu Probiotik dan Prebiotik?
Kedua-dua probiotik dan prebiotik adalah penting untuk kesihatan manusia. Kedua-duanya mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza.
Probiotik ialah bakteria hidup yang boleh dijumpai dalam makanan atau suplemen tertentu . Bakteria-bakteria ini boleh mendatangkan pelbagai kebaikan terhadap kesihatan manusia.

Prebiotik pula ialah sebatian daripada karbohidrat (kebanyakannya serat) yang tidak dapat dihadam oleh manusia. Ia menjadi makanan kepada bakteria baik (probiotik).
Selain usus manusia, kulit manusia juga turut mempunyai mikroorganisma (mikrob) yang kebanyakannya terdiri daripada virus, bakteria dan fungi yang baik.
Semakin banyak kajian yang menunjukkan bahawa produk penjagaan kulit yang mengandungi probiotik dan prebiotik yang membantu mikrob yang baik kembali kepada keseimbangannya.
Keseimbangan mikroorganisma yang boleh membantu mengurangkan jerawat, ekzema, kulit kering, kulit berkedut dan kanser kulit yang diakibatkan oleh sinaran UV.
Fungsi Probiotik Dalam Penjagaan Kulit
Mikroorganisma di kulit badan manusia membantu mengawal keradangan dan bertindak sebagai penghadang kepada patogen (kuman yang menyebabkan penyakit). Bakteria baik yang berada di kulit boleh membantu membunuh bakteria jahat .
Bakteria baik seperti probiotik boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesihatan kulit dengan mencegah jangkitan daripada menjadi lebih serius.
Kajian menunjukkan bahawa probiotik dalam bentuk pil atau sapuan boleh membantu mencegah dan merawat penyakit kulit seperti ekzema, dematitis atopi, jerawat, keradangan alahan, kerosakan akibat sinaran UV dan melindungi luka. [1]
Terdapat juga beberapa kajian klinikal yang melaporkan bahawa probiotik secara oral atau topikal (sapuan) dilihat berkesan untuk merawat keradangan penyakit kulit dan menunjukkan peranan yang baik dalam penyembuhan luka dan kanser kulit. [2]
Fungsi Prebiotik Dalam Penjagaan Kulit
Prebiotik yang berfungsi sebagai makanan kepada bakteria baik boleh membantu mengekalkan keseimbangan antara bakteria baik dan bakteria jahat.
Dalam formulasi kosmetik, prebiotik boleh digunakan pada mikroorganisma kulit secara langsung dan boleh meningkatkan aktiviti dan pertumbuhan mikrobiota kulit yang bermanfaat. [3]
Selain itu, mana-mana produk penjagaan kulit yang memperbaiki kulit berkemungkinan mempunyai manfaat prebiotik. Contohnya, kandungan lipid (lemak) dalam pelembap boleh menyokong fungsi rintangan kulit dan membantu bakteria baik pada kulit untuk tumbuh. [4]
Tambahan daripada itu juga, sekiranya prebiotik diambil secara makan (oral) ia juga boleh mencegah kehilangan air pada kulit dan mengurangkan kemerahan kulit (eritema) dan mencegah kerosakan kulit. [5]
Apa yang Perlu Diberi Perhatian?
Kedua-dua probiotik dan prebiotik boleh diambil secara makan (oral) atau secara sapuan (topikal).
Menggunakan probiotik dan prebiotik terus ke atas kulit adalah cara yang berkesan untuk memberi kesan terhadap mikroorganisma kulit. Sekiranya digunakan bersama-sama, probiotik dan prebiotik akan bertindak dengan lebih berkesan.
Beberapa strain bakteria (probiotik) yang dilaporkan mempunyai kebaikan kepada kulit. Antaranya adalah:
- Lactobacillus : Terdapat kajian yang melaporkan bahawa strain bakteria Lactobacillus plantarum boleh meningkatkan fungsi penghadang kulit, mengurangkan jerawat dan mengurangkan kemerahan. [6]
- Bifidobacterium : Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa lisat daripada Bifidobacterium longum boleh mengurangkan kepekaan kulit. [7]
- Vitreoscilla : Vitreoscilla filiformis dilaporkan boleh mengurangkan kehilangan air dan menambah baik ekzema. [8]
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa kajian-kajian tersebut ditaja oleh Estee Lauder dan L’Oreal.
Manakala bagi prebiotik pula, banyak produk tidak melabelkan bahan prebiotik dengan jelas.Tetapi bahan-bahan di bawah mempunyai kesan prebiotik untuk menenangkan kulit dan menjadi makanan kepada bakteria baik:
- Gula tumbuhan seperti fructooligosaccharides dan galacto-oligosaccharides.
- Asid amino
- Kalsium
- Magnesium
- Sulfur
Sebagai pengguna, harus diingat bahawa tiada produk penjagaan kulit microbiome yang mendapat kelulusan FDA (Food and Drug Administration).
Oleh itu, anda perlu menilai kata-kata pengilang atau pengeluar mengenai tuntutan microbiome mereka.
Rujukan
- Roudsari, M. R. et al. (2015). Health effects of probiotics on the skin. Critical reviews in food science and nutrition.
- Yu, Y. et al. (2020). Changing our microbiome: probiotics in dermatology. The British journal of dermatology.
- Al-Ghazzewi, F. H., & Tester, R. F. (2014). Impact of prebiotics and probiotics on skin health. Beneficial microbes.
- Bouslimani, A. et al. (2019). The impact of skin care products on skin chemistry and microbiome dynamics. BMC biology.
- Hong, K. B. et al. (2015). Photoprotective effects of galacto-oligosaccharide and/or Bifidobacterium longum supplementation against skin damage induced by ultraviolet irradiation in hairless mice. International journal of food sciences and nutrition.
- Muizzuddin, N. et al. (2012). Physiological effect of a probiotic on skin. Journal of cosmetic science.
- Guéniche, A. et al. (2010). Bifidobacterium longum lysate, a new ingredient for reactive skin. Experimental dermatology.
- Guéniche, A. et al. (2006). Improvement of atopic dermatitis skin symptoms by Vitreoscilla filiformis bacterial extract. European journal of dermatology.