Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa pihak mereka mengambil maklum mengenai penarikan semula produk sos pasta berkrim carbonara cendawan berjenama Prego keluaran Malaysia kerana terdapat tanda-tanda kerosakan.
Produk keluaran syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn. Bhd. tersebut didapati menunjukkan tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.
Pihak syarikat juga mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia. Pihak syarikat telah mengenalpasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.
Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah:
Jenama produk: Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan
Berat: 665 gram
Nombor batch: 2022081716
Tarikh luput: 17 Ogos 2023
Kod masa: 22:18 hingga 23:20
Sehubungan itu, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan serta-merta. Manakala bagi pengguna yang telah membeli produk ini, anda diminta untuk tidak memakan produk ini.
Bagi yang telah memakan sos pasta ini, anda dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.