Lupus ialah penyakit autoimun kronik yang menyebabkan sistem imun badan menjadi terlebih aktif dan menyerang tisu-tisu badan yang sihat. Penyakit Lupus boleh dirawat. Rawatan selalunya melibatkan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang sihat. Oleh itu, artikel diet untuk Lupus ini akan menyenaraikan makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh pesakit Lupus.
Penyakit Lupus biasanya menyebabkan gejala-gejala seperti keradangan, bengkak, kerosakan pada sendi-sendi dan kerosakan organ badan.
Walaupun tiada diet khusus untuk Lupus, pemakanan yang sihat dan seimbang yang melibatkan sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu menguruskan penyakit ini.
Makanan yang Boleh Dimakan untuk Pesakit Lupus
Makanan-makanan berikut adalah makanan yang boleh membantu menguruskan gejala-gejala penyakit Lupus dan meningkatkan kesihatan badan secara keseluruhannya.
1. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan. Asid lemak Omega-3 seperti asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid eikosapentaenoik (EPA) boleh dijumpai dalam ikan berlemak seperti:
- Ikan salmon
- Ikan tuna
- Ikan bilis
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Ikan siakap
DHA dan EPA boleh membantu mengurangkan keradangan yang merupakan salah satu kepada gejala bagi penyakit Lupus.
Kajian menunjukkan bahawa DHA dan EPA mempunyai kesan antiradang yang bermanfaat sebagai agen terapeutik bagi gangguan kesihatan yang berkaitan dengan keradangan. [1]
2. Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Gabungan antara buah-buahan dan sayur-sayuran pelbagai warna sangat bermanfaat kepada kesihatan dan penyakit Lupus.
Hal ini demikian kerana buah-buahan dan sayur-sayuran ini kaya dengan pelbagai vitamin, antioksidan dan polifenol iaitu sebatian yang boleh melawan keradangan.
Antara buah-buahan dan sayur-sayuran yang bermanfaat kepada penyakit Lupus adalah:
- Buah oren
- Buah tembikai
- Buah epal
- Buah pisang
- Buah kiwi
- Buah avokado
- Saderi
- Daun salad
- Sayur bayam
- Asparagus
- Brokoli
3. Makanan Tinggi dengan Kalsium
Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat penyakit Lupus boleh menyebabkan tulang semakin menipis. Akibatnya, ia boleh meningkatkan risiko kepada kerapuhan tulang. Untuk mengatasi kesan sampingan ubat tersebut, pesakit Lupus perlu makan makanan yang tinggi dengan kalsium dan vitamin D.
Antara makanan yang kaya dengan kalsium adalah:
- Yogurt
- Keju
- Susu rendah lemak
- Tauhu
- Ikan bilis
- Ikan sardin
- Tempe
- Kailan
- Sawi
4. Kunyit
Kunyit adalah rempah yang banyak digunakan dalam masakan. Kunyit mengandungi sebatian yang dikenali sebagai kurkumin.
Banyak kajian mendapati kurkumin mempunyai ciri-ciri antiradang dan antioksidan yang turut bermanfaat kepada penyakit Lupus. [2]
Satu kajian terhadap 24 orang pesakit Lupus mendapati pengambilan 500mg kurkumin setiap hari selama 3 bulan boleh mengurangkan proteinuria (protein dalam air kencing), hematuria (darah dalam air kencing) dan tekanan darah. [3]
Makanan yang Tidak Boleh Dimakan atau Perlu Dielakkan Oleh Pesakit Lupus
Terdapat juga sesetengah makanan yang perlu dielakkan atau dihadkan kerana makanan-makanan ini boleh memburukkan lagi gejala-gejala penyakit Lupus.
Antaranya adalah:
1. Alfalfa
Terdapat sesetengah kajian yang melaporkan bahawa alfalfa boleh memburukkan lagi gejala-gejala penyakit Lupus. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sebatian L-kanavanina yang terkandung dalam tumbuhan ini. [4]
2. Bawang Putih
Walaupun bawang putih mempunyai pelbagai khasiat, namun bagi pesakit Lupus, bawang putih adalah sebaliknya dan perlu dihadkan.
Bawang putih mengandungi alisin, ajoene dan thiosulfinates. Sebatian-sebatian ini boleh meningkatkan fungsi sistem imun dan menyebabkan tindak balas sistem imun yang terlalu aktif pada penghidap Lupus.
3. Buah-buahan atau Sayur-sayuran “Nightshade”
Bagi sesetengah orang yang mengalami keadaan keradangan,memakan makanan yang terdiri daripada buah-buahan atau sayur-sayuran nightshade boleh menyebabkan peningkatan terhadap keradangan.
Antara buah-buahan dan sayur-sayuran nightshade adalah:
- Terung
- Ubi kentang
- Tomato
- Lada benggala
- Tembakau
- Bendi
4. Berhenti Minum Alkohol
Adalah lebih baik sekiranya anda boleh berhenti meminum alkohol (arak) sekiranya anda menghidap penyakit Lupus.
Meminum alkohol boleh mengganggu ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit Lupus. Menurut Yayasan Lupus Amerika, penghidap Lupus yang mengambil ubat tertentu harus mengelakkan alkohol kerana risiko interaksi antara ubat dan alkohol. [5]
5. Hadkan Pengambilan Garam
Pesakit Lupus juga disarankan untuk mengamalkan diet yang rendah garam. Pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan risiko kepada penyakit jantung.
Hal ini demikian kerana penyakit Lupus telah meningkatkan risiko untuk anda menghidap penyakit jantung. Oleh itu, pengawalan terhadap pengambilan garam boleh membantu mengawal tekanan darah dan risiko penyakit jantung.
Anda boleh menggantikan garam dengan herba atau rempah-ratus bagi menambah rasa dalam masakan dan makanan anda.
Rumusan
Lupus ialah sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun terlebih aktif dan mula menyerang tisu-tisu badan yang sihat.
Penyakit ini boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan dan terapi pemakanan (diet). Diet untuk Lupus boleh membantu mengawal dan mengurangkan gejala-gejala yang berlaku.
Terdapat sesetengah makanan seperti ikan berlemak, buah-buahan dan sayur-sayuran yang digalakkan untuk dimakan oleh pesakit Lupus. Terdapat juga beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit Lupus. Contohnya seperti alfalfa, bawang putih, buah-buahan dan sayur-sayuran nightshade.
Rujukan
- Calder P. C. (2010). Omega-3 fatty acids and inflammatory processes. Nutrients.
- Aggarwal, B. B., & Sung, B. (2009). Pharmacological basis for the role of curcumin in chronic diseases: an age-old spice with modern targets. Trends in pharmacological sciences.
- Khajehdehi, P. et al. (2012). Oral supplementation of turmeric decreases proteinuria, hematuria, and systolic blood pressure in patients suffering from relapsing or refractory lupus nephritis: a randomized and placebo-controlled study. Journal of renal nutrition.
- Alcocer-Varela, J. et al. (1985). Effects of L-canavanine on T cells may explain the induction of systemic lupus erythematosus by alfalfa. Arthritis and rheumatism.
- Lupus Foundation of America. Thinking about drinking? Read this first.