Terdapat dua jenis hati berlemak iaitu hati berlemak bukan alkohol dan hati berlemak beralkohol. Bagi hati berlemak bukan alkohol, diet dan perubahan gaya hidup adalah cara berkesan untuk mengatasi penyakit atau masalah kesihatan ini.
Diet hati berlemak adalah satu pendekatan yang membantu anda membuat pilihan dalam menentukan makanan apa yang boleh dimakan dan makanan apa yang perlu dielakkan bagi menguruskan hati berlemak bukan alkohol.
Hati berlemak bukan alkohol bermaksud berlaku pengumpulan lemak di dalam hati yang bukan disebabkan oleh pengambilan alkohol (arak) secara berlebihan.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada hati berlemak bukan alkohol. Antaranya adalah:
- Paras kolesterol yang tinggi dalam darah
- Paras trigliserida (lipid) yang tinggi dalam darah
- Obesiti
- Penyakit kencing manis (diabetes jenis 2)
- Sindrom metabolik
Berikut adalah panduan diet hati berlemak sebagai rujukan kepada anda:
Makanan dan Minuman yang Boleh Dimakan atau Disarankan Kepada Penghidap Hati Berlemak
Selain melakukan aktiviti fizikal dan mengurangkan berat badan, beberapa jenis makanan berikut boleh membantu anda mengatasi masalah hati berlemak.
1. Sayur-sayuran dan Buah-buahan
Pelbagai menu seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian anda boleh membantu anda mengatasi penyakit hati berlemak.
Malah, kajian turut melaporkan bahawa pengambilan sayur seperti bayam boleh mengurangkan risiko kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol. [1]
Kebaikan ini dipercayai disumbang oleh kandungan nitrat dan polifenol di dalam sayur-sayuran berdaun hijau.
Terdapat juga kajian lain yang melaporkan pengambilan nitrat daripada sayur-sayuran dan buah-buahan boleh mengurangkan risiko kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol. [2]
Justeru itu, sertakan sayur-sayuran berikut dalam diet harian anda:
- Bayam
- Salad
- Saderi
- Kubis
- Turnip
- Lobak putih
- Parsli
- Bawang merah
- Bawang putih
- Brokoli
Sesetengah buah-buahan juga mengandungi nitrat, tetapi biasanya pada kadar yang rendah.
Walau bagaimanapun, ia kaya dengan pelbagai antioksidan yang boleh mengurangkan keradangan pada hati berlemak.
- Tembikai
- Epal
- Pisang
- Anggur
- Pir
- Oren
- Strawberi
- Kiwi
2. Legum dan Kacang
Pengambilan legum dan kacang juga boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Legum dan kacang bukan sahaja kaya dengan pelbagai khasiat tetapi juga boleh membantu menurunkan paras gula darah dan trigliserida dalam kalangan individu yang obesiti.
Pengambilan kacang soya didapati memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol sehingga 12-13%. [3]
Kesan perlindungan ini dipercayai disumbang oleh kandungan protein di dalam kacang soya iaitu β-conglycinin.
Maka, sertakan makanan yang terdiri daripada legum, kacang atau produk berkaitan dengannya dalam diet harian anda. Contohnya seperti:
- Kacang soya
- Tempe
- Tauhu
- Kacang pea
- Kacang kuda
3. Halia dan Kunyit
Halia dan kunyit juga adalah dua tumbuhan herba yang baik untuk hati berlemak.
Kandungan kurkumin dalam kunyit mempunyai ciri-ciri antioksidan, antiradang dan antikanser.
Satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit hati berlemak bukan alkohol mendapati pengambilan kunyit (kurkumin) boleh mengurangkan lemak hati dan mengurangkan keradangan. [4]
Seperti kunyit, halia juga turut mempunyai manfaat kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Satu kajian kecil yang melibatkan 46 orang penghidap penyakit hati berlemak bukan alkohol mendapati pengambilan serbuk halia mengurangkan paras gula darah, kolesterol jahat, trigliserida dan enzim hati. [5]
Anda boleh mengambil kunyit dalam pelbagai bentuk seperti:
- Pes
- Serbuk
- Air kunyit atau air halia
4. Ikan
Ikan terutamanya ikan berlemak adalah sumber protein yang baik untuk penghidap hati berlemak bukan alkohol.
Ikan berlemak kaya dengan kandungan asid lemak Omega-3. Terdapat analisis yang melibatkan 10 kajian mendapati pengambilan Omega-3 boleh mengurangkan lemak hati, menurunkan paras trigliserida dan meningkatkan paras kolesterol baik. [6]
Antara contoh ikan berlemak adalah:
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Ikan tongkol/aya
- Ikan kembung
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan Omega-3 atau minyak ikan ini dalam bentuk suplemen.
5. Kacang seperti Walnut
Kacang daripada pokok kacang boleh mengurangkan keradangan, rintangan insulin dan mengurangkan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Satu kajian yang melibatkan 23, 915 peserta melaporkan bahawa pengambilan kacang yang banyak boleh mengurangkan risiko kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol. [7]
Satu kajian lain mendapati pengambilan kacang walnut dalam kalangan pesakit hati berlemak boleh meningkatkan fungsi hati. [8]
6. Kopi
Kopi adalah antara minuman yang popular di dunia. Minuman ini juga dikatakan boleh mengurangkan kerosakan hati.
Satu analisis melibatkan 11 kajian mendapati bahawa pengambilan kopi secara kerap dikaitkan dengan pengurangan risiko terhadap penyakit hati berlemak bukan alkohol dan mengurangkan risiko hati berparut bagi mereka yang telah menghidap hati berlemak. [9]
Pastikan kopi anda tidak dicampur gula tambahan atau pemanis.
7. Teh Hijau
Selain kopi, teh hijau juga merupakan minuman yang berkhasiat kepada penghidap hati berlemak.
Teh hijau kaya dengan pelbagai antioksidan. Satu kajian menunjukkan bahawa antioksidan di dalam teh hijau boleh membantu mengurangkan gejala-gejala penyakit hati berlemak. [10]
Makanan yang Tidak Boleh Dimakan atau Perlu Dielakkan oleh Penghidap Hati Berlemak
Sekiranya anda menghidap penyakit hati berlemak, doktor mungkin menyarankan agar anda mengelakkan makanan-makanan berikut:
1. Alkohol
Alkohol adalah penyumbang utama kepada penyakit hati berlemak atau penyakit hati yang lain.
Oleh itu, berhenti meminum alkohol adalah langkah terbaik untuk kesihatan hati.
2. Gula atau Gula Tambahan
Elakkan juga makanan yang mengandungi gula atau gula tambahan seperti:
- Kek
- Biskut
- Pastri
- Gula-gula
- Aiskrim
- Minuman ringan atau minuman berkarbonat
- Minuman tenaga
- Minuman sukan
- Produk tenusu yang dimaniskan seperti yogurt
Kajian menjelaskan bahawa pengambilan makanan yang manis boleh menyumbang kepada pembentukan lemak di dalam hati pada jangka masa panjang. [11]
3. Makanan Diproses dan Bijian Bertapis
Makanan diproses atau bijian bertapis adalah makanan yang telah dibuang seratnya. Makanan-makanan ini mudah untuk meningkatkan paras gula darah.
Kajian yang melibatkan pesakit hati berlemak mendapati pengurangan pengambilan makanan daripada bijian bertapis mengurangkan risiko terhadap sindrom metabolik. [12]
Antara contoh makanan diproses dan bijian bertapis adalah:
- Roti putih
- Mi segera
- Kuih muih daripada tepung putih
- Pastri daripada tepung putih
- Piza
4. Makanan Bergoreng dan Masin
Makanan bergoreng dan masin boleh meningkatkan pengambilan kalori yang seterusnya meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami obesiti iaitu penyebab kepada penyakit hati berlemak.
Kurangkan pengambilan makanan masin dengan menambah rempah-ratus dalam makanan bagi menggantikan garam.
Hadkan pengambilan makanan bergoreng.
5. Lemak Tepu
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa pengambilan lemak tepu yang tinggi boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit hati berlemak. [13]
Oleh itu, adalah penting untuk anda mengehadkan makanan-makanan yang tinggi lemak tepu seperti:
- Daging merah
- Mentega
- Susu lengkap
- Minyak kelapa
- Minyak kelapa sawit
- Sosej
- Daging deli
Rumusan
Perubahan gaya hidup dan diet adalah cara berkesan dalam menguruskan penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Selain menjaga pemakanan, mengurangkan berat dan kekal aktif secara fizikal boleh membantu anda mengawal atau mengatasi penyakit hati berlemak ini.
Rujukan
- Mokhtari, E. et al. (2021). Spinach consumption and nonalcoholic fatty liver disease among adults: a case-control study. BMC gastroenterology.
- Mirmiran, P. et al. (2023). Nitrate containing vegetables and dietary nitrate and nonalcoholic fatty liver disease: a case control study. Nutrition journal.
- Chiu, T. H. et al. (2018). Vegetarian diet, food substitution, and nonalcoholic fatty liver. Tzu-chi medical journal.
- Rahmani, S. et al. (2016). Treatment of Non-alcoholic Fatty Liver Disease with Curcumin: A Randomized Placebo-controlled Trial. Phytotherapy research.
- Rafie, R. et al. (2020). Effect of Ginger Powder Supplementation in Patients with Non-Alcoholic Fatty Liver Disease: A Randomized Clinical Trial. Clinical and experimental gastroenterology.
- Lu, W. et al. (2016). Effects of Omega-3 Fatty Acid in Nonalcoholic Fatty Liver Disease: A Meta-Analysis. Gastroenterology research and practice.
- Zhang, S. et al. (2019). Association between nut consumption and non-alcoholic fatty liver disease in adults. Liver international.
- Gupta, V. et al. (2015). Oily fish, coffee and walnuts: Dietary treatment for nonalcoholic fatty liver disease. World journal of gastroenterology.
- Hayat, U. et al. (2021). The effect of coffee consumption on the non-alcoholic fatty liver disease and liver fibrosis: A meta-analysis of 11 epidemiological studies. Annals of hepatology.
- Tang, G. et al. (2021). Green Tea and Epigallocatechin Gallate (EGCG) for the Management of Nonalcoholic Fatty Liver Diseases (NAFLD): Insights into the Role of Oxidative Stress and Antioxidant Mechanism. Antioxidants.
- Alexander A. et al. (2017). Dietary Sucrose and CD36 Receptor in Non-Alcoholic Fatty Liver Disease (NAFLD). Journal of Liver Research, Disorders & Therapy.
- Georgoulis, M. et al. (2015). Associations between dietary intake and the presence of the metabolic syndrome in patients with non-alcoholic fatty liver disease. Journal of human nutrition and dietetics.
- Perdomo, C. M. et al. (2019). Impact of Nutritional Changes on Nonalcoholic Fatty Liver Disease. Nutrients.