Apakah Kaitan Antara Asma dan Diet?
Jika anda menghidap asma, anda mungkin ingin tahu sama ada pemilihan makanan dan diet tertentu boleh membantu anda menguruskan penyakit asma anda atau tidak.
Umumnya, tiada bukti yang muktamad bahawa diet tertentu mempunyai kesan ke atas kekerapan atau keterukan serangan asma.
Walau bagaimanapun, memakan makanan yang segar dan berkhasiat boleh meningkatkan kesihatan keseluruhan badan anda termasuklah mengurangkan simptom-simptom asma yang dialami.
Penyelidikan mendapati perubahan kepada tabiat pemakanan seperti beralih daripada makanan sihat seperti buah-buahan kepada makanan segera meningkatkan kes asma yang teruk. [1]
Terdapat juga penyelidikan yang melaporkan bahawa pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dikaitkan dengan pengurangan risiko pembentukan asma dan kawalan asma yang lebih baik. [2]
Sesetengah penghidap asma juga mempunyai alahan makanan tertentu. Alahan makanan atau tak tolerans terhadap sesuatu makanan boleh mencetuskan simptom-simptom asma.
Asma dan Obesiti
Obesiti adalah faktor risiko utama kepada pembentukan asma. Tambahan lagi, penghidap asma yang obes turut boleh mengalami asma yang lebih teruk dan sukar dirawat. [3]
Adalah penting untuk penghidap asma mengamalkan diet yang seimbang dan cuba mengawal berat badan yang sihat.
Melalui cara ini, simptom-simptom atau kawalan terhadap penyakit ini mungkin lebih mudah.
Makanan yang Boleh Dimakan
Walaupun tiada diet khusus yang disyorkan untuk penyakit asma, tetapi pengambilan makanan tertentu boleh membantu menyokong fungsi paru-paru.
1. Vitamin A
Satu kajian oleh pengkaji dari Hospital Pusat Cangzhou mendapati bahawa kanak-kanak yang menghidap asma biasanya mempunyai paras vitamin A yang lebih rendah dalam darah mereka berbanding kanak-kanak tanpa asma. [4]
Bagi kanak-kanak yang menghidap asma, paras vitamin A yang lebih tinggi juga sepadan dengan fungsi paru-paru yang lebih baik.
Makanan-makanan yang tinggi dengan vitamin A adalah:
- Mangga
- Betik
- Cekur manis
- Lada benggala
- Daun kesum
- Keledek
- Lobak merah
2. Vitamin D
Terdapat kajian yang mendapati pesakit asma yang mengalami asma yang teruk mempunyai paras vitamin D yang rendah.
Walau bagaimanapun, pengambilan vitamin D tidak menurunkan kadar keterukan asma kecuali dalam kalangan pesakit asma dewasa yang mempunyai paras vitamin D yang rendah. [5]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin D adalah:
- Ikan salmon
- Ikan mackerel
- Ikan sardin
- Telur
- Susu lembu yang diperkaya
3. Pisang
Kajian juga turut melaporkan bahawa pengambilan sekurang-kurangnya sebiji pisang sehari boleh membantu mengurangkan berdehit (wheezing) dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap asma. [6]
Kebaikan ini mungkin disumbangkan oleh kandungan mineral kalium dan antioksidan dalam buah pisang yang meningkatkan fungsi paru-paru.
4. Epal
Buah epal boleh dijadikan sebahagian daripada diet asma.
Hal ini demikian kerana, kajian mendapati pengambilan buah epal boleh mengurangkan risiko kepada asma dan meningkatkan fungsi paru-paru. [7]
5. Magnesium
Satu kajian pada 2002 mendapati kanak-kanak dan remaja yang berusia 11-19 tahun yang mempunyai paras magnesium yang rendah turut mengalami fungsi paru-paru yang rendah. [8]
Anak anda boleh meningkatkan paras magnesium dengan memakan makanan yang kaya magnesium seperti:
- Bayam
- Kacang gajus
- Kacang badam
- Mentega kacang
Makanan yang Perlu Dielakkan
Sesetengah makanan pula boleh mencetuskan simptom-simptom asma dan harus dielakkan.
Anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mengelakkan makanan ini sepenuhnya.
1. Makanan yang Menyebabkan Gas (Angin)
Makan banyak atau makan makanan yang menyebabkan gas akan memberi tekanan pada diafragma, terutamanya jika anda mengalami refluks asid.
Ini boleh menyebabkan sesak dada dan mencetuskan serangan asma.
Antara makanan yang boleh menyebabkan gas adalah:
- Kubis
- Bawang
- Bawang putih
- Kacang
- Minuman berkarbonat
- Makanan bergoreng
2. Sulfit
Sulfit adalah sejenis pengawet yang digunakan untuk mengawet makanan. Bahan pengawet ini boleh memburukkan lagi penyakit asma.
Sulfit terdapat dalam makanan seperti:
- Buah-buahan kering
- Jeruk buah atau makanan
- Jus limau atau lemon
- Udang halus
- Alkohol
3. Salisilat
Bagi sesetengah orang yang menghidap asma, mereka mungkin sensitif terhadap salisilat yang boleh dijumpai dalam kopi, teh, atau rempah-ratus.
Salisilat ialah sebatian kimia yang wujud secara semula jadi, dan kadangkala ia ditemui dalam makanan.
4. Alergen
Sesetengah penghidap asma turut mempunyai alahan makanan. Mereka mungkin mempunyai alahan terhadap alergen-alergen seperti berikut:
- Kerang-kerangan
- Gandum
- Produk tenusu
- Kacang
5. Bahan Tiruan
Pengawet kimia, perasa, dan pewarna sering dijumpai dalam makanan yang diproses dan makanan segera.
Sesetengah orang yang menghidap asma mungkin sensitif atau alah kepada bahan tiruan ini.
Rumusan
Diet asma secara ringkasnya adalah pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar amat digalakkan untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dan secara tidak langsung mengurangkan simptom-simptom asma.
Penghidap asma juga perlu peka dengan sesetengah makanan terutamanya makanan yang diproses atau makanan segera kerana ia boleh memburukkan situasi asma yang dialami.
Rujukan
- Ellwood, P. et al. (2013). Do fast foods cause asthma, rhinoconjunctivitis and eczema? Global findings from the International Study of Asthma and Allergies in Childhood (ISAAC) phase three. Thorax.
- Alwarith, J. et al. (2020). The role of nutrition in asthma prevention and treatment. Nutrition reviews.
- Peters, U. et al. (2018). Obesity and asthma. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Bai, Y. J., & Dai, R. J. (2018). Serum levels of vitamin A and 25-hydroxyvitamin D3 (25OHD3) as reflectors of pulmonary function and quality of life (QOL) in children with stable asthma: A case-control study. Medicine.
- Ogeyingbo, O. D. et al. (2021). The Relationship Between Vitamin D and Asthma Exacerbation. Cureus.
- Okoko, B. J. et al. (2007). Childhood asthma and fruit consumption. The European respiratory journal.
- Boyer, J., & Liu, R. H. (2004). Apple phytochemicals and their health benefits. Nutrition journal.
- Gilliland, F. D. et al. (2002). Dietary magnesium, potassium, sodium, and children’s lung function. American journal of epidemiology.