Apa itu Diabetes Jenis 1?
Diabetes jenis 1 ialah penyakit kronik yang menunjukkan pankreas pesakit tidak menghasilkan insulin atau menghasilkan insulin yang sedikit.
Diabetes jenis 1 turut dipanggil diabetes juvenil atau diabetes bersandarkan insulin (insulin-dependent diabetes). Penyakit ini biasanya berkembang pada usia kanak-kanak, remaja dan belia tetapi ia boleh berlaku pada sebarang umur.
Insulin ialah hormon yang membantu gula darah (glukosa) untuk masuk ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.
Tanpa insulin, gula darah tidak dalam masuk ke dalam sel-sel badan dan akan terkumpul di dalam saluran darah.
Paras gula darah yang tinggi boleh merosakkan badan dan menyebabkan banyak gejala-gejala berkaitan dengan diabetes.
Diabetes jenis 1 lebih jarang berlaku berbanding diabetes jenis 2. Walau terdapat banyak penyelidikan, para saintis masih belum menemui penawar kepada penyakit ini.
Walau bagaimanapun, rawatan yang diberikan boleh membantu mengawal jumlah gula dalam darah dan mencegah komplikasi.
Gejala-gejala atau Tanda Diabetes Jenis 1
Gejala-gejala diabetes Jenis 1 biasanya bermula ringan dan menjadi semakin teruk, yang boleh berlaku selama beberapa hari, minggu atau bulan.
Ini kerana pankreas anda membuat semakin kurang insulin.
Antara gejala-gejala atau tanda diabetes jenis 1 adalah:
- Rasa terlalu dahaga
- Kerap kencing termasuklah lampin selalu basah bagi bayi dan kencing di atas tilam bagi kanak-kanak.
- Kelaparan yang berlebihan (terutamanya selepas makan)
- Mulut kering
- Sakit perut atau muntah
- Pengurangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau tanda dirancang
- Penglihatan kabur
- Kelesuan
- Luka atau kecederaan lambat sembuh
- Sering mengalami jangkitan di kulit, kemaluan atau saluran kencing
- Pernasan yang berat dan sukar (Kussmaul respiration)
Jika anda atau anak anda mengalami simptom ini, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor dan meminta untuk menjalani ujian diabetes Jenis 1 secepat mungkin. Lebih cepat anda didiagnosis, lebih baik.
Sekiranya diabetes jenis 1 ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa. Dapatkan rawatan kecemasan sekiranya anak anda atau anda mengalami kombinasi gejala-gejala berikut:
- Nafas berbau buah
- Loya dan muntah
- Sakit perut
- Nafas laju
- Kekeliruan
- Mengantuk
- Hilang kesedaran
Punca
Diabetes jenis 1 terbentuk apabila sistem imun anda tersilap menyerang dan memusnahkan sel-sel dalam pankreas yang menghasilkan insulin.
Kemusnahan ini boleh berlaku selama beberapa bulan atau tahun, akhirnya mengakibatkan kekurangan insulin.
Walaupun para saintis tidak mengetahui dengan tepat punca yang menyebabkan penyakit kronik ini, tetapi mereka percaya bahawa genetik memainkan peranan yang kuat.
Seseorang itu berisiko untuk menghidap diabetes jenis 1 sebanyak 0.4% sekiranya tiada ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut.
Risiko ini meningkat kepada 1-4% sekiranya ibu anda menghidap penyakit ini dan meningkatkan kepada 3-8% sekiranya bapa anda menghidap penyakit diabetes ini.
Sekiranya kedua-dua ibu bapa anda menghidap penyakit ini, risiko untuk anda turut menghidapnya adalah setinggi 30%.
Peranan Insulin
Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh organ pankreas yang terletak di bawah perut.
Pankreas akan merembeskan insulin ke dalam aliran darah dan insulin ini akan menjelajah ke seluruh badan membenarkan gula memasuki sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.
Mekanisme ini akan merendahkan jumlah gula di dalam saluran darah. Apabila paras gula darah menurun, pankreas meletakkan lebih sedikit insulin ke dalam aliran darah.
Diagnosis
Penyakit diabetes jenis 1 agak mudah untuk didiagnosis. Jika anda atau anak anda mempunyai gejala-gejala, doktor akan mengarah ujian-ujian berikut:
- Ujian glukosa darah: Ujian ini dilakukan bertujuan untuk memeriksa jumlah glukosa (gula) dalam darah. Ujian mungkin melibatkan ujian rawak (tanpa berpuasa) atau ujian puasa (puasa selama 8 jam sebelum ujian).
- Ujian glycosylated hemoglobin (HbA1c): Jika keputusan ujian glukosa darah menunjukkan bahawa anda menghidap diabetes, doktor mungkin melakukan ujian HbA1c. Ini mengukur purata paras gula darah anda selama tiga bulan.
- Ujian antibodi: Ujian darah ini memeriksa autoantibodi untuk menentukan sama ada anda menghidap diabetes Jenis 1 atau Jenis 2. Autoantibodi ialah protein yang menyerang tisu badan secara tidak sengaja.
Rawatan
Penghidap diabetes Jenis 1 memerlukan insulin sintetik setiap hari, beberapa kali sehari untuk hidup dan sihat. Mereka juga perlu cuba mengekalkan gula darah dalam julat yang sihat.
Memandangkan beberapa faktor mempengaruhi paras gula darah anda, pengurusan diabetes Jenis 1 adalah kompleks dan tersendiri.
Komponen-komponen utama dalam pengurusan penyakit ini adalah:
- Pengambilan insulin
- Mengira karbohidrat, lemak dan protein
- Memantau gula darah dengan kerap
- Memakan makanan yang menyihatkan
- Kerap bersenam dan mengekalkan berat badan yang sihat
Matlamatnya adalah untuk mengekalkan paras gula dalam darah sehampir mungkin ke paras normal untuk melambatkan atau mencegah komplikasi.
Secara amnya, matlamatnya adalah untuk mengekalkan paras gula darah siang hari sebelum makan antara 80 dan 130 mg/dL (4.44 hingga 7.2 mmol/L) dan bacaan selepas makan tidak melebihi daripada 180 mg/dL (10 mmol/L), dua jam selepas makan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Type 1 Diabetes. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Type 1 Diabetes. Cleveland Clinic
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). What Is Type 1 Diabetes?