Demam marak atau dalam bahasa Inggerisnya “scarlet fever” ialah sejenis penyakit akut (berlaku secara tiba-tiba) yang menyebabkan gejala-gejala seperti sakit tekak, demam panas dan ruam.
Demam marak juga turut dikenali dengan nama skarlatina. Demam ini lazimnya berlaku kepada kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 15 tahun.
Suatu masa dahulu, demam marak dianggap penyakit kanak-kanak yang serius. Namun kini, rawatan antibiotik membuatkan penyakit ini kurang berbahaya.
Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan keadaan yang lebih serius yang menjejaskan organ-organ penting seperti jantung, buah pinggang, otak dan lain-lain.
Gejala-gejala Demam Marak
Gejala-gejala atau simptom biasanya akan muncul selepas 1 hingga 4 hari anak anda dijangkiti. Gejala yang pertama akan muncul bagi demam marak ini adalah:
- Sakit tekak
- Demam dengan suhu 38.3°C atau lebih tinggi, selalunya turut diikuti dengan menggigil
Selepas 12 hingga 48 jam gejala pertama ini muncul, gejala seterusnya iaitu ruam akan muncul. Tompok-tompok merah akan kelihatan pada kulit.
Tompok-tompok ini kemudiannya akan bertukar menjadi ruam berwarna merah-merah jambu yang kelihatan seperti selar matahari (sunburn). Kulit berasa kasar apabila disentuh seperti kertas pasir.
Ruam ini akan merebak ke leher, siku, telinga. peha dan groin, dada dan bahagian badan yang lain.
Ruam ini biasanya tidak merebak ke muka tetapi pipi pesakit akan kelihatan merah dan bahagian di sekitar mulut kelihatan pucat.
Selepas kira-kira 6 hari, ruam tersebut akan beransur hilang. Bagi kes-kes yang ringan, gejala yang berlaku mungkin hanya melibatkan ruam.
Gejala-gejala lain yang boleh berlaku adalah:
- Gatal-gatal
- Sakit kepala
- Loya dan muntah
- Berasa tidak sihat
- Sukar menelan
- Sakit perut
- Hilang selera makan
- Bengkak kelenjar di tekak
- Saluran darah pecah di bahagian pelipat seperti ketiak atau siku
- Lidah terinflamasi dan merah selalunya dilapisan lapisan putih
Punca yang Menyebabkan Demam Marak
Demam marak disebabkan oleh bakteria yang sama yang menyebabkan sakit tekak iaitu bakteria Streptococcus Kumpulan A (strep kumpulan A).
Bagi demam ini, bakteria tersebut melepaskan toksin yang menyebabkan ruam dan lidah merah.
Adakah Demam Marak Boleh Berjangkit?
Ya, demam marak boleh berjangkit daripada satu individu kepada individu yang lain melalui titisan air yang dilepaskan oleh individu yang telah dijangkiti semasa mereka bersin atau batuk.
Jangkitan juga boleh berlaku melalui kontak rapat dengan mereka yang mempunyai kudis yang disebabkan oleh bakteria strep kumpulan A (impetigo).
Gejala-gejala akan kelihatan selepas 2 hingga 4 hari seseorang itu dijangkiti,
Siapakah yang Berisiko untuk Dijangkiti Demam Marak?
Sesiapa sahaja boleh mendapat demam marak. Ia lebih biasa berlaku kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun berbanding orang dewasa.
Ibu bapa kanak-kanak dalam lingkungan umur ini dan orang dewasa lain yang kerap bersentuhan dengan kanak-kanak dalam lingkungan umur ini lebih berisiko.
Demam marak jarang berlaku pada bayi dan kanak-kanak kecil.
Demam marak merebak lebih cepat dalam tetapan kumpulan besar. Wabak di sekolah, taska, komuniti dan kawasan kejiranan boleh meningkatkan risiko anda.
Komplikasi
Jika tidak dirawat, bakteria boleh merebak ke bahagian badan yang lain seperti:
- Kulit
- Darah
- Tonsil
- Telinga
- Hidung
- Paru-paru
- Jantung
- Buah pinggang
- Sendi
- Otot
Jarang-jarang, demam ini membawa kepada demam reumatik iaitu sejenis penyakit keradangan yang menjejaskan jantung, sendi, sistem saraf dan kulit.
Diagnosis
Banyak virus dan bakteria boleh menyebabkan penyakit yang melibatkan ruam merah dan sakit tekak.
Doktor akan menentukan jenis penyakit yang anak anda alami dengan bertanya tentang gejala dan melakukan pemeriksaan fizikal.
Jika mereka fikir anak anda mungkin mengalami demam marak, mereka akan melakukan ujian menyapu tekak anak anda.
Terdapat dua jenis ujian untuk sakit tekak iaitu: ujian strep pantas dan kultur tekak.
Ujian Strep Pantas
Ujian strep pantas melibatkan sapuan (swab) kerongkong dan menjalankan ujian pada swab. Ujian dengan cepat menunjukkan sama ada bakteria strep kumpulan A yang menyebabkan penyakit.
- Jika keputusan adalah positif, doktor akan mempreskripsi antibiotik
- Jika keputusan adalah negatif, tetapi doktor masih syak akan demam marak, maka doktor boleh mengambil kultur tekak.
Kultur Tekak
Kultur tekak mengambil masa untuk melihat sama ada bakteria strep kumpulan A tumbuh daripada swab.
Walaupun memerlukan lebih banyak masa, kultur tekak kadangkala menemui jangkitan yang mungkin terlepas semasa ujian strep pantas
Rawatan
Untuk rawatan demam marak, doktor akan menetapkan antibiotik. Pastikan anak anda mengambil semua ubat seperti yang diarahkan.
Jika anak anda tidak mengikut garis panduan rawatan, rawatan mungkin tidak dapat menghapuskan jangkitan sepenuhnya, yang boleh meningkatkan risiko anak anda mengalami komplikasi.
Bagi mengurangkan demam dan sakit tekak, anda anda boleh mengambil paracetamol atau ibuprofen.
Lazimnya, doktor akan turut memberikan ubat ini bersama-sama antibiotik sekiranya anak anda menunjukkan gejala demam dan sakit tekak.
Anak anda boleh kembali ke sekolah setelah mengambil antibiotik sekurang-kurangnya 12 jam dan tidak lagi demam.
Rujukan
- Pardo S, Perera TB. Scarlet Fever. [Updated 2023 Jan 16]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Scarlet fever. MayoClinic
- Centers for Disease Control and Prevention. (2023). Scarlet Fever: All You Need to Know