Apa itu Demam Kepialu?
Demam kepialu atau turut dikenali sebagai demam tifoid ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi (S.Typhi).
Bakteria ini akan menjangkiti usus kecil dan menyebabkan demam panas, sakit perut dan gejala-gejala lain.
Demam kepialu juga turut dikenali sebagai demam enterik.
Anda juga mungkin mendengar perkataan demam paratifoid yang sering disebut bersama-sama demam tifoid. Demam paratifoid adalah demam yang sama dengan tifoid tetapi mempunyai gejala-gejala lebih ringan dan kurang berbahaya.
Demam paratifoid disebabkan oleh bakteria Salmonella Paratyphi (S. Paratyphi).
Bakteria S. Typhi dan S. Paratyphi adalah berbeza dengan bakteria Salmonella yang sering menyebabkan keracunan makanan.
Siapakah yang Boleh Dijangkiti?
Kanak-kanak adalah golongan yang lebih berisiko dijangkiti berbanding orang dewasa.
Kanak-kanak terutamanya dari kawasan pedalaman dan negara-negara membangun seperti Selatan Asia, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Tengah dan Selatan adalah golongan yang terdedah kepada demam ini.
Hal ini demikian kerana, di kawasan-kawasan ini, penjagaan kebersihan kurang dititikberatkan. Sistem sanitasi yang tidak baik boleh mendedahkan makanan dan minuman tercemar dengan bakteria-bakteria S. Typhi dan S. Paratyphi.
Tanda-tanda atau Gejala-gejala Demam Kepialu
Demam kepialu mendapat namanya daripada demam panas yang boleh berlarutan selama berminggu-minggu jika tidak dirawat.
Ia selalunya menjadi semakin teruk selama beberapa hari.
Selain itu, terdapat juga beberapa gejala lain yang mungkin turut berlaku seperti:
- Sakit kepala
- Menggigil
- Sakit perut
- Batuk
- Hilang selera makan
- Ruam “tompok mawar” atau ruam tompok merah jambu pucat yang biasanya berlaku di dada atau perut
- Loya dan muntah
- Sakit otot
- Cirit-birit atau sembelit
Jika demam kepialu tidak dirawat, simptom akan terus menjadi lebih teruk pada minggu-minggu berikutnya dan risiko mendapat komplikasi yang boleh membawa maut akan meningkat.
Punca yang Menyebabkan Demam Kepialu?
Demam kepialu berpunca daripada bakteria yang dikenali sebagai Salmonella Typhi (S.Typhi).
Ia tinggi di dalam usus orang yang telah dijangkiti dan boleh mencemarkan makanan dan air.
Bagaimana Ia Merebak?
Demam kepialu biasanya merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan S. Typhi.
Ini boleh berlaku jika seseorang yang menghidap demam kepialu menyentuh sesuatu yang anda makan atau minum tanpa mencuci tangan.
Ia juga boleh berlaku jika air kumbahan masuk ke dalam air yang anda minum atau pada makanan yang anda makan.
Anda boleh mendapat demam tifoid daripada orang lain yang telah dijangkiti jika mereka tidak mencuci tangan selepas pergi ke tandas.
Apabila mereka menyentuh permukaan dan objek (seperti telefon atau tombol pintu) mereka boleh meninggalkan bakteria yang boleh dipindahkan kepada orang lain yang menyentuhnya.
Tahap-tahap Demam Kepialu
Anda boleh mengalami gejala-gejala demam kepialu secara berperingkat iaitu sebanyak 4 tahap.
Rawatan awal boleh mencegah daripada berlakunya tahap seterusnya.
- Tahap 1: Anda akan mula mendapat gejala-gejala sekitar 5-14 hari selepas mempunyai kontak dengan S.Typhi. Gejala pertama adalah demam yang semakin teruk selepas beberapa hari.
- Tahap 2: Sekitar minggu kedua anda demam, bakteria akan terus membiak. Anda akan mula berasa sakit perut atau cirit-birit dan sembelit. Anda juga boleh mengalami tompok mawar pada kulit yang kelihatan seperti ruam.
- Tahap 3: Jika tidak dirawat dengan antibiotik, bakteria boleh menyebabkan kerosakan teruk, biasanya sekitar minggu ketiga selepas gejala anda bermula. Sesetengah orang mendapat komplikasi serius, seperti perdarahan dalaman dan ensefalitis (keradangan di dalam otak).
- Tahap 4: Tahap 4 adalah peringkat kebanyakan orang mula pulih. Demam panas mula reda. S. Typhi boleh hidup dalam pundi hempedu anda tanpa menyebabkan gejala, ini bermaksud anda mungkin masih boleh menjangkiti orang lain walaupun selepas anda berasa lebih baik.
Diagnosis
Doktor mungkin menggunakan maklumat seperti gejala-gejala, sejarah perjalanan anda dan ujian makmal untuk mendiagnosis demam kepialu.
Doktor juga mungkin melakukan pemeriksaan fizikal seperti mendengar denyutan jantung dan paru-paru.
Rawatan
Antibiotik adalah rawatan paling berkesan untuk merawat demam kepialu.
Ubat antibiotik yang diberikan akan bergantung kepada di mana anda mendapat jangkitan tersebut.
Antara pilihan ubat antibiotik yang mungkin digunakan adalah:
- Fluoroquinolones: Antibiotik ini lazimnya menjadi pilihan pertama. Ia menghentikan bakteria daripada terus berkembang biak.
- Cephalosporins: Antibiotik ini menghalang bakteria daripada membina dinding-dinding sel.
- Macrolides: Antibiotik ini menghalang bakteria daripada menghasilkan protein.
- Carbapenems: Antibiotik ini mencegah bakteria daripada membina dinding-dinding sel. Tetapi ia menumpukan kepada peringkat berbeza berbanding cephalosporins.
Selain itu, meminum air yang mencukupi juga boleh mencegah dehidrasi akibat daripada demam panas dan cirit-birit.
Sekiranya usus anda rosak, maka pembedahan mungkin diperlukan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Typhoid fever. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Typhoid fever. Cleveland Clinic
- Bhandari J, Thada PK, DeVos E. Typhoid Fever. [Updated 2022 Aug 10]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI