Demam campak atau turut dikenali sebagai Rubeola (Measles) adalah jangkitan virus terhadap kanak-kanak yang disebabkan oleh virus measles.
Virus ini tersebar antara satu individu kepada individu yang lain melalui udara dan sangat mudah berjangkit.
Biasanya, demam campak akan menyebabkan gejala seperti ruam pada kulit dan jangkitan saluran pernafasan. Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti boleh sembuh, namun demam campak boleh membunuh terutamanya kepada kanak-kanak kecil.
Pengambilan vaksin atau imunisasi terhadap campak adalah langkah terbaik untuk mencegah penyakit ini.
Di Malaysia, kebanyakan kanak-kanak telah kebal atau imun terhadap penyakit ini sejak adanya Program Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak. Akan tetapi, kebelakangan ini terdapat pertambahan dalam kes-kes campak di bandar utama disebabkan oleh kemasukan orang asing dan penolakan vaksin.
Oleh itu, sekiranya seorang kanak-kanak tidak lagi mendapat vaksin dan terdedah kepada individu yang menghidap penyakit ini, maka kemungkinan besar kanak-kanak ini akan dijangkiti virus tersebut.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala demam campak akan dapat dilihat antara sekitar 10 hingga 14 hari selepas pesakit dijangkiti. Antara tanda-tanda dan gejala yang biasa berlaku adalah:
- Demam
- Batuk kering
- Selesema
- Sakit tekak
- Mata berair dan sensitif kepada cahaya
- Sakit otot
2 atau 3 hari kemudian, akan timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak ke bahagian badan, tangan dan kaki.
Ruam akan kekal selama 4 hingga 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi.
Punca atau Penyebab
Campak adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit. Ini bermakna ia sangat mudah disebarkan kepada orang lain.
Campak disebabkan oleh virus measles yang terdapat dalam hidung dan tekak kanak-kanak atau orang dewasa yang dijangkiti. Virus measles adalah virus daripada keluarga Paramyxovirus yang menyusup dan tumbuh di dalam sel epitelium farinks dan paru-paru.
Apabila seseorang yang menghidap campak batuk, bersin atau bercakap, titisan yang mengandungi virus tersebut akan menyembur ke udara, di mana orang lain boleh menyedutnya.
Titisan yang mengandungi virus tersebut boleh kekal di udara selama kira-kira sejam. Tetapi, apabila titisan tersebut berada pada permukaan, virus tersebut boleh hidup dan merebak dalam beberapa jam.
Rawatan
Rawatan terbaik bagi demam campak adalah pencegahan. Pencegahan melalui vaksinasi boleh mencegah penyakit ini.
Secara umumnya, demam campak tidak mempunyai rawatan yang spesifik. Tetapi, beberapa pendekatan berikut boleh membantu mengurangkan gejala-gejala:
- Paracetamol boleh diberikan untuk membantu mengurangkan demam.
- Berehat dan minum air yang mencukupi.
- Elakkan cahaya yang terang kerana ia menyakitkan mata.
Ruam tidak perlu dirawat kerana ia akan hilang dengan sendirinya. Namun, pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain.
Komplikasi
Kanak-kanak kecil, wanita mengandung dan pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah golongan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi.
Demam campak boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Jangkitan atau radang paru-paru (pneumonia)
- Jangkitan pada otak (encephalitis)
- Jangkitan pada telinga
- Cirit-birit
Bagi kes yang serius, campak boleh menyebabkan kematian. Bagi wanita hamil, penyakit ini boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang.
Langkah-langkah Pencegahan
Langkah pencegahan yang berkesan bagi mencegah penyakit ini adalah imunisasi. Di Malaysia, imunisasi bagi demam campak diberikan melalui Program Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak.
Vaksin campak diberikan melalui vaksin MMR (Measles, Mumps and Rubella). Vaksin ini diberikan kepada kanak-kanak pada usia 9 bulan dan kemudiannya pada 12 bulan.
Jika anak anda terdedah kepada individu dijangkiti campak dan belum lagi menerima imunisasi, bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera. Pemberian vaksin dalam jangka masa tertentu boleh mengelakkan anak anda daripada dijangkiti virus ini.