Chikungunya adalah jangkitan virus yang merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes. Jangkitan ini pertama kali dijumpai di Tanzania pada tahun 1952.
Nama Chikungunya berasal daripada perkataan dalam bahasa Kimakonde yang bermaksud menjadi berkerut dan menggambarkan penampilan bongkok penghidap sakit sendi (artralgia).
Penyakit ini telah menular ke Asia Tenggara di mana kes-kes telah dilaporkan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia. Jangkitan pertama penyakit Chikungunya di Malaysia telah dilaporkan pada tahun 1998 di Pelabuhan Klang. Sejak tahun 2004, Chikungunya telah merebak dengan cepat dan telah dikenalpasti di lebih 60 buah negara di seluruh Asia, Afrika, Eropah dan Amerika.
Terdapat dua spesies nyamuk aedes yang diketahui menjadi pembawa kepada virus Chikungunya iaitu nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Kedua-dua spesies nyamuk ini juga turut terlibat dalam membawa virus denggi dan virus Zika.

Nyamuk-nyamuk Aedes ini menggigit mangsa pada waktu siang terutamanya pada waktu awal pagi dan lewat petang. Kedua-dua spesies ini didapati menggigit mangsa ketika berada di luar rumah, tetapi spesies Aedes aegypti turut menggigit mangsanya di dalam rumah.
Tanda-tanda atau Gejala Chikungunya
Selepas digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti, permulaan penyakit lazimnya berlaku dalam masa 4-8 hari kemudiannya. Tetapi ia boleh juga terjadi seawal 2-12 hari.
Tanda-tanda atau gejala Chikungunya dicirikan dengan berlakunya demam yang tiba-tiba dan diikuti oleh sakit sendi.
Gejala Chikungunya amat serupa dengan demam denggi, tetapi demam Chikungunya jarang diikuti oleh pendarahan atau sindrom kejutan (shock syndrome).
Individu yang dijangkiti mungkin akan mengalami gejala atau tanda-tanda seperti berikut:
- Demam
- Sakit sendi
- Sakit otot
- Bengkak sendi
- Sakit kepala
- Loya
- Muntah
- Kelesuan atau keletihan
- Ruam
Punca atau Penyebab
Punca atau penyebab kepada penyakit ini adalah virus Chikungunya (CHIKV) yang tergolong dalam genus alphavirus dalam keluarga Togaviridae.
Virus ini tersebar kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti virus Chikungunya.
Rawatan
Tiada rawatan spesifik seperti drug antivirus untuk merawat Chikungunya. Rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan gejala-gejala yang dihadapi oleh pesakit.
Pesakit dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi, meminum air yang banyak dan mengambil ubat berdasarkan kepada nasihat doktor untuk melegakan gejala penyakit. Ubat seperti paracetamol boleh digunakan untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan demam.
Oleh demikian kerana penyakit ini hampir serupa dengan denggi, pesakit disyaki harus mengelakkan menggunakan aspirin atau ubat antiradang bukan steroid (NSAID) sehinggalah ditentukan sama ada menghidap denggi atau Chikungunya. Penggunaan ubat-ubat ini dalam kalangan pesakit denggi boleh meningkatkan risiko perdarahan.
Selain itu juga, tiada vaksin khusus untuk Chikungunya.
Langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan boleh diambil oleh orang ramai bagi mengelakkan digigit oleh nyamuk Aedes yang berisiko membawa virus ini. Antaranya adalah:
- Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
- Tutup tingkap pada waktu awal pagi dan lewat petang apabila berada dalam rumah atau bangunan. Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk.
- Kurangkan aktiviti luar pada waktu awal pagi dan lewat petang bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk Aedes terutamanya di lokaliti berisiko tinggi.
- Gunakan ubat penjauh serangga (insect repellant) pada kulit yang terdedah semasa menjalankan aktiviti luar pada waktu awal pagi dan lewat petang.
- Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutamanya semasa menjalankan aktiviti luar pada waktu awal pagi dan lewat petang.
- Elakkan memakai pakaian berwarna gelap kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Chikungunya virus.
- World Health Organization. Chikungunya fact sheet.