Kemunculan ketuat ini secara psikologinya boleh membuatkan seseorang itu kurang keyakinan diri atau rasa malu terutamanya jika ketuat ini tumbuh di tempat yang boleh dilihat seperti leher atau kelopak mata. Menyedari hakikat ini, artikel ini menyenaraikan beberapa cara mudah menghilangkan ketuat yang boleh dilakukan.
Ketuat adalah ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh human papillomavirus (HPV). Terdapat lebih 60 jenis HPV dan sesetengah daripadanya menyebabkan ketuat pada kulit.
Ketuat pada asasnya tidak berbahaya atau boleh menyebabkan kesakitan. Ia boleh hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan atau selepas 2 tahun.
Terdapat beberapa cara mudah menghilangkan ketuat atau rawatan yang boleh dicuba oleh anda yang mengalami masalah ini.
Setiap rawatan atau kaedah menghilangkan ketuat ini haruslah memastikan kaedah tersebut dilakukan sehingga ‘akar’ ketuat tersebut bagi mencegah ketuat ini daripada tumbuh kembali.
Beberapa cara atau petua yang boleh dilakukan dirumah untuk menghilangkan ketuat adalah:
1. Asid Salisiklik
Produk belian kaunter seperti gel, krim atau losyen yang mengandungi asid salisiklik (salicylic acid) boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.
Asid salisiklik ini boleh merosakkan kulit sihat. Oleh itu, sebelum menggunakan produk yang menggunakan asid ini, pastikan kulit disekeliling ketuat dilindungi.
Untuk ketuat biasa, dapatkan produk yang mengandungi 17% asid salisiklik. Produk-produk ini kebiasaannya memerlukan penggunaan harian selama beberapa minggu sehingga ketuat ini hilang. Contohnya seperti produk ELLGY corns & warts treatment solution.
Analisis yang dijalankan mendapati cecair asid salisiklik boleh membantu 14 daripada 100 orang menyingkirkan ketuat dengan lebih cepat. [1]
Cara penggunaan:
- Cara penggunaan produk-produk ini boleh dirujuk pada label produk.
- Untuk hasil yang lebih baik, rendam ketuat dalam air suam beberapa minit sebelum memakai ubat ketuat ini.
- Di antara satu-satu rawatan, kikis atau umpil lapisan atas (kulit mati) pada ketuat sebelum menyapu ubat yang baru.
2. Pembekuan (Cryotherapy)
Terdapat juga ubat atau produk belian kaunter yang menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan ketuat.
Kaedah ini akan mematikan kulit dan membolehkan lapisan pada pemukaan ketuat dibuang.
3. Pita Pelekat
Terdapat juga cara mudah menghilangkan ketuat yang hanya menggunakan pita pelekat.
Pita pelekat seperti pita pelekat jenis kain boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.
Sesetengah orang berjaya menghilangkan ketuat mereka melalui kaedah ini. Terdapat juga kajian yang menunjukkan penggunaan pita pelekat boleh menghilangkan ketuat. [2]
Cara penggunaan:
- Tutup ketuat dengan pita pelekat selama 6 hari.
- Kemudian, tanggalkan pita pelekat ini. Rendam ketuat ini dalam air suam dan tanggalkan lapisan kulit yang mati.
- Biarkan ketuat tersebut terdedah selama 12 jam.
- Kemudian, ulang cara ini sehingga ketuat itu hilang.
- Cara ini juga boleh digabungkan dengan penggunaan minyak pati kulit kayu manis.
4. Minyak Pati Kayu Manis
Minyak kayu manis atau minyak pati kulit kayu manis (Cinnamon essential oil) juga boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.
Sifat antibakteria dan antioksidan bagi kulit kayu manis mungkin menjadi penyumbang kepada khasiat ini.
Minyak pati kulit kayu manis adalah sangat kuat jika digunakan tanpa campuran. Maka, sebelum mengunakannya, cairkan minyak pati ini dengan minyak pembawa (carrier oil) seperti minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak badam.
Cara penggunaan:
- Rendam ketuat dalam air suam selama 15 minit sebelum memulakan rawatan.
- Letakkan 1 titis minyak pati kayu manis yang telah dicairkan dengan 1 titis minyak pembawa pada ketuat tersebut.
- Ulang rawatan ini secara harian sehingga ketuat tercabut atau hilang.
Terdapat juga produk yang tersedia seperti ELEMSI Organic Hana yang berkesan untuk menghilangkan ketuat.
5. Kulit Pisang
Terdapat juga amalan atau petua masyarakat setempat yang menggunakan kulit pisang untuk menghilangkan ketuat.
Ada yang mengatakan kalium (potassium) dalam kulit pisang boleh melawan HPV.
Namun, tiada kajian yang mengaitkan kalium dengan rawatan ketuat atau jangkitan virus pada kulit.
Sekiranya anda ingin mencuba, balut atau lekatkan kulit pisang pada ketuat. Biarkan semalam.
6. Iodin
Cara mudah menghilangkan ketuat yang seterusnya ialah menggunakan sapuan cecair iodin.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap 21 orang pesakit yang memiliki ketuat mendapati penggunaan sapuan cecair povidone-iodine 2 kali sehari selama 12 minggu berkesan untuk menghilangkan ketuat. [3]
Kajian ini juga melaporkan bahawa tiada kesan sampingan serius yang berlaku.
Cara penggunaan:
- Dapatkan cecair povidone-iodine secara belian kaunter di kedai ubat atau farmasi berdekatan.
- Sapukan atau titiskan cecair iodin ini pada ketuat sebanyak 2 kali sehari.
- Anda juga boleh letakkan plaster band-aid pada ketuat yang dirawat tersebut.
- Ulang kaedah rawatan ini sehingga ketuat tersebut hilang.
Anda juga boleh mendapatkan cecair povidone-iodine ini secara belian atas talian.
Peringatan
Bagi anda yang ingin melakukan rawatan dirumah, terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian iaitu:
- Ketuat adalah mudah berjangkit. Elakkan menyentuh bahagian badan yang lain semasa merawat ketuat tersebut.
- Elakkan melakukan rawatan sendiri bagi ketuat di bahagian badan yang sensitif seperti di muka, mulut, hidung, mata atau kemaluan. Sebaliknya, dapatkan rawatan daripada doktor atau ahli profesional perubatan.
- Sekiranya anda menghidap diabetes (penyakit kencing manis), elakkan merawat ketuat dikaki sebelum mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Diabetes boleh menyebabkan kurang kederiaan pada kaki anda, anda berisiko tinggi untuk mencederakan diri sendiri.
Rujukan
- InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. What are the treatment options for warts? [Updated 2019 Nov 7]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279585/
- Goldman R. D. (2019). Duct tape for warts in children: Should nature take its course?. Canadian family physician Medecin de famille canadien.
- Capriotti, K. et al. (2015). A Novel Topical 2% Povidone-Iodine Solution for the Treatment of Common Warts: A Randomized, Double-Blind, Vehicle-Controlled Trial. Dermatology and therapy.