Parut jerawat sudah pasti tidak diingini oleh sesiapa pun. Tetapi kadangkala parut jerawat ini sukar untuk dielakkan. Maka, pendekatan merawat parut jerawat ini adalah satu-satunya jalan yang boleh diusahakan. Terdapat beberapa cara merawat parut jerawat yang boleh didapati bergantung kepada jenis parut jerawat.
Golongan remaja adalah kumpulan yang paling terdedah kepada jerawat. Sekiranya jerawat ini menyerang sudah pasti ia menyebabkan ketidakselesaan dan lebih parah menyebabkan kekurangan keyakinan diri.
Jerawat yang mengalami keradangan boleh menyebabkan parut kekal. Keterukan parut ini pula bergantung kepada berapa lama pesakit menangguh rawatan terhadap jerawat yang dialami. Keterukan parut ini juga turut mempunyai dikaitkan dengan tekanan fizikal dan psikologi yang besar terutamanya bagi remaja.

Parut vs Bintik Hitam
Parut jerawat tidak berlaku kepada semua orang. Parut jerawat kebiasaannya lebih dalam dan mengakibatkan kerosakan tisu kulit. Memicit jerawat adalah salah satu tindakan yang boleh menyebabkan parut.
Bintik hitam akibat jerawat pula adalah kesan yang ditinggalkan selepas proses penyembuhan akibat radang pada kulit seperti jerawat. Bintik hitam ini rata dan tidak lekuk atau timbul seperti parut jerawat.
Bintik hitam ini akan pudar atau hilang selari dengan masa. Kebiasaannya, bintik ini boleh hilang antara 3 bulan hingga 2 tahun.
Jenis-jenis Parut Jerawat
Jerawat berlaku akibat daripada kerosakan pada kulit semasa proses pemulihan jerawat. Secara umumnya, parut jerawat boleh dibahagikan kepada 2 iaitu parut atrofi atau parut hipertrofi.
Majoriti mereka yang mengalami parut jerawat adalah daripada jenis parut atrofi iaitu parut yang berkaitan dengan kehilangan kolagen.
Parut Atrofi
Parut atrofi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
- icepick.
- rolling
- boxcar

Rawatan untuk Parut Jerawat
Cara merawat parut jerawat bergantung kepada jenis parut yang dialami dan mungkin berbeza-beza bagi setiap individu.
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh didapati sama ada melalui produk penjagaan diri atau rawatan di klinik pakar.
Antaranya adalah:
1. Pengelupasan Kimia
Pengelupasan kimia adalah proses menggunakan bahan kimia pada kulit untuk memusnahkan lapisan luar kulit yang telah rosak, ia mempercepatkan proses pengupasan kulit yang normal.
Beberapa agen kimia yang sesuai untuk proses ini (sesetengahnya turut digunakan dalam produk penjagaan diri) adalah:
- Asid glikolik (glycolic acid) – Asid glikolik adalah sejenis asid alpha hydroxyl yang selalu digunakan sebagai agen pengelupas. Asid ini boleh digunakan dalam produk penjagaan kulit pada kepekatan 5 hingga 15%.
- Asid trikloroasetik (trichloroacetic acid) – Asid trikloroasetik (TCA) digunakan mengikut kedalaman parut dan penggunaannya haruslah tidak melebihi 35% kepekatan.
- Cecair Jessner’s – Cecair ini boleh digunakan untuk pengelupasan ringan atau digunakan bersama TCA.
- Asid piruvik (pyruvic acid) – Asid ini mempunyai keupayaan untuk merangsang penghasilan kolagen dan pembentukan serat elastik.
- Asid salisilik (salicylic acid) – Asid salisilik adalah antara agen pengelupasan terbaik yang boleh merawat parut jerawat. Asid ini turut digunakan dalam produk-produk penjagaan kulit.
- TCA CROSS – Teknik ini melibatkan penggunaan TCA pada kepekatan tinggi. Ia sesuai untuk parut jenis icepick dan boxcar kecil.
2. Dermabrasi/Mikrodermabrasi
Dermabrasi adalah teknik rawatan maju untuk parut jerawat. Teknik ini secara mekanikalnya memotong kulit yang rosak bagi menggalakkan pertumbuhan tisu kulit baru.
Dermabrasi membuang lapisan kulit luar (epidermis) sepenuhnya dan menembusi sehingga paras papilari (lapisan permukaan dermis). Manakala, mikrodermabrasi hanya membuang lapisan luar epidermis sahaja.
3. Rawatan laser
Cara merawat parut jerawat yang berikutnya adalah menggunakan rawatan laser. Rawatan laser berkesan untuk merawat parut jerawat.
Terdapat beberapa jenis rawatan laser iaitu:
- Laser ablatif (ablative laser)
- Laser tidak ablatif (nonablative laser)
- Fractional photothermolysis (FP)
- Pinpoint irradation technique
4. Radiofrekuensi
Radiofrekuensi ialah rawatan yang melibatkan penggunaan sinaran elektromagnet dengan frekuensi antara 3 hingga 300 GHz.
Teknik ini menghasilkan haba pada lapisan kulit untuk mencetuskan kecederaan pada kulit dan menimbulkan tindak balas penyembuhan luka dan merangsang pembentulan semula kolagen kulit.
5. Penjaruman (Needling)
Teknik penjaruman kulit ini adalah kaedah yang melibatkan penggunaan penggelek yang terdiri daripada jarum-jarum yang halus dan tajam untuk mencucuk kulit.
Tujuan kaedah ini adalah untuk menghasilkan lebam-lebam mikro pada bahagian parut seterusnya mencetuskan penghasilan kolagen.
Rawatan Di Rumah untuk Bintik Hitam
Walaupun bintik hitam boleh hilang dengan sendirinya, namun sesetengah orang mungkin tidak selesa dengan kehadiran bintik hitam diwajah mereka.
Berikut adalah beberapa rawatan atau bahan yang boleh digunakan untuk merawat bintik hitam:
1. Ekstrak Biji Anggur (Grapeseed extract)
Produk ekstrak biji anggur boleh dimanfaat untuk mencerah atau mengurangkan bintik hitam.
Walaupun tiada kajian khusus terhadap peranan ekstrak biji anggur ini. Satu kajian mendapati, pengambilan ekstrak biji anggur ini selama 6 bulan secara makan boleh memanfaatkan mereka yang mempunyai masalah kulit melasma yang sama seperti bintik hitam. [1]
Ekstrak biji anggur ini boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
2. Aloe Vera
Aloe Vera sememangnya telah terkenal dalam masyarakat kita menjaga kulit dan mengurangkan parut. Aloe Vera juga turut dipercayai boleh mengurangkan kesan bintik hitam (hiperpigmentasi) akibat jerawat ini.
Kajian terhadap haiwan mendapati, penggunaan aloe vera yang konsisten dapat menstabilkan tahap melanin dalam sel. [1]
3. Vitamin C
Buah oren atau lemon merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.
Kajian menunjukkan vitamin C ialah ejen pembuang pigmentasi yang dapat mengurangkan penghasilan melanin. [2]
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda mengalami parut jerawat yang banyak dan menggugat keyakinan diri atau mendatangkan masalah perhubungan. Mungkin tepat masanya untuk anda dapatkan nasihat atau rawatan daripada doktor atau pakar kulit.
Berjumpa dengan pakar kulit dapat memberikan rawatan yang bersesuaian dengan pH dan kesensitifan kulit anda.
Rujukan
- Sarkar, R. et al. (2013). Cosmeceuticals for Hyperpigmentation: What is Available?. Journal of cutaneous and aesthetic surgery.
- Telang P. S. (2013). Vitamin C in dermatology. Indian dermatology online journal.
- Fabbrocini, G. et al. (2010). Acne scars: pathogenesis, classification and treatment. Dermatology research and practice.
- Gozali, M. V., & Zhou, B. (2015). Effective treatments of atrophic acne scars. The Journal of clinical and aesthetic dermatology.
Nur Arifah ialah seorang penulis bebas yang mempunyai minat dalam bidang kesihatan, pemakanan dan gaya hidup. Beliau mempunyai latar belakang bidang sains dan telah menulis sejak 2016.