Tidak seorang pun mahukan parut jerawat. Tetapi, jika berlaku juga, bagaimana untuk menghilangkan parut jerawat ini? Justeru itu, kami kongsikan kepada anda cara menghilangkan parut jerawat ini melalui kaedah tradisional dan moden.
Anda boleh memilih mengikut kesesuaian dan kemampuan anda.
Bagaimana Parut Jerawat Berlaku?
Kulit manusia terdiri daripada 3 lapisan utama. Lapisan paling luar dikenali sebagai epidermis, lapisan pertengah dikenali sebagai dermis dan tisu subkutaneus (hipodermis).
Lapisan-lapisan ini melindungi anda daripada sinaran UV, bakteria dan juga membantu menghasilkan vitamin D. Mana-mana kawasan yang mempunyai kelenjar sebum terdedah kepada jerawat terutamanya bahagian muka, belakang dan dada.

Parut jerawat adalah akibat daripada keradangan jerawat. Pori jerawat membengkak dan berlaku kerosakan pada dinding pori. Sesetengah jerawat adalah kecil dan parut yang dicipta adalah cetek dan cepat sembuh.
Kadang-kadang kandungan jerawat tumpah ke dalam tisu sekelilingnya dan menyebabkan parut yang lebih dalam. Tindak balas kulit adalah untuk membaiki parut dengan membentuk gentian kolagen baru.
Parut jerawat mempunyai dua bentuk utama iaitu sama ada parut terbentuk apabila terdapat kehilangan tisu, mengakibatkan lekukan pada permukaan kulit atau parut yang terbentuk yang timbul pada permukaan kulit.
Parut jerawat jenis ini sebenarnya adalah tanda bahawa kulit anda melakukan tugasnya. Kulit anda menghasilkan kolagen untuk membantu menyembuhkan luka jerawat. Tetapi, jika ia menghasilkan terlalu banyak kolagen, parut timbul akan terbentuk.
Jenis-jenis Parut Jerawat
Sekiranya anda mempunyai parut jerawat, anda mungkin mempunyai beberapa jenis parut jerawat ini. Jarang-jarang seseorang itu mempunyai sejenis parut jerawat sahaja.
Parut Atropik atau Tertekan
- Boxcar: Parut jenis ini lebar dan mempunyai bentuk seperti U dengan sisi yang tajam. Parut ini boleh jadi cetek atau dalam.
- Ice pick: Parut ice pick adalah parut sempit berbentuk V yang boleh masuk jauh ke dalam kulit. Parut ini boleh kelihatan seperti lubang bulat atau bujur kecil, seperti parut cacar air. Parut ini adalah salah satu parut yang paling mencabar untuk sembuh.
- Rolling: Parut ini biasanya ditemui di bahagian bawah pipi dan rahang, di mana kulit anda lebih tebal. Lekukan mempunyai tepi yang landai yang menjadikan kulit kelihatan tidak sekata dan beralun.
Parut Hipertropik atau Keloid
Parut jenis ini timbul dari kulit. Ia disebabkan oleh kolagen yang dihasilkan seacara berlebihan. Parut ini biasanya terdapat pada dada, belakang dan bahu serta rahang dan boleh menjadi gatal, lembut atau menyakitkan.
Cara Menghilangkan Parut Jerawat Secara Tradisional
Ramai yang lebih memilih kaedah tradisional sebagai cara untuk menghilangkan jerawat yang mereka alami, mungkin kerana lebih bersifat alami.
Antara cara atau petua untuk menghilangkan parut jerawat adalah:
1. Madu Asli
Madu lebah asli sememangnya mempunyai pelbagai khasiat seperti merawat luka, luka melecur dan turut bersifat antibakteria.
Terdapat kajian yang menunjukkan madu lebah boleh mempercepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan potensi untuk berlakunya parut. [1]
Anda boleh menggunakan madu ini dengan menyapunya pada jerawat dan parut jerawat.
2. Aloe Vera
Aloe vera atau lidah buaya juga popular digunakan untuk banyak rawatan di rumah.
Bagi kes jerawat, aloe vera boleh membantu dalam proses penyembuhan. Berdasarkan kajian, gel aloe vera boleh membantu menyembuhkan luka dan mengurangkan keradangan dan saiz parut. [2]
Anda boleh mendapatkan gel aloe vera ini terus daripada daunnya atau produk aloe vera yang dijual di farmasi atau kedai-kedai jamu.
Anda boleh menggunakan gel aloe vera ini dengan menyapunya di bahagian kulit yang terdapat jerawat dan parut jerawat.
3. Rosehip Oil
Rosehip oil atau rosehip seed oil juga sesuai digunakan untuk menghilangkan parut jerawat.
Satu kajian menunjukkan bahawa ia boleh digunakan untuk merawat parut. Walaupun kajian itu khusus untuk parut pembedahan, minyak ini juga berguna dalam mengurangkan parut jerawat.
Penyelidik mendapati bahawa menggunakan rosehip oil ini dua kali sehari boleh mengurangkan penampilan parut dan perubahan warna. [3]
4. Minyak Habbatus Sauda
Habbatus sauda atau turut dikenali sebagai “black seed” sememangnya terkenal dengan khasiatnya yang pelbagai.
Minyak habbatus sauda juga didapati bermanfaat dalam membantu mengurangkan parut. Selain mempunyai ciri-ciri antibakteria, minyak habbatus sauda juga bersifat antiradang.
Kajian mendapati minyak ini boleh mempercepatkan serta meningkatkan penyembuhan luka. Ia juga boleh meratakan pigmentasi atau mencegah jerawat sama sekali. [4]
Cara Menghilangkan Parut Jerawat Secara Moden
Selain rawatan tradisional, terdapat banyak cara moden atau produk yang boleh membantu mengurang dan menghilangkan parut jerawat.
Antaranya adalah:
1. Asid Salisilik
Asid salisilik (salicylic acid) ialah sebatian yang selalu digunakan sebagai ramuan dalam produk-produk merawat jerawat.
Asid salisilik membersihkan liang-liang, mengurangkan bengkak dan kemerahan dan mengelupas kulit apabila digunakan secara topikal (sapuan). Ia dianggap sebagai salah satu rawatan terbaik untuk parut jerawat.
2. Alpha Hydroxy Acid
Alpha hydroxy acid (AHA) adalah bahan yang selalu dijumpai dalam produk yang digunakan untuk merawat jerawat.
Asid ini boleh membantu membuang kulit mati dan mencegah pori-pori daripada tersumbat. Lebih baik lagi, AHA juga boleh membantu membuat parut jerawat kelihatan kurang ketara.
3. Retinoid
Retinoid topikal adalah satu lagi rawatan jerawat dengan faedah menghaluskan parut. Selain mempercepatkan penjanaan semula sel dan memperbaiki tekstur kulit anda, retinoid juga boleh membantu mengurangkan perubahan warna dan membuat parut kurang ketara. [5]
Tetapi retinoid juga boleh membuat kulit anda sangat sensitif terhadap cahaya matahari. Justeru itu, anda perlu sentiasa memakai pelindung matahari setiap hari apabila menggunakan apa-apa yang mengandungi retinoid.
4. Pengelupasan Kimia
Pengelupasan kimia ialah asid kuat yang digunakan untuk menanggalkan lapisan atas kulit untuk mengurangkan parut yang lebih dalam.
Sesetengah pengelupasan kimia cukup lembut untuk digunakan di rumah, tetapi pakar kulit boleh memberikan penyelesaian yang lebih kukuh dengan hasil yang lebih dramatik.
Terdapat pelbagai jenis pengelupasan kimia, jadi sebaiknya berbincanglah dengan pakar tentang mana yang sesuai untuk anda.
5. Suntikan
Suntikan kortikosteroid boleh membantu melembutkan dan meratakan parut jerawat yang timbul jika seseorang mempunyai parut hipertropik atau keloid.
Rawatan biasanya terdiri daripada satu siri suntikan.
6. Rawatan laser
Rawatan laser memunculkan semula kulit tanpa menggunakan bahan kimia atau skrub. Ia menanggalkan lapisan paling atas kulit untuk mendedahkan sel-sel kulit yang lebih muda di bawahnya, yang boleh membantu mengurangkan penampilan parut.
Ia boleh membantu mengurangkan penampilan dan tekstur parut yang timbul.
Rawatan ini juga bukan pilihan yang baik untuk sesiapa sahaja yang masih mengalami jerawat dan ia tidak begitu berkesan pada warna kulit yang lebih gelap.
7. Microneedling
Microneedling adalah proses memasukkan jarum kecil ke dalam kulit di sekeliling parut untuk merangsang badan untuk membuat lebih banyak kolagen. Kolagen ini boleh mengurangkan penampilan parut jerawat atropik dengan melicinkan kulit.
Kajian pada 2017 menunjukkan, microneedling memberikan penambahbaikkan sebanyak 31–62% dalam penampilan parut jerawat atropik atau berlekuk. [6]
Walau bagaimanapun, microneedling boleh menyebabkan kesan sampingan. Ramai orang mengalami kemerahan, kesakitan, dan keradangan selepas rawatan. Walau bagaimanapun, kesan ini berkurangan dari semasa ke semasa.
8. Dermal Filler
Dalam sesetengah kes, pakar kulit mungkin mengesyorkan pengisi tisu lembut untuk merawat parut jerawat atropik. Mereka mungkin sangat membantu untuk parut jenis boxcar dan rolling.
Bergantung pada pengisi, seseorang mungkin perlu mengulangi rawatan selepas beberapa bulan.
9. Electrodessication
Digunakan bersama rawatan lain, rawatan jenis ini boleh membantu mengurangkan tepi parut jerawat jenis boxcar, menjadikan kulit kelihatan lebih rata dan kurang lekuk.
Doktor akan menggunakan probe elektrik untuk memanaskan kulit dan membunuh tisu yang menyebabkan tepi sekitar parut.
10. Pembedahan
Jika rawatan lain tidak membantu, pembedahan boleh menghilangkan parut jerawat yang timbul. Pembedahan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah dan doktor mungkin mengesyorkan rawatan lanjut.
Rujukan
- Vijaya, K. K., & Nishteswar, K. (2012). Wound healing activity of honey: A pilot study. Ayu.
- Oryan, A. et al. (2016). Topical Application of Aloe vera Accelerated Wound Healing, Modeling, and Remodeling: An Experimental Study. Annals of plastic surgery.
- Valerón-Almazán, P. et al. (2015). Evolution of Post-Surgical Scars Treated with Pure Rosehip Seed Oil. Journal of Cosmetics, Dermatological Sciences and Applications.
- Salih H.M. Aljabre. et al. (2015). Dermatological effects of Nigella sativa. Journal of Dermatology & Dermatologic Surgery.
- Leyden, J. et al. (2017). Why Topical Retinoids Are Mainstay of Therapy for Acne. Dermatology and therapy.
- Kravvas, G., & Al-Niaimi, F. (2017). A systematic review of treatments for acne scarring. Part 1: Non-energy-based techniques. Scars, burns & healing.