Sememangnya batuk kering mendatangkan rasa tidak selesa atau gatal kepada anda yang mengalaminya. Ketahui cara-cara menghilangkan batuk kering yang boleh diamalkan dirumah ini.
Batuk kering ialah batuk yang tidak berkahak atau bermukus. Batuk ini turut dipanggil batuk tidak produktif. Batuk kering yang berterusan lebih 3 minggu dan disertai sakit dada, batuk berdarah, atau sakit ketika bernafas boleh menjadi petanda kepada penyakit tibi.
Batuk kering juga boleh menjadi salah satu simptom jangkitan virus COVID-19.
Batuk kering boleh berlaku setelah anda mengalami demam atau selesema. Batuk ini juga boleh disebabkan beberapa punca lain seperti:
- asma
- refluks asid
- titis postnasal
- jangkitan virus
- bahan iritasi seperti asap rokok atau habuk.
Berikut adalah 10 petua atau cara menghilangkan batuk kering yang anda boleh cuba.
1. Madu
Madu asli boleh digunakan untuk menghilangkan batuk kering. Sifat antibakteria dan antiradang madu mungkin boleh mengurangkan simptom-simptom batuk kering.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa madu berkesan untuk mengurangkan simptom-simptom batuk terutamanya batuk pada waktu malam. [1]
Cara penggunaan:
- Makan sesudu teh madu asli, 3 kali sehari atau mengikut keperluan.
- Madu ini boleh juga dicampurkan dalam teh atau air suam.
2. Kunyit dan Lada Hitam
Teh yang dihasilkan daripada gabungan kunyit dan lada hitam juga adalah salah satu cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan batuk kering.
Kunyit mengandungi bahan aktif iaitu kurkumin. Kurkumin ini bersifat antibakteria, antivirus dan antiradang. Ciri-ciri kurkumin ini bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah batuk kering.
Kunyit juga telah digunakan sebagai rawatan tradisional untuk merawat batuk, sakit tekak dan penyakit saluran pernafasan di Asia. [2]
Untuk mendapatkan kesan yang maksima, kurkumin ini harus diambil bersama-sama lada hitam. Lada hitam ini boleh meningkatkan penyerapan kurkumin ke dalam darah.
Kajian mendapati piperina iaitu bahan aktif dalam lada hitam meningkatkan penyerapan kurkumin dalam darah sehingga 2000%. [3]
Cara penggunaan:
Anda boleh hasilkan teh kunyit dengan mencampurkan bahan-bahan berikut ke dalam segelas air:
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 1/8 sudu teh serbuk lada hitam yang dikisar atau ditumbuk
Kemudian, didihkan campuran ini selama 5-7 minit. Campurkan 1 sudu teh madu. Minum selepas air ini sedikit suam.
3. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air garam boleh melegakan ketidakselesaan dan iritasi yang terjadi di bahagian kerongkong akibat batuk kering ini.
Air garam boleh mengurangkan bengkak dan iritasi yang berlaku.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa dengan berkumur dengan air garam 3 kali sehari dapat mengurangkan durasi batuk yang disebabkan demam. [4]
Cara penggunaan:
- Campurkan 1 sudu teh garam ke dalam segelas air suam.
- Kemudian, berkumur dengan air tersebut.
- Amalkan 3 kali sehari.
4. Daun Pudina
Daun pudina mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai mentol. Mentol ini boleh melegakan saluran pernafasan yang mengalami iritasi. Malah, mentol banyak digunakan dalam ubat batuk atau gula-gula lozeng.
Terdapat kajian yang mendapati mentol boleh mengurangkan iritasi di saluran pernafasan akibat daripada asap rokok. [5]
Cara Penggunaan:
- Anda boleh menambah daun pudina segar dalam minuman atau minum teh pudina yang boleh didapati di pasaran.
- Minum teh pudina sebelum tidur boleh membantu mengurangkan batuk pada waktu malam.
- Anda juga boleh menggunakan minyak pati pudina sebagai rawatan aromaterapi
5. Aromaterapi
Kaedah aromaterapi juga adalah salah satu cara menghilangkan batuk kering yang mudah.
Selain menggunakan minyak pati pudina, aromaterapi menggunakan minyak kayu putih (Eucalyptus) juga boleh membantu anda melegakan batuk kering. Minyak pati kayu putih ini telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk melegakan batuk.
Cara penggunaan:
- Titiskan minyak pati kayu putih atau minyak pati pudina ke dalam semangkuk air panas.
- Kemudian, sedut wap air panas ini.
- Selain itu, anda juga boleh titiskan minyak pati kayu putih atau minyak pati pudina ke dalam salur resap (diffuser) dan biarkan terpasang dalam bilik anda.
6. Halia
Seperti kunyit, halia juga mempunyai ciri-ciri antibakteria, antivirus dan antiradang.
Kajian mendapati halia segar mempunyai kesan antivirus terhadap virus yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan manusia. Virus sinsitium pernafasan (virus yang menyerupai virus influenza) ini turut boleh menyebabkan simptom-simptom seperti batuk. [6]
Cara penggunaan:
- Selain diambil dalam bentuk teh halia. Anda juga boleh mencampurkan potongan halia segar ke dalam air suam dan ditambah madu untuk meningkatkan kesannya.
- Halia juga sekarang boleh didapati dalam bentuk suplemen.
7. Air Daun Jambu Batu
Daun jambu batu boleh digunakan untuk menghilangkan batuk kering.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak air daun jambu batu didapati boleh membantu mengurangkan kekerapan batuk. Ekstrak daun jambu batu kering turut didapati boleh merencatkan pembiakan bakteria jenis Staphylococcus aureus iaitu bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia (radang paru-paru). [7]
Cara penggunaan:
- Rebus beberapa helai daun jambu yang sudah dikeringkan.
- Kemudian, minum air rebusan daun jambu batu ini.
- Amalkan 2 atau 3 kali sehari.
8. Gunakan Pelembap Udara
Pelembap udara atau air humidifier boleh membantu melembapkan udara kering di dalam rumah.
Udara kering juga boleh menyumbang kepada batuk kering. Pelembap udara boleh membantu membuka rongga hidung.
Pasang pelembap udara di bilik tidur anda terutamanya pada waktu malam bagi mengurangkan batuk kering ketika tidur.
9. Jus Nanas
Buah nanas mengandungi enzim yang dikenali sebagai bromelain. Bromelain ini mempunyai ciri-ciri antiradang yang kuat dan boleh mengurangkan bengkak dan iritasi pada kerongkong.
Bromelain ini juga boleh mencairkan mukus atau kahak.
Cara penggunaan:
- Anda boleh mendapatkan bromelain melalui jus nanas atau buah nanas.
- Bromelain ini juga turut dijual dalam bentuk suplemen.
10. Gunakan Pembersih Udara
Udara tercemar akibat daripada habuk, debu dan asap rokok turut boleh menyebabkan batuk kering.
Alat pembersih udara boleh membantu membersihkan udara tercemar di dalam rumah anda. Ini boleh mengurangkan atau melegakan batuk kering yang berlaku.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Batuk kering boleh berlaku berminggu-minggu lamanya. Lazimnya, batuk ini boleh pulih dengan sendirinya atau melalui rawatan ringkas.
Walau bagaimanapun, jika batuk kering anda disertai dengan simptom-simptom lain seperti:
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Demam
- Mengigil
- Sakit belakang
- Batuk berdarah
- Sakit ketika bernafas
Sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.
Rumusan
Batuk kering adalah salah satu masalah kesihatan yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada penghidapnya.
Batuk kering juga sering terjadi pada waktu malam. Kesannya anda mungkin akan mengantuk atau keletihan keesokan harianya akibat tidak cukup tidur.
Beberapa petua atau cara menghilangkan batuk kering ini boleh dicuba bagi membantu mengurangkan atau melegakan keterukan batuk kering yang dialami anda.
Sekiranya batuk ini masih berterusan walaupun sudah dirawat, sila berjumpa doktor.
Rujukan
- Paul, I. M., et al. (2007). Effect of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parents. Archives of pediatrics & adolescent medicine.
- Prasad S, Aggarwal BB. Turmeric, the Golden Spice: From Traditional Medicine to Modern Medicine. In: Benzie IFF, Wachtel-Galor S, editors. Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. 2nd edition. Boca Raton (FL): CRC Press/Taylor & Francis; 2011. Chapter 13.
- Gupta, S. C., et al. (2013). Therapeutic roles of curcumin: lessons learned from clinical trials. The AAPS journal.
- Ramalingam, S., et al. (2019). A pilot, open labelled, randomised controlled trial of hypertonic saline nasal irrigation and gargling for the common cold. Sci Rep.
- Willis, D. N., et al. (2011). Menthol attenuates respiratory irritation responses to multiple cigarette smoke irritants. FASEB journal : official publication of the Federation of American Societies for Experimental Biology.
- Chang, J. S., et al.. (2013). Fresh ginger (Zingiber officinale) has anti-viral activity against human respiratory syncytial virus in human respiratory tract cell lines. Journal of ethnopharmacology.
- Jaiarj, P., et al. (1999). Anticough and antimicrobial activities of Psidium guajava Linn. leaf extract. Journal of ethnopharmacology.