Sedu atau dalam bahasa Inggerisnya, hiccups adalah kontraksi diafragma yang berlaku tanpa kerelaan. Sedu boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan selalunya akan hilang dengan sendirinya. Tetapi ada juga yang mengalami sedu yang berpanjangan. Oleh itu, kami senaraikan 20 cara hilangkan sedu dan sedu yang berpanjangan ini.
Biasanya jika bayi atau kanak-kanak mengalami sedu, orang-orang tua kata ia petanda hendak besar.
Dari segi perubatan sedu ini terjadi mungkin disebabkan oleh seseorang itu makan terlalu banyak atau terlalu cepat, minum minuman bergas atau berkarbonat, minum arak atau teruja secara tiba-tiba.
Lazimnya, sedu ini tidaklah berpanjangan dan akan hilang dengan sendirinya atau setelah dilakukan petua-petua untuk menghilangkannya.
Namun, jika sedu ini berpanjangan melebihi 2 hari iaitu 48 jam. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Sedu itu mungkin menjadi petanda kepada penyakit lain yang memerlukan rawatan.
Petua atau Cara Hilangkan Sedu
Walaupun tiada bukti secara saintifik, terdapat banyak petua atau cara yang boleh dicuba untuk menghilangkan sedu ini.
Cara atau Teknik Menggunakan Anggota Badan
1. Tekan tapak tangan
Gunakan ibu jari dan picit ditengah-tengah tapak tangan sebelah lagi. Tidak kira jari kanan atau jari kiri.
Makin kuat, makin baik. Rasa sakit atau tidak selesa ini akan menganggu sistem saraf yang boleh menghilangkan sedu.
2. Peluk lutut
Duduk di satu tempat yang selesa. Rapatkan lutut ke dada anda dan peluk selama 2 minit.
3. Tekan dada
Tekan dada anda dengan membongkok ke hadapan yang mana akan menekan diafragma anda.
4. Urut bahagian leher
Urut bahagian arteri karotid di kedua-dua belah leher anda. Arteri ini terletak dibahagian yang biasanya kita letakkan jari untuk memeriksa nadi.
Telengkan kepala ke kiri dan urut arteri ini dibahagian kanan dengan urutan membulat selama 5 hingga 10 saat. Begitu juga dengan sebelah kiri.
5. Jelirkan lidah
Jelir lidah boleh merangsang saraf dan otot di bahagian kerongkong mengatasi kekejangan yang disebabkan oleh sedu. Lakukan beberapa kali.
6. Tahan nafas
Tarik nafas yang dalam, tahan selama 10 hingga 20 saat. Hembus secara berlahan-lahan. Ulang jika perlu.
7. Bernafas dalam bag kertas
Tekup mulut dan hidung menggunakan bag kertas. Bernafas secara perlahan-lahan. Berhenti sebelum anda rasa pening.
8. Tutup telinga
Tutup kedua-dua lubang telinga anda menggunakan jari selama 20 hingga 30 saat. Atau anda boleh menekan bahagian lembut di belakang cuping telinga.
9. Gunakan meneuver Valsalva
Untuk melakukan gerakan atau maneuver ini, cuba menghembus nafas di samping memicit hidung dan menutup mulut.
Kaedah ini boleh juga digunakan untuk mengeluarkan semut yang masuk ke dalam lubang telinga.
10. Tekan bahagian diafragma
Diafragma ialah bahagian yang memisahkan paru-paru dan abdomen anda. Tekan di bahagian bawah tulang rusuk terakhir anda.
11. Urut bahagian belakang leher
Mengurut dibahagian belakang leher boleh merangsang saraf frenik anda.
Cara Minum atau Makan Sesuatu
Terdapat juga cara atau petua yang menggunakan minuman atau makanan untuk menghilangkan sedu.
12. Minum air sejuk
Minum air sejuk atau air kosong secara perlahan-lahan. Meminum air sejuk ini boleh merangsang saraf vagus anda. Minum segalas (250 ml) atau lebih.
Kaedah ini adalah antara cara yang berkesan untuk hilangkan sedu.
13. Hisap ais
Hisap ketulan ais selama beberapa minit dan telan setelah ia menjadi kecil.
14. Makan sesudu madu
Makan sesudu madu, benarkan ia larut dalam mulut seketika sebelum menelannya.
15. Makan sedikit gula
Letakkan sedikit atau sesudu teh gula ke atas lidah anda, kemam selama 5 hingga 10 saat dan telan.
16. Berkumur dengan air sejuk
Berkumur dengan air sejuk selama 30 saat dan ulanginya beberapa kali.
17. Gigit potongan buah lemon atau limau
Gigit potongan buah lemon atau limau nipis. Berkumur setelah mengigit buah ini bagi melindungi gigi daripada asid sitrik.
Cara Hilangkan Sedu yang Ada Laporan Perubatan Mengenainya
Terdapat juga laporan kes atau laporan perubatan mengenai cara menghilangkan sedu walaupun agak janggal.
18. Urutan rektum
Urutan di bahagian rektum atau dubur ini dilaporkan dalam satu laporan kes mengenai pesakit pankreatitis yang mengalami sedu berterusan yang sukar dihentikan. Sedu itu berjaya dihentikan dengan serta-merta setelah urutan rektum dilakukan. [1]
Untuk melakukan urutan ini, gunakan sarung tangan getah (surgical gloves) dan pelincir. Masukkan jari ke dalam lubang dubur dan urut.
19. Hubungan intim
Terdapat juga laporan kes yang melibat seorang lelaki yang mengalami sedu selama 4 hari. Sedu tersebut hilang selepas lelaki tersebut melakukan hubungan intim. [2]
20. Urutan endoskop
Terdapat laporan kes yang menggunakan kaedah urutan endoskop di bahagian kardium iaitu di bahagian esofagus bersambung dengan perut. 34 orang pesakit mengalami sedu kira-kira selama 10 hari dan kesemuanya berjaya dirawat menggunakan kaedah ini. [3]
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Pada kebiasaanya, sedu ini hanya berlaku sekitar beberapa minit atau jam sahaja. Ia akan hilang dengan sendiri atau setelah dilakukan beberapa petua mudah, ia akan beransur hilang.
Namun, jika anda sering mengalami sedu atau mengalami sedu yang berpanjangan lebih daripada 2 hari, sila dapatkan rawatan daripada doktor.
Sedu ini mungkin menjadi satu petanda atau simptom kepada penyakit-penyakit lain seperti:
- Strok
- Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
- Sklerosis berbilang
- Jangkitan COVID-19. [4]
Terdapat juga beberapa ubat yang mungkin diberikan oleh doktor bagi merawat sedu yang berpanjangan dan sukar difahami. Antaranya: [5]
- Baclofen
- Gabapentin
- Matoclopramide
- Chlorpromazine
Rujukan
- Odeh, M. et al. (1990). Termination of intractable hiccups with digital rectal massage. Journal of internal medicine.
- Peleg, R., & Peleg, A. (2000). Case report: sexual intercourse as potential treatment for intractable hiccups. Canadian family physician Medecin de famille canadien.
- Beda, B. Y. et al. (1993). ArrĂȘt du hoquet persistant de l’adulte par manoeuvres endoscopiques [Stopping persistent hiccups in the adult by endoscopic maneuver]. Annales de gastroenterologie et d’hepatologie.
- Prince, G., & Sergel, M. (2020). Persistent hiccups as an atypical presenting complaint of COVID-19. The American journal of emergency medicine.
- Steger, M. et al. (2015). Systemic review: the pathogenesis and pharmacological treatment of hiccups. Alimentary pharmacology & therapeutics.
- Corinne Osborn .(2017). How to Get Rid of Hiccups. Healthline [diakses pada 9 Februari 2021].
- Mayo Clinic Staff. (2017). Hiccups. MayoClinic [diakses pada 9 Februari 2021].