Bunion adalah bengkakan pada sendi pertama ibu jari kaki yang tersesar ke satu sisi selalunya ke arah anak jari kaki yang disebelahnya. Nama perubatan bagi bunion adalah “hallux valgus“.
Wanita lebih cenderung untuk mengalami bunion berbanding lelaki. Ia adalah salah satu kecacatan kaki yang paling lazim berlaku. Ramai orang yang mengalami bunion hanya mengalami simptom-simptom yang ringan, bahkan ada yang tidak mengalami simptom atau gejala langsung.
Tetapi, bagi sesetengah orang, bengkakan ini boleh menyebabkan rasa sakit dan tekanan.
Jenis-jenis Bunion
Selain bunion pada kaki, jenis-jenis lain yang boleh terjadi adalah:
- Hallux valgus kongenital: Sesetengah bayi dilahirkan dengan kecacatan ini.
- Hallux valgus juvenil atau remaja: Bunion yang terbentuk semasa kanak-kanak dan remaja berumur 10 dan 15 tahun.
- Tailor’s bunion: Turut dipanggil bunionet, bengkakan ini berlaku di bahagian luar kelengkeng kaki.
Tanda atau Simptom-simptom
Tanda dan simptom-simptom bunion adalah seperti berikut:
- Benjolan yang membonjol di bahagian luar pangkal ibu jari kaki
- Bengkak, kemerahan atau keradangan di sekeliling sendi ibu jari kaki
- Pergerakan ibu jari kaki yang terhad
- Tidak boleh membengkokkan ibu jari kaki atau rasa sakit ketika anda cuba membengkokkannya
- Sakit yang berterusan atau sakit yang datang dan pergi
- Sukar untuk memakai kasut yang biasa dipakai
- Kematu (kulit menjadi keras)
- Sendi dan tendon ibu jari kaki terasa sakit dan ketat
- Rasa kebas di ibu jari kaki
Penyebab Bunion
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko terbentuknya bunion. Sesetengah orang mengalaminya disebabkan faktor genetik.
Berbeza dengan kepercayaan umum, kasut yang ketat bukanlah punca utama tetapi ia boleh menjadi penyumbang atau memburukkan lagi keadaan.
Terdapat banyak teori berkenaan bagaimana bunion terbentuk, tetapi punca atau penyebab yang tepat tidak diketahui.
Terdapat beberapa faktor yang mungkin menjadi penyumbang. Antaranya adalah:
- Jenis kaki yang diwarisi
- Kecederaan atau tekanan pada kaki
- Kecacatan sejak lahir
- Mempunyai tisu penyambung yang lemah
- Mempunyai tendon Achilles yang pendek
- Otot betis yang pendek
- Menghidap artritis reumatoid
Rawatan
Bunion boleh memburuk dari masa ke masa. Rawatan hanya diperlukan sekiranya ia menyebabkan masalah.
Rawatan yang sesuai untuk bunion bergantung kepada beberapa faktor seperti:
- Simptom-simptom
- Jenis kecacatan
- Sama ada individu tersebut mempunyai masalah kesihatan lain seperti reumatoid artritis, diabetes atau penyakit vaskular (salur darah)
Terdapat beberapa rawatan tanpa pembedahan yang boleh melegakan simptom-simptom. Antaranya adalah:
- Splin/penganduh: Penyokong ibu kaki atau penjarak ibu kaki ini digunakan untuk mengekalkan ibu jari kaki di kedudukan normal.
- Kasut yang sepadan: Orang ramai dinasihatkan memakai kasut rata yang memberi ruang yang cukup pada jari kaki.
- Fisioterapi: Latihan khas boleh dilakukan untuk cuba menguatkan dan meregangkan otot kaki.
- Ubat pelega kesakitan: Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti paracetamol atau ibuprofen boleh digunakan dalam jangka masa yang singkat untuk mengurangkan kesakitan.
Pembedahan
Sekiranya simptom-simptom yang berlaku adalah teruk, pembedahan boleh melegakannya.
Pembedahan tidak disyorkan atas sebab kosmetik, hanya apabila bunion menyebabkan anda kerap sakit atau mengganggu aktiviti harian anda.
Langkah Pencegahan
Bagi mencegah gangguan tulang ini, orang ramai dinasihatkan untuk memakai kasut yang selesa dan rata.
Berjalan berkaki ayam juga boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan kerana tindakan ini boleh menguatkan otot-otot kaki dan membenarkan kaki dan jari kaki berada pada posisi semula jadi mereka.
Rujukan
- InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. Bunions: Overview. 2018 Jun 28. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2021). Bunions. MayoClinic.
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Bunions (Hallux Valgus). Cleveland Clinic.