Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa produk kecantikan Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream didapati mengandungi racun berjadual iaitu tretinoin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, produk kosmetik ini telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Oleh itu, produk ini tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Orang ramai disarankan agar mengelak daripada membeli atau menggunakan produk ini.
Maklumat Ringkas Produk Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream
Nama Produk | Racun Berjadual |
---|---|
Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream | Tretinoin |
Apa itu Tretinoin?
Tretinoin ialah ubat yang digunakan untuk merawat jerawat. Ubat ini dikelaskan dalam kelas ubat yang dipanggil retinoid.
Di Malaysia, penggunaan ubat ini hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan sahaja. Malah, sebarang produk yang menggunakan tretinoin ini perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Hal ini kerana penggunaan produk ini tanpa pengawasan oleh profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Kesan Sampingan Tretinoin
Penggunaan tretinoin ini boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti:
- kulit menjadi kemerahan
- kulit menjadi kering
- gatal-gatal
- kulit menjadi bersisik
- rasa pedih
- kulit mengelupas
- kulit menjadi terlalu sensitif terhadap sinaran matahari
Dalam kes-kes tertentu, tretinoin ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti:
- kulit melepuh
- kulit menjadi bengkak
- kulit menjadi kemerahan yang melampau
- mata menjadi merah dan berair (konjunktivitis)
- kelopak mata menjadi bengkak
- perubahan warna kulit
Saranan Kepada Masyarakat
Orang awam yang menggunakan produk ini dinasihatkan berhenti menggunakannya dan mendapatkan nasihat ahli professional perubatan sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan.
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman seperti berikut:
- Denda tidak melebihi RM25 000.00 atau
- Penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali (kesalahan pertama)
- Denda tidak melebihi RM 50 000.00 atau
- Penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati menggunakan sebarang produk kosmetik dan pastikan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik sebelum menggunakannya.