Makanan boleh memberikan impak secara langsung atau tidak langsung kepada pesakit kanser atau mereka yang sedang dalam rawatan kanser. Menjadi persoalan, adakah boleh pesakit kanser untuk makan telur?
Jawapannya adalah boleh tetapi bersyarat. Bagi pesakit kanser, anda disarankan untuk mengehadkan pengambilan telur kepada 1 atau 2 biji seminggu sahaja.
Bagi pesakit kanser reproduktif, usus, payudara, ovari dan prostat, anda disarankan untuk mengelak daripada memakan telur secara sepenuhnya.
Telur boleh dikatakan makanan unggul yang mengandungi pelbagai nutrien yang bermanfaat untuk badan.
Telur juga merupakan sumber protein yang berkualiti kerana mengandungi kesemua asid amino perlu yang diperlukan oleh manusia.
Selain itu, ia turut mengandungi antioksidan seperti lutein dan zeaxantin yang penting untuk kesihatan mata dan mencegah katarak atau degenerasi makular berkaitan usia.
Tambahan itu, telur juga adalah sumber makanan yang baik untuk mendapatkan kolina. Kolina diperlukan oleh badan untuk membina membran-membran sel. Kolina juga diperlukan oleh otak dan sistem saraf untuk mengawal memori, mood dan lain-lain. [1]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa memakan telur setiap hari boleh membantu meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL) dalam kalangan golongan belia yang sihat. [2]
Walau bagaimanapun, disebalik khasiat-khasiat telur ini, terdapat beberapa kebimbangan akan kesan telur dan cara penyediaannya terhadap pesakit kanser atau mereka yang sedang menjalani rawatan kanser.
Telur Perlu Masak Sepenuhnya
Cara terbaik untuk pesakit kanser untuk memakan telur adalah dengan memasak sepenuhnya iaitu dengan cara merebusnya. Putih dan kuning telur harus masak sepenuhnya.
Telur berisiko untuk mempunyai bakteria yang dipanggil Salmonella pada dalam dan luarnya. Bagi pesakit kanser, mereka mempunyai sistem imun badan yang lemah dan terdedah kepada jangkitan.
Di samping itu juga, cara memasak telur juga perlu diberikan perhatian bagi pesakit kanser.
Memasak makanan daripada haiwan pada suhu yang tinggi boleh menghasilkan karsinogen iaitu bahan penyebab kanser.
Kaedah memasak seperti menggoreng, mengril atau goreng kilas boleh menghasilkan bahan sampingan yang dipanggil Heterocyclic Amines (HCA).
HCA ini terbentuk hasil daripada tindak balas asid amino dengan haba. Tindak balas ini mula berlaku pada suhu 100°C tetapi berlaku lebih cepat pada suhu 300°C atau lebih tinggi.
Satu analisis pada tahun 2013 melaporkan bahawa tiada perkaitan yang ketara diperhatikan antara pengambilan telur dan risiko kanser pundi kencing kecuali untuk pengambilan telur goreng. [3]
Ini menunjukkan kaedah memasak telur juga memainkan peranan terhadap peningkatan risiko penyakit kanser.
Justeru itu, kaedah merebus, mengukus atau stu adalah lebih baik daripada menggoreng atau mengril.
Elakkan Memakan Makanan yang Mengandungi Telur Mentah
Selain itu juga, pesakit kanser juga perlu mengelak daripada memakan makanan yang mengandungi telur mentah bagi mengurangkan risiko jangkitan bakteria Salmonella.
Antaranya adalah:
- Mayonis
- Kuah salad
- Tiramisu
- Kek mousse
- Stik tartare
- Japanese sukiyaki
Penyakit Kanser yang Dikaitkan dengan Telur
Terdapat juga kajian-kajian yang mendapati terdapat perkaitan antara pemakanan telur dengan risiko penyakit kanser.
Oleh hal yang demikian, pesakit kanser reproduktif, usus, payudara, ovari dan prostat disarankan untuk mengelak daripada memakan telur secara sepenuhnya.
Satu analisis pada tahun 2014 mendapati bahawa terdapat 37 kajian kawalan kes dan 7 kajian kohort yang menyokong bahawa terdapat perkaitan antara pemakanan telur dan risiko kanser gastrousus terutamanya kanser usus besar. [4]
Analisis pada tahun 2015 pula menunjukkan peningkatan risiko pada tahap sederhana terhadap kanser prostat, payudara dan ovari bagi mereka yang memakan telur lebih 5 biji seminggu berbanding mereka yang tidak memakan telur langsung. [5]
Satu analisis yang lebih terkini iaitu pada tahun 2019 juga turut melaporkan bahawa pengambilan telur yang tinggi iaitu lebih 1 hidangan sehari dikaitkan dengan peningkatkan risiko terhadap kanser saluran pernafasan dan pencernaan bahagian atas. [6]
Walau bagaimanapun, hasil kajian ini hanya dilihat dalam kajian kawalan kes di hospital dan tidak dalam kajian kohort atau kajian populasi.
Kajian yang lebih terkini pula melaporkan bahawa pengambilan telur yang tinggi mempunyai perkaitan dengan kematian akibat kanser. Pengambilan setiap telur tambahan setiap hari dikaitkan dengan risiko kematian akibat kanser adalah 13% lebih tinggi. [7]
Analisis tidak linear menunjukkan peningkatan risiko untuk pengambilan telur lebih daripada 1.5 dan 0.5 telur sehari.
Walau bagaimanapun, penyelidik menekankan agar penemuan mereka harus dipertimbangkan dengan berhati-hati kerana anggaran risiko yang kecil dan heterogeniti antara kajian yang sederhana.
Rumusan
Secara ringkasnya, bagi anda yang tertanya-tanya, bolehkan pesakit kanser makan telur? Jawapannya adalah boleh tetapi bersyarat.
Apa yang perlu dilakukan adalah hadkan pengambilan telur tersebut dan gunakan kaedah memasak yang lebih selamat seperti merebus atau mengukus.
Bagi pesakit kanser reproduktif, usus, payudara, ovari dan prostat, anda tidak disarankan untuk memakan telur.
Rujukan
- National Institute of Health. Choline.
- DiMarco, D. M. et al. (2017). Intake of up to 3 Eggs per Day Is Associated with Changes in HDL Function and Increased Plasma Antioxidants in Healthy, Young Adults. The Journal of nutrition.
- Li, F. et al. (2013). Egg consumption and risk of bladder cancer: a meta-analysis. Nutrition and cancer.
- Tse, G., & Eslick, G. D. (2014). Egg consumption and risk of GI neoplasms: dose-response meta-analysis and systematic review. European journal of nutrition.
- Keum, N. et al. (2015). Egg intake and cancers of the breast, ovary and prostate: a dose-response meta-analysis of prospective observational studies. The British journal of nutrition.
- Aminianfar, A. et al. (2019). Egg Consumption and Risk of Upper Aero-Digestive Tract Cancers: A Systematic Review and Meta-Analysis of Observational Studies. Advances in nutrition.
- Darooghegi Mofrad, M. et al. (2022). Egg and Dietary Cholesterol Intake and Risk of All-Cause, Cardiovascular, and Cancer Mortality: A Systematic Review and Dose-Response Meta-Analysis of Prospective Cohort Studies. Frontiers in nutrition.