Pernahkah anda terfikir mengapa tiba-tiba pistachio muncul di mana-mana? Jika suatu ketika dahulu kacang pistasio (pistachio) hanya dikenali sebagai snek premium yang dinikmati secara sederhana, kini ia telah menjelma menjadi bahan utama dalam pelbagai hidangan moden.
Bermula dengan minuman berasaskan pistasio, trend tersebut berkembang kepada kek, pastri, aiskrim, milkshake, malah sehingga ke hidangan utama seperti nasi goreng pistasio, ayam salut pistasio dan ikan salut pistasio.
Apa sahaja yang ditambah dengan perkataan “pistasio” seolah-olah mempunyai daya tarikan tersendiri dan lebih mudah mencuri perhatian pengguna di media sosial.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di luar negara, malah turut menular dalam industri makanan tempatan.
Pelbagai kafe dan restoran berlumba-lumba memperkenalkan menu berasaskan pistasio bagi menarik pelanggan, terutamanya golongan muda yang sentiasa mengikuti perkembangan trend makanan terkini.
Gambar hidangan berwarna hijau lembut yang kelihatan mewah dan eksklusif sering mendapat ribuan tanda suka serta perkongsian di platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook.
Namun, di sebalik populariti yang semakin meningkat ini, timbul persoalan yang wajar diberi perhatian.
Adakah pistasio benar-benar menawarkan manfaat kesihatan yang luar biasa sehingga layak dijadikan bahan utama dalam pelbagai jenis makanan?
Atau adakah ia sekadar satu lagi fenomena pemasaran yang berjaya mempengaruhi pilihan pengguna?
Dari sudut sains dan kimia makanan, trend ini sebenarnya membuka ruang yang menarik untuk kita memahami hubungan antara nutrisi, persepsi pengguna dan pengaruh media sosial.
Apabila Media Sosial Menentukan Apa yang Kita Makan
Dalam era digital, makanan bukan lagi sekadar memenuhi keperluan fisiologi manusia. Ia juga menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan identiti sosial.
Ramai pengguna hari ini memilih makanan bukan sahaja berdasarkan rasa, tetapi juga berdasarkan penampilan dan nilai estetik yang boleh dikongsi di media sosial.
Platform seperti TikTok telah mengubah cara sesuatu makanan menjadi popular. Jika dahulu sesuatu hidangan memerlukan masa bertahun-tahun untuk dikenali ramai, kini sebuah video berdurasi kurang daripada satu minit mampu mencetuskan fenomena global dalam masa beberapa hari sahaja.
Apabila pengguna melihat ramai individu mencuba sesuatu makanan yang sedang tular, mereka turut terdorong untuk mencubanya bagi merasai pengalaman yang sama.
Pistasio merupakan contoh yang jelas bagaimana media sosial boleh mempengaruhi pilihan pengguna. Warna hijau semula jadinya memberikan imej premium, unik dan eksklusif.
Dalam dunia pemasaran makanan, warna memainkan peranan yang sangat penting kerana ia mempengaruhi persepsi pengguna terhadap rasa, kualiti dan nilai sesuatu produk.
Kajian dalam bidang psikologi pengguna menunjukkan bahawa warna tertentu boleh mempengaruhi jangkaan seseorang terhadap makanan sebelum mereka merasainya.
Warna hijau sering dikaitkan dengan kesegaran, kesihatan dan bahan semula jadi.
Oleh sebab itu, makanan berasaskan pistasio sering dianggap lebih sihat walaupun hakikatnya kandungan nutrisi sesuatu produk bergantung kepada keseluruhan bahan yang digunakan.
Mengenali Pistasio dari Sudut Sains
Pistachio ialah sejenis kacang yang diperoleh daripada pokok Pistacia vera. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan Asia Barat dan Timur Tengah sebelum tersebar ke pelbagai bahagian dunia.
Hari ini, negara seperti Iran, Turkiye dan Amerika Syarikat merupakan antara pengeluar utama pistasio di dunia.
Dari sudut pemakanan, pistasio sememangnya mempunyai pelbagai kelebihan. Kacang ini mengandungi protein, serat, vitamin, mineral serta lemak tidak tepu yang dianggap baik untuk kesihatan.
Berbanding makanan ringan yang tinggi kandungan lemak tepu dan gula tambahan, pistasio sering dianggap sebagai pilihan snek yang lebih seimbang.
Selain itu, pistasio juga kaya dengan antioksidan yang membantu melindungi sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Antioksidan merupakan sebatian yang penting dalam membantu mengurangkan tekanan oksidatif yang boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan.
Walau bagaimanapun, manfaat ini sering kali hanya merujuk kepada pistasio dalam bentuk asal atau yang diproses secara minimum.
Apabila pistasio digunakan dalam pelbagai produk makanan yang mengandungi gula, krim, mentega atau bahan tambahan lain dalam kuantiti yang tinggi, nilai pemakanannya boleh berubah dengan ketara.
Kimia di Sebalik Warna Hijau Pistachio
Salah satu faktor yang menjadikan pistasio begitu menarik ialah warna hijaunya yang unik. Dari perspektif kimia, warna ini terhasil daripada kehadiran pigmen semula jadi tertentu yang terdapat dalam kacang tersebut.
Pigmen ialah sebatian kimia yang menyerap dan memantulkan cahaya pada panjang gelombang tertentu.
Apabila cahaya mengenai permukaan pistasio, sebahagian panjang gelombang diserap manakala sebahagian lagi dipantulkan.
Cahaya yang dipantulkan inilah yang dilihat oleh mata manusia sebagai warna hijau.
Selain memberikan warna yang menarik, pigmen semula jadi ini juga sering dikaitkan dengan kandungan antioksidan dalam tumbuhan.
Oleh sebab itu, warna hijau pada pistasio bukan sekadar elemen estetik, malah turut mencerminkan kehadiran pelbagai sebatian bioaktif yang bermanfaat.
Namun begitu, tidak semua produk yang berlabel “pistasio” mempunyai warna hijau yang datang secara semula jadi.
Dalam sesetengah produk komersial, warna hijau yang lebih terang mungkin dihasilkan melalui penggunaan pewarna makanan bagi meningkatkan daya tarikan visual produk tersebut.
Adakah Semua Produk Pistasio Mengandungi Pistasio yang Banyak?
Salah satu perkara yang sering terlepas pandang oleh pengguna ialah tidak semua produk berasaskan pistasio mengandungi pistasio dalam kuantiti yang signifikan.
Dalam industri makanan, istilah “berperisa pistasio” tidak semestinya bermaksud produk tersebut kaya dengan kacang pistasio sebenar.
Ada produk yang hanya menggunakan sejumlah kecil pistasio untuk memberikan aroma atau rasa tertentu. Selebihnya mungkin terdiri daripada bahan lain seperti gula, susu, krim, minyak sayuran atau perisa tambahan.
Sebagai contoh, sesetengah minuman pistasio yang popular mungkin mengandungi kandungan gula yang jauh lebih tinggi berbanding kandungan pistasio itu sendiri. Situasi yang sama boleh berlaku pada kek, ais krim atau pastri berasaskan pistasio.
Oleh itu, pengguna perlu lebih peka terhadap label makanan dan senarai bahan yang digunakan.
Terdapat satu persamaan yang sering ditemui dalam kebanyakan produk berasaskan pistasio, iaitu warna hijau yang menyerlah.
Warna ini bukan sahaja menjadikan makanan lebih menarik untuk difoto dan dikongsi di media sosial, malah turut membentuk persepsi bahawa makanan tersebut mengandungi pistasio yang banyak serta lebih sihat berbanding produk lain.
Persoalannya, adakah warna hijau yang dilihat itu benar-benar datang daripada pistasio? Atau adakah ia sebenarnya hasil penggunaan pewarna makanan yang direka untuk meniru identiti visual pistasio?
Kita Makan Dengan Mata Sebelum Mulut
Sebelum seseorang merasai sesuatu makanan, penilaian pertama biasanya dibuat melalui penglihatan.
Dalam bidang sains makanan, warna merupakan salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi penerimaan pengguna terhadap sesuatu produk.
Kajian menunjukkan bahawa warna boleh mempengaruhi persepsi terhadap rasa, kesegaran dan kualiti makanan.
Oleh sebab itu, makanan yang mempunyai warna hijau lazimnya dianggap lebih sihat berbanding makanan yang mempunyai warna lain.
Apabila Hijau Tidak Lagi Bermaksud Pistasio
Dalam industri makanan, warna memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu produk kelihatan menarik dan konsisten.
Bagi menghasilkan warna hijau yang menyerupai pistasio, pengeluar boleh menggunakan gabungan pewarna makanan tertentu.
Sebagai contoh, pewarna kuning seperti tartrazine dan pewarna biru seperti Brilliant Blue FCF boleh menghasilkan warna hijau yang terang apabila dicampurkan bersama.
Dari sudut kimia, kedua-dua pewarna ini mempunyai struktur molekul yang membolehkan mereka menyerap cahaya pada panjang gelombang tertentu lalu menghasilkan warna yang dapat dilihat oleh mata manusia.
Akibatnya, sesuatu makanan boleh kelihatan sangat “pistachio” walaupun kandungan pistasio sebenar di dalamnya mungkin sangat sedikit.
Pewarna Makanan: Selamat, Tetapi Ada Hadnya
Perlu ditegaskan bahawa pewarna makanan yang diluluskan oleh pihak berkuasa keselamatan makanan tidak semestinya berbahaya.
Sebelum dibenarkan untuk digunakan, sesuatu pewarna perlu melalui pelbagai penilaian saintifik bagi memastikan keselamatannya kepada pengguna.
Namun begitu, konsep keselamatan dalam sains sentiasa bergantung kepada dos atau kuantiti pengambilan.
Sesuatu bahan mungkin selamat apabila digunakan dalam jumlah yang dibenarkan, tetapi pendedahan yang berlebihan dan berterusan boleh menimbulkan kebimbangan tertentu.
Cabaran utama pada hari ini bukanlah pengambilan daripada satu produk sahaja, tetapi pengambilan daripada pelbagai sumber makanan dalam kehidupan seharian.
Seseorang mungkin mengambil minuman berwarna, pencuci mulut, gula-gula, ais krim dan makanan ringan yang masing-masing mengandungi bahan tambahan makanan tertentu.
Walaupun setiap produk mematuhi had penggunaan yang ditetapkan, pengambilan secara berterusan daripada pelbagai sumber boleh meningkatkan pendedahan keseluruhan seseorang terhadap bahan tambahan tersebut.
Selain itu, terdapat juga individu yang lebih sensitif terhadap pewarna tertentu dan boleh mengalami reaksi seperti alahan atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang mengandungi bahan tersebut.
Kesan Pengambilan Pewarna Secara Berlebihan
Walaupun pewarna makanan yang diluluskan dianggap selamat apabila digunakan mengikut had yang ditetapkan, pengambilan secara berlebihan daripada pelbagai sumber makanan boleh menimbulkan kebimbangan tertentu terhadap kesihatan pengguna.
Kanak-kanak merupakan antara kumpulan yang sering mendapat perhatian dalam kajian berkaitan pewarna makanan kerana mereka lebih cenderung mengambil produk seperti gula-gula, minuman berwarna, aiskrim dan pencuci mulut yang mengandungi bahan tambahan tersebut.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa sesetengah pewarna makanan sintetik mungkin mempunyai kaitan dengan perubahan tingkah laku dalam kalangan individu yang sensitif terhadap bahan tersebut.
Sebagai contoh, satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet pada tahun 2007 mendapati bahawa campuran beberapa pewarna makanan sintetik bersama bahan pengawet natrium benzoat dikaitkan dengan peningkatan simptom hiperaktif dalam kalangan sesetengah kanak-kanak.
Walaupun kajian tersebut tidak membuktikan bahawa semua pewarna makanan menyebabkan hiperaktiviti, penemuan tersebut telah mencetuskan perbincangan meluas mengenai penggunaan bahan tambahan makanan, khususnya dalam produk yang sering diambil oleh kanak-kanak.
Selain itu, terdapat individu yang boleh mengalami reaksi alahan atau sensitiviti terhadap pewarna tertentu, seperti ruam kulit, kegatalan dan ketidakselesaan selepas pengambilan makanan yang mengandungi bahan tersebut.
Cabaran utama pada hari ini bukanlah pengambilan daripada satu produk sahaja, tetapi pendedahan kumulatif daripada pelbagai sumber makanan dalam kehidupan seharian.
Seseorang mungkin mengambil minuman berwarna, pencuci mulut, aiskrim, gula-gula dan makanan tular (viral) yang masing-masing mengandungi bahan tambahan makanan tertentu.
Apabila semua sumber ini diambil secara kerap, jumlah pendedahan terhadap pewarna makanan turut meningkat.
Dapatan ini turut disokong oleh kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Environmental Research and Public Health yang menegaskan bahawa keselamatan pewarna makanan bukan sahaja bergantung pada jenis bahan yang digunakan, tetapi juga tahap pendedahan pengguna terhadap bahan tersebut.
Walaupun penggunaannya dibenarkan pada had tertentu, pemantauan terhadap pengambilan secara berterusan masih penting bagi memastikan keselamatan pengguna dalam jangka panjang.
Adakah Kita Membeli Pistachio atau Membeli Warna?
Dalam dunia makanan moden, warna telah menjadi salah satu alat pemasaran yang paling berkuasa.
Warna mampu menarik perhatian, membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan pembelian dalam masa beberapa saat sahaja.
Fenomena demam pistasio (pistachio) menunjukkan bagaimana pengguna boleh dipengaruhi oleh gabungan warna, nama produk dan trend media sosial.
Warna hijau yang menyerupai pistachio sering dikaitkan dengan kesihatan dan kemewahan, walaupun kandungan sebenar sesuatu produk mungkin tidak seperti yang dibayangkan.
Sebagai pengguna, langkah paling bijak ialah melihat lebih daripada sekadar warna dan nama produk.
Membaca label makanan, memahami senarai bahan dan menilai kandungan nutrisi secara keseluruhan merupakan amalan yang dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat.
Kesimpulan
Trend makanan berasaskan pistasio membuktikan bahawa warna mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan populariti sesuatu produk.
Dari sudut kimia, warna hijau semula jadi pistasio terhasil daripada pigmen seperti klorofil dan karotenoid. Namun, warna hijau yang terdapat pada sesetengah produk komersial mungkin juga diperoleh melalui penggunaan pewarna makanan yang dibenarkan.
Walaupun pewarna makanan yang diluluskan adalah selamat digunakan mengikut had yang ditetapkan, pengguna perlu memahami bahawa warna yang menarik tidak semestinya mencerminkan kandungan sebenar sesuatu produk.
Dalam era media sosial yang mementingkan penampilan visual, kesedaran tentang kimia makanan menjadi semakin penting agar pengguna tidak mudah terpengaruh dengan persepsi yang dibentuk oleh warna semata-mata.
Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya satu soalan mudah setiap kali melihat makanan berwarna hijau yang tular di media sosial: Adakah kita benar-benar membeli pistasio (pistachio), atau sekadar membeli warna hijau yang menyerupainya?
Rujukan
- de Oliveira, Z. B. et al. (2024). Synthetic Colors in Food: A Warning for Children’s Health. International Journal of Environmental Research and Public Health.
- McCann, D. et al. (2007). Food additives and hyperactive behaviour in 3-year-old and 8/9-year-old children in the community: a randomised, double-blinded, placebo-controlled trial. Lancet.





